Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Busyrakumu Al Yaum...


Abu Raihanah dan Ummu Raihanah, telah dikurniakan puteri sulung pada hari Ahad
( 4/10/2009M - 15/10/1430H) jam 1.20 petang.

Semoga Allah subhanahu wata'ala menjadikan puteri kami anak yang solehah..Ameen.


Ucapan kepada mereka yang dikurniakan dengan cahaya mata seperti yang diajar oleh Nabi sallallahu alaihi wasalla
بارك الله لك في الموھوبة لك، وشكرت الواھبَ، وبلغ أشدّه، ورزِقتَ برّه
Abu Raihanah & Keluarga
mengucapkan :


Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir & Batin

عيد مبارك
كل عام وأنتم بخير

Fiqh Imam Makmum

*Maaf kerana tidak menjawab dalam majlis tadi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Keadaan :
Seorang imam telah menambah bilangan rakaat disebabkan oleh keraguan terhadap bilangan rakaat sama ada ianya mencukupi atau tidak, bagaimanakah penyelesaian terhadap masalah ini kepada imam dan makmum?

Jawapan :
Bagi imam, perbuatannya menambah bilangan tersebut tidak menjejaskan solatnya disebabkan oleh keperluan untuk menambah bilangan rakaat seandainya seseorang itu tidak yakin ( ragu ) sama ada bilangan rakaat solatnya cukup atau tidak, dan dituntut ke atasnya selepas daripada itu untuk melakukan sujud sahwi.

Bagi makmum, di sana ada 3 keadaan:
1. Seandainya seseorang itu menyedari akan kesilapan yang dilakukan imam ( menambah akan bilangan rakaat ) , maka baginya mufaraqah daripada imam ( memisahkan dirinya dari mengikuti akan imam ) dengan tidak mengikuti imam tatkala dia bangun menambah bilangan rakaat yang diraguinya.
Dan dalam hal mufaraqah dibolehkan baginya ( makmum ) dua keadaan sama ada menyudahkan solat dengan memberi salam ( selepas membaca tahiyat akhir ) tanpa menunggu imam atau dia menunggu imam ( pada duduk tahiyah akhir ) sehingga imam memberi salam, lalu makmum memberi salam bersama-sama dengan imam.

2. Seandainya makmum tidak menyedari akan kesilapan yang dilakukan imam ( menambah bilangan rakaat ) atau ragu dengan bilangan rakaat , ke atasnya untuk menuruti perbuatan imam sehinggalah imam memberi salam.

3. Seandainya makmum menyedari kesilapan yang dilakukan oleh imam, namun tetap menuruti imam pada menambah bilangan rakaat : maka bagi makmum dalam keadaan ini ada dua pendapat :
i. Ada yang berpendapat bahawa makmum itu terbatal solatnya kerana menambah rukun solat dengan sengaja.
ii Dan ada yang berpendapat tidak batal solat mereka bahkan harus dia menuruti imam atas dalil :
إنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk menyempunakan dengannya apabila dia bertakbir, maka bertakbirlah kamu semua, apabila dia membaca, maka hendaklah kamu diam"
Difahami dari mafhum hadith ini bahawa ke atas makmum supaya menuruti perbuatan imam.

Mudah-mudahan penjelasan yang diberikan difahami, dan mudah-mudahan Allah menerima solat kita semua. Dan bagi saya ketiga-tiga keadaan ini ( keadaan makmum ) diterima ibadah solat mereka. Wallahu a'lam.

Rujukan : Fatwa Lajnah Daimah, namun pendapat Abd Aziz bin Baaz sehingga kepada keadaan kedua sahaja yang diterima solatnya, tidak yang ketiga. Pendapat yang ketiga saya ambil daripada pandangan guru-guru saya, dan sahabat-sahabat dalam membahaskan masalah ini beserta dengan dalil daripada mereka. Wallahu a'lam.

Nasihat Bagi Mereka Yang Menginginkan Lailatal Qadr

Sebilangan masyarakat yang menunaikan solat tarawih berjemaah di surau atau masjid akan meninggalkan solat bersama imam apabila sampai rakaat-rakaat tertentu ( 8 atau 12 ). Suka untuk saya memperingati diri dan semua muslimin dan muslimat berkenaan hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam yang berbunyi :

من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة
"Barangsiapa yang 'bangun' ( menunaikan solat) bersama imam sehingga dia beredar ( selesai ) ditulis baginya ( ganjaran pahala seolah-olah ) berqiyamullail satu malam"-Hadith Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nasa'i, Al-Tirmizi dan lain-lain.

Justeru, sama-samalah kita menunaikan solat tarawih bersama-sama imam sehingga selesai solat tersebut bagi memperolehi ganjaran yang begitu besar. Seandainya ditulis malam tersebut merupakan lailatul qadr mudah-mudahan kita akan ditulis sebagai mereka yang telah membangunkan malam tersebut dan memperolehi ganjaran yang telah disebut dalam surah Al-Qadr.


Imam & Tazkirah

InsyaAllah Abu Raihanah akan berada pada malam ini ( Malam kesepuluh Ramadhan )
di :
MASJID LEMBAH JAYA, AMPANG SELANGOR

Bagi mengimamkan solat tarawih, seterusnya menyampaikan tazkirah Ramadhan.

H1N1 : Satu Peringatan Buat Diri Yang Alpa




"Apakah penduduk di sesuatu negeri berasa aman dari siksaan Kami (Allah) seandainya ianya didatangkan pada waktu malam sedang mereka nyenyak tidur? Adakah penduduk di sesuatu negeri berasa aman dari siksaan Kami (Allah) seandainya ianya didatangkan pada waktu pagi sedang mereka sibuk bermain? Adakah mereka berasa aman daripada azab Allah ( yang datang tidak diduga )? Tidaklah merasa aman daripada siksaan Allah melainkan orang-orang yang rugi" -
Al A'raf : 97-99.

Pada waktu ini jumlah angka korban akibat wabak ini tidaklah dapat dipastikan, namun ianya bukanlah satu angka yang kecil. Kebimbangan akibat penularan wabak ini diseluruh pelusuk alam bukanlah satu kebimbangan yang biasa, bahkan ianya menimbulkan perasaan cemas dan ketakutan yang luar biasa. Bagi mereka yang telah melihat kesan daripada penularan wabak ini terhadap saudara mara atau sahabat handai atau sesiapa juga akan mengatakan bahawa ianya adalah satu kedahsyatan yang tidak dapat dibayangkan.

Bayangkan ianya tidak hanya menjangkiti golongan atau kelompok tertentu tetapi ia menjangkiti sesiapa sahaja yang dikehendaki daripada orang tua, dewasa, remaja, kanak-kanak mahu pun bayi. Sama ada yang tinggal di kawasan perumahan miskin, setinggan, asrama sehinggalah ke rumah-rumah mewah sekali pun!

Namun disebalik musibah( kalau pun boleh dikatakan fitnah ) yang melanda ini, berapa ramaikah yang menginsafi bahawa di sana ada makhluk yang lebih berkuasa daripada manusia walau pun sebenarnya ia hanyalah satu jisim atau jirim yang terlalu halus ciptaannya. Pastilah Pencipta kepada manusia dan sekalian makhluk itu lebih berkuasa dan berupaya daripada segalanya.

Apabila musibah ini melanda,berapa ramaikah daripada kalangan kita yang kembali kepada Allah dengan seberapa segera untuk melihat kembali dalam diri, apakah yang mengundang kemurkaan daripada Allah untuk segera diajukan taubat?

Berapa ramaikah yang menyedari dalam rupa ketakutan itu pengajaran yang cukup besar yang ingin diselitkan? Antaranya tatkala mana ayat hijab dibacakan, berapa ramai yang cepat bertindak mengenakan hijab yang menjamin keselamatan bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat berbanding dengan 'mask' yang segera dicari kedai-kedai dan farmasi-farmasi sehingga ketiadaannya di pasaran amat merumitkan berbanding longgokan tudung-tudung yang masih lagi 'belum laku'.

Bagi mereka yang mengambil pengajaran, maka sesungguhnya merekalah orang yang berjaya, manakala mereka yang terus merasa aman akibat keyakinan terhadap makhluk lebih daripada keyakinan terhadap Allah, maka sesungguhnya Allah tidak pernah lupa perbuatan mereka yang zalim dan menzalimi diri sendiri, Dia hanya menangguhkannya ke suatu tempoh yang ditentukannya untuk menyudahkan keadilanNya yang Maha Adil Lagi Maha Mengetahui segala sesuatu.

"Ya Allah Ampunkanlah dosa-dosa kami dan orang-orang Muslimin dan Mukminin sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia."

Etika Kepenggunaan

Pagi ini dua insiden yang berlaku dalam satu perjalanan singkat tapi masih saya tertanya-tanya, inikah dunia perniagaan yang diimpikan oleh mereka yang bermimpi untuk mendirikan empayar perniagaan yang besar?

Insiden pertama, pagi tadi hati tergerak untuk makan roti canai bersama isteri dirumah, lantas selesai sahaja solat subuh, saya bergerak ke kedai yang menyediakan hidangan roti canai. Apabila pulang sahaja ke rumah, dan menghidangkan roti canai, didapati kuahnya telah pun basi. Teringat kepada kata-kata adik yang pernah membeli juadah yang sama lebih kurang 4 minggu yang lalu dengan hasil yang sama ( kuah basi ) membuatkan hati ini hendak sahaja membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah bagi memeriksa premis tersebut dan diambil tindakan yang sewajarnya. Namun, hati ini menasihatkan agar mereka dinasihati sebelum tindakan lebih keras diambil.

Insiden kedua belaku sejurus keluar dari kedai yang pertama saya singgah ke kedai serbaneka 24JAM ( namanya tidak perlu saya sebutkan ). Saya membeli barangan keperluan harian di situ meski pun tabiat saya untuk berbelanja di kedia runcit muslim, namun pada hari ini saya terpaksa berbelanja di situ kerana kebiasaannya kedai runcit muslim hanya beroperasi selepas jam 9 pagi di kawasan perumahan saya. Selepas membayar wang secukupnya, saya tidak dipulangkan wang baki yang berjumlah 5 sen. Lalu saya bertanya kepada jurujualnya ( kebetulan seorang muslimah ), adakah kebiasaan kamu untuk tidak memulangkan baki 5 sen? Antara jawapan yang diungkap kepada saya, 5 sen pun nak? Kami tak da 5 sen. Lalu saya jawap kembali kepada wanita tersebut, 5 sen itu adalah hak saya. ( Dalam hati saya berbisik, saya bukan penderma sekarang dan kamu bukan peminta sedekah! ). Lalu dipulangkan kembali hak saya yang hanya berjumlah 5 sen!


Apa yang ingin dikongsi oleh saya adalah etika kepenggunaan dalam Islam, sama ada penjual mahu pun pembeli hendaklah memiliki etika kepenggunaan yang benar-benar difahami. Memberikan apa yang menjadi hak, dan menerima apa sahaja yang menjadi hak kita. Kalau perlu dihalalkan 5 sen tersebut maka bicaralah dengan sebaiknya bukan dengan cara didiamkan perkara tersebut. Perkara ini juga pernah berlaku berulang kali kepada saya apabila saya berurusan di pasaraya besar ( tak perlu disebutkan namanya ). Kebetulan waktu tersebut duit 1 sen masih lagi digunakan dan baki yang seharusnya saya terima adalah 4 sen. Lantas apabila diajukan kepada cashier dia mendakwa tiada wang 1 sen untuk dipulangkan baki. Namun apabila saya berkeras untuk dipulangkan apa yang menjadi hak saya ( 4 sen ), maka dipulangkan kepada saya 5 sen, dan saya dengan senang hati memulangkan kembali 1 sen kepada mereka sekali pun mereka menyerahkan 5 sen itu dengan rela hati, tapi atas dasar saya hanya mengambil apa yang menjadi hak saya, dan memulangkan apa yang bukan hak saya, maka saya pulangkan kepada mereka 1 sen. Saya juga berpendapat, bukan mereka yang berhak untuk memberikan kepada saya lebihan 1 sen tersebut, kerana mereka bukanlah tuan kepada pasaraya tersebut,sebaliknya hanyalah sebagai wakil untuk menjual barangan di situ pada harga dan barangan yang talah ditetapkan.


Justeru, saya menyeru kepada semua peniaga, pemilik perniagaan, pekerja di pusat perniagaan dan pengguna sendiri untuk memahami konsep perniagaan yang disyariatkan oleh Islam, pada konsep dan hak-hak masing-masing, supaya tidak terjerumus ke dalam golongan yang dijanjikan dengan dengan kecelakaan seperti yang disebut dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-5.

Selamat Hari Guru


Antara ucapan-ucapan yang ku terima dari anak-anak muridku,


Ucapan 1 :
GURU..Dalam ajarnya ada harapan,
Dalam tegurnya ada doa,

Dalam marahnya ada sayang,

Dalam tawanya ada mesranya,

Dalam diam ada bijaksana,
Berbahagialah menjadi guru..
Selamat Hari Guru...

Daripada :.....( Seorang anak muridku )..

Ucapan 2 :
Slm ust, slmt hari guru ana ucapkan..t.kasih x'thingga kpd us krn tlh b'sm kami dalam menjykn progm ______ jasa us hny Allah dpt m'blsny..tksh ats nsht dn p'kgsian ilmu buat kmi..mdh2n akn ada p'tmuan kali ke2 nt b'sm us..syukran us:-)..

Ucapan 3 :

SELAMAT HARI GURU Ustaz! " GURU PEMBINA NEGARA BANGSA " -
Daripada :-____ student -

Terasa sayu dalam hati, walau bukan balasan dunia yang dipinta, namun penghargaan kalian ibarat satu suntikan semangat dalam diri ini. Doaku kepada semua anak-anak muridku :
Baarakallahu lakum wa jazaakmullahu khairal jaza' wa zaadakumullah ilman wa 'amala...

Selamat Hari Pendidik kepada semua pendidik-pendidikku dan pendidik-pendidik yang lain..


Tanya dan Jawab...Maha Suci Allah Yang Menurunkan Wahyu dan Menjadikan Akal..


SOALAN DARI BUKAN ISLAM UNTUK ORANG ISLAM, TENTANG AGAMA ISLAM

Sewaktu Nabi Muhammad saw wafat, telah disempurnakan agamamu (Islam). Semua persoalan akan ada jawapannya, hanya ilmu di dada penentu jawapan apa yang perlu diberi.

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?

Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali. Mengapa? Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memapaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2) Nama Nabi Isa disebut lagi banyak dari nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran, tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?
Soalan sebaliknya, dalam Bible, nama syaitan lebih banyak dari nama Nabi Isa, jadi siapa lagi hebat? Syaitan @ Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan nabi dan rasulNya. Walaubagaimanapun, Allah Maha mengetahuinya.

3) Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja nabi Isa itu Tuhan kan?
Dalam banyak2 kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga yang ade menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata "siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka.

4) Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, di akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir?
Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya. Perumpamaan : Jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulong masih hidup, hakikat yang tidak akan berubah ialah anak sulong tetap sulong.

5) Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.
Kita jawab seperti ini, antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak sembah Mariam je? Kan Mariam ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga merupakan manusia pertama, kenapa tidak disembah Adam sahaja? Jawapan lengkap ada dalam Surah Imran, ayat 59.

6) Jika baca tafsir, Allah berfirman sekejap guna 'Aku', sekejap guna 'Kami' Kenapa?
'Kami' kan lambang 'Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)' ?
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, 'aku' kata jamaknya 'kami' yang menggambarkan tentang 'Allah dan keagunganNya' . Tengok sahaja Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna 'We' bukan 'I'.

7) Orang Sikh Punjabi bertanya, kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah tuhan yang perlu disimpan?
Kita jawab dengan soalan ini, kuku juga anugerah tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?


8) Sami Budha vegetarian bertanya, kenapa Islam suruh bunuh binatang untuk dimakan? Kan zalim kerana bunuh hidupan bernyawa?
Sains telah buktikan, sayur dan pokok turut ade nyawa. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ade banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Bila kita bunuh (sembelih sebenarnya) 1 ekor lembu, sebenarnya kita telah selamatkan bayak nyawa manusia.

9) Sami Budha menjawab " Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria, bunuh binatang dosa besar"
Kita jawab seperti ini, habis tu, kita Cuma berdosa kecil je la jika bunuh orang yang pekak, buta, bisu hanya kerana dia tidak ade deria?


10) Sami Budha menjawab lagi "Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik"
Kita jawab lagi "habis tu, awak makan lah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus"


11) Sami Budha berkata lagi "makan binatang akan dapat banyak penyakit"
Kita jawab "Penyakit datang kerana kita makan banyak. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran.. Alah, tembakau dan dadah pun dari tumbuhan juga kan? Lagi besar penyakitnya kan? Lembu yang ragut rumput hari2 pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kesah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi jangan lah cakap haram apa yang telah Allah halalkan untuk kita.

12) Kan **** itu ciptaan Allah, kenapa Islam tak makan ****?
Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan.

13) Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari2 sembah Kaabah.
Islam bukan sembah Kaabah, tapi Kaabah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Kaabah akan masuk neraka kerana Islam Sembah Allah, kaabah Cuma kiblat. Perlu tahu bezakan. Bukti, orang yg sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindi tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari2 pijak gambar Kaabah (sejadah). Jika ada gambar Kaabah diletak di KLCC, orang Islam tetap solat menghadap Kaabah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah... Bukan sembah Kaabah!

14) Kenapa perlu ikut nabi Muhammad saw kerana nabi dan rasul sebelum baginda kan betul2 juga?
Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.

Soalan2 yg nyatakan di atas, sebenarnya memang benar2 di tanya oleh orang bukan Islam secara spontan pada orang Islam... mereka bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak membuatkan orang Islam yg ilmu hanya ala kadar berasa was2 dengan Islam dan akhirnya orang Islam akan berasa was2 dengan agama yang dianutinya. Jadi jawapan yg disampaikanpun tak perlu panjang2 cukup sekadar ringkas dan padat.

Note : Dari kiriman seorang sahabat...

Al Quds..


Sudah terlalu lama tidak ada posting yang baru atas sebarang tajuk selepas posting terakhir tentang Falestin diri ini nukilkan. Walau pun di atas kertas atau dada akhbar, kisah Falestin ini dikatakan derita mereka telah terhenti dengan terhentinya serangan Yahudi ke atas mereka, namun percayalah ianya adalah omongan kosong daripada Yahudi laknatullah. Bangsa Falestin, Ummah Muslimah di sana masih lagi menderita. Serangan-serangan masih terus dilakukan oleh Yahudi ke atas saudara-saudara kita di sana. Sedang khabar yang sampai adalah gambaran keamanan telah mula wujud di sana. Janganlah kita tertipu, usaha untuk mengekang kuasa Yahudi mesti diteruskan. Pemboikotan terhadap mereka pastikan terus berlangsung kerana mereka tidak pernah menyesal atas peperangan yang telah mereka mulakan. Tiada sedetik riak sesal atas pembunuhan ribuan nyawa yang tidak bersalah. Justeru dengan tidak memberikan rasa belas atas boikot yang dibuat adalah satu tindakan balas atas kekejaman yang dibuat oleh mereka.

Tulisan ini diulang kembali ingatannya kerana melihat kepada keadaan di sini yang menyaksikan umay Islam seolah-olah telah mula melupakan Falestin dengan sedikit khabar yang palsu. Mereka seolah-olah telah mula melupakan boikot yang telah dilancar tatkala perang memuncak. Sesunnguhnya, boikot kita terhadap Yahudi akan kekal selamanya melainkan mereka menghentikan sepenuhnya kekejaman mereka dan mengembalikan kembali bumi Al Aqsa ke tangan kita.

Falestin Yang Terjajah, Falestin Yang Terjarah..



Menatap wajah anak-anak yang ketakutan, dipenuhi dengan debu-debu hasil dari runtuhan bangunan di Gazza mendatangkan seribu satu kesayuan dalam jiwa. Jiwa-jiwa kecil yang andai diukur dengan ribuan kanak-kanak di Malaysia, sesungguhnya mereka belum lagi mengerti apakah erti peperangan.
Perempuan-perempuan dan warga tua yang tidak berdaya sekadar merenung di kejauhan apa nasib mereka seterusnya selepas 10 hari pengeboman tanpa henti membantai bukan sahaja bangunan bahkan jiwa yang berada di dalamnya. Angka korban yang kini mencecah 600 orang ( yang dilaporkan ) mempamerkan seolah-olah nilaian nyawa yang dikurniakan oleh Allah terlalu murah.

Namun dalam keributan itu, dunia Islam yang lain seakan sepi khususnya negara yang berjiran dengan bumi yang sepatutnya dilindungi dan dipertahankan kemuliaan kerana di sanalah asal umat Muhammad berkiblah sebelum datangnya wahyu mengarahkan manusia ke baitullah Al Haram. Tangisan, raungan dan aduhan kesakitan yang datang dari saudara di Palestin seolah-olah rengekan manja yang tidak diendahkan.Bahkan sesetengahnya bukan sahaja tidak membantu, dalam masa yang sama menambah tekanan terhadap mereka dengan menutup pintu untuk mereka lari mendapatkan perlindungan di negeri-negeri yang seagama dengan mereka.

Pemimpin-pemimpin di sesetengah negara pula lebih gemar untuk dikenali sebagai 'pengutuk kekejaman' atau yang lebih gah lagi apabila mempekanalkan diri sebagai 'pemula cadangan untuk perdamaian palsu' anjuran mana-mana negara besar yang akhirnya tinggal sebagai cadangan semata-mata sedang saudara kita Falestin terus dihambat dengan misil dan peluru.

Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini sebenarnya bulan bermula pada sebulan yang lalu, atau tahun yang lalu atau dari puluhan tahun yang lalu. Ia sebenarnya telah pun bermula semenjak Kongres zionis yang pertama digerakkan pada tahun 1897 lagi bagi merancang strategi bagaimana untuk mengembalikan yahudi ke tanah yang didakwa sebagai tanah air mereka. Dan perancangan mereka di sempurnakan apabila Kamal Attartuk menjatuhkan sistem pemerintahan khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang menjadi penghalang utama kemasukan yahudi ke bumi Falestin disebabkan ketegasannya Sultan Abdul Hamid II dalam mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan bumi Al Aqsa.

Dari situlah satu demi satu tanah Falestin jatuh ke tangan yahudi. Dimulakan dengan pengisytiharan Al Quds (Jurusalem) sebagai tanah yahudi pada tahun 1967, diikuti Tebing Barat, Gazzah dan Sinai.

Penjajahan terus mencemarkan bumi sekitar dengan simbahan darah apabila penaklukan terhadap Lebanon oleh yahudi pada tahun 1982 yang menyebabkan peristiwa berdarah di Shabra dan Shatila. Ratusan pelarian Falestin yang tidak bersenjata dibunuh. Peristiwa masih lagi segar dalam ingatan kita.

Perjanjian demi perjanjian ditandatangani, namun pengakhiran tetap sama. Umat Islam Falestin terus terjajah dan terjarah. Sebutlah apa sahaja perjanjian yang pernah ditandatangani, Camp David, Persidangan Madrid dan lain-lain, itu sebenarnya hanyalah satu helah untuk terus menekan umat Islam tunduk kepada tekanan kuffar bagi mengiktiraf sebuah negara haram Yahudi sebagai sebuah negara yang berdaulat. Di antara satu perjanjian ke satu perjanjian, satu perdamaian ke satu perdamaian, berapa banyak darah umat Islam telah tertumpah.

Selesai sahaja satu perjanjian umat Islam seluruhnya seakan-akan terus terlupa akan kekejaman yahudi terhadap saudaranya, sehingga berlakunya insiden seterusnya. Kemudian diadakan perjanjian lagi untuk meredakan kemarahan umat Islam, selesai satu lagi perjanjian yang memadamkan kemarahan umat Islam untuk kesekian kalinya. Hakikatnya yahudi tidak pernah puas untuk menggodam umat Islam.

Alasan holacaust ( pembunuhan beramai-ramai yahudi oleh hitler ) digunakan untuk menagih simpati masyarakat dunia terhadap mereka seterusnya mengizinkan kezaliman yang dilakukan oleh mereka. Sedangkan kaitan antara hitler dan Islam bagaikan langit dan bumi. Islam tidak pernah menghalalkan kezaliman sekali pun kepada bukan Islam. Bahkan pembelaan sewajarnya harus diberikan kepada masyarakat bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam.

Tangisan umat Islam kini tidak berguna lagi. Kecaman atau kritikan tidak memberi kesan yang banyak kepada yahudi yang sememangnya terkenal dengan sifat bongkak dan sombong dengan bangsa mereka. Bangsa yahudi menganggap bahawa mereka adalah tuan kepada bumi ini, sedang bangsa yang lain adalah hamba. Justeru tidak hairan, Amerika yang dikenali sebagai kuasa besar dunia kini, kelihatan seperti tikus yang membisu di sisi kucing yang taringnya tidaklah seberapa. yahudi pada perkiraan kini yang jumlah terlalu kecil dan dikenali sebagai bangsa yang paling penakut, dilihat seolah-olah satu gerombolan yang besar yang tidak mampu ditewaskan.

Hakikatnya umat Islam yang tidak bersatu bagi menewaskan mereka. Pergantungan hidup Islam terarah kepada yahudi dan sekutunya. Seolah tanpa mcdonald,coca-cola,dan lain-lain umat Islam tidak mampu untuk hidup. Seandainya raintain ekonomi yahudi ini diboikot dan dipingirkan, mana mungkin mereka mampu untuk mendabik dada lagi. Penggunaan mata wang dolar amerika seandainya diberhentikan, pastinya nilai 1 dolar tidak sampai RM 1. Namun itulah hakikatnya, umat Islam lebih berbangga dengan kehidupan ala yahudi ini, dengan mata wang dolar sebagai tukaran, pakaian, makanan dan minuman sampai celana dalam pun nak kenakan dengan jenama yahudi. Apatah lagi gaya 'perokok tegar' menjadikan merekalah lelaki yang paling macho di dunia. Poket tanpa mushaf Al Quran tidak mengapa, asal ada dunhill, malboro, atau mild seven jadi teman.

Rokok antara penyumbang utama kehancuran umat Islam. Bukan sekadar penyumbang kadar pesakit jantung atau barah paru-paru dan kanser semata-mata, bahkan lebih dahsyat lagi wang hasil jualan rokok itulah yang disalurkan untuk membeli peluru-peluru untuk dihalakan kepada badan umat Islam.

Jihad hanya tinggal ungkapan semata-mata. Mungkin dek kelabu dengan asap rokok, kalau pun dihambur pada mulut dengan kalimah jihad menentang yahudi, tak lama selepas itu ia akan padam dengan hembusan asap yang cukup mengasyikkan.

Sedarlah, rintihan, tangisan, dan ratapan ummah di Falestin akan datang menjadi hujah di hadapan Allah bahawa mereka diabaikan daripada hak mereka mendapatkan bantuan, kalau pun bukan dengan harta dan jiwa, paling kurang pun janganlah menambah kesengsaraan mereka dengan disogokkan yahudi dengan bantuan membeli kelengkapan peperangan mereka hasil dari rokok yang dibeli mahu pun produk-produk dari rantaian ekonomi mereka. Ketahui dan hindarilah ia demi jiwa ummah yang bakal menjadi beban di hari Kiamat nanti untuk dijawab setiap dakwaan.

Lontarkan doa acap kali, jangan jemu, kerana itulah yang penawar yang menghapuskan duka dan lara ummah Falestin yang terjajah dan terjarah. Namun bagi yang berkemampuan, langkahlah ke perbatasan sana, insyaAllah yang menanti adalah bidadari-bidadari dari syurga dengan haruman yang semerbak menanti hadirnya seorang tetamu Allah bergelar syahid...