Wednesday, October 7, 2009

Busyrakumu Al Yaum...

Abu Raihanah dan Ummu Raihanah, telah dikurniakan puteri sulung pada hari Ahad
( 4/10/2009M - 15/10/1430H) jam 1.20 petang.

Semoga Allah subhanahu wata'ala menjadikan puteri kami anak yang solehah..Am

Ucapan kepada mereka yang dikurniakan dengan cahaya mata seperti yang diajar oleh Nabi sallallahu alaihi wasalla

بارك الله لك في الموھوبة لك، وشكرت الواھبَ، وبلغ أشدّه، ورزِقتَ برّه

Wednesday, September 23, 2009

Abu Raihanah & Keluarga
mengucapkan :


Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir & Batin

عيد مبارك
كل عام وأنتم بخير

Sunday, September 6, 2009

Fiqh Imam Makmum

*Maaf kerana tidak menjawab dalam majlis tadi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Keadaan :
Seorang imam telah menambah bilangan rakaat disebabkan oleh keraguan terhadap bilangan rakaat sama ada ianya mencukupi atau tidak, bagaimanakah penyelesaian terhadap masalah ini kepada imam dan makmum?

Jawapan :
Bagi imam, perbuatannya menambah bilangan tersebut tidak menjejaskan solatnya disebabkan oleh keperluan untuk menambah bilangan rakaat seandainya seseorang itu tidak yakin ( ragu ) sama ada bilangan rakaat solatnya cukup atau tidak, dan dituntut ke atasnya selepas daripada itu untuk melakukan sujud sahwi.

Bagi makmum, di sana ada 3 keadaan:
1. Seandainya seseorang itu menyedari akan kesilapan yang dilakukan imam ( menambah akan bilangan rakaat ) , maka baginya mufaraqah daripada imam ( memisahkan dirinya dari mengikuti akan imam ) dengan tidak mengikuti imam tatkala dia bangun menambah bilangan rakaat yang diraguinya.
Dan dalam hal mufaraqah dibolehkan baginya ( makmum ) dua keadaan sama ada menyudahkan solat dengan memberi salam ( selepas membaca tahiyat akhir ) tanpa menunggu imam atau dia menunggu imam ( pada duduk tahiyah akhir ) sehingga imam memberi salam, lalu makmum memberi salam bersama-sama dengan imam.

2. Seandainya makmum tidak menyedari akan kesilapan yang dilakukan imam ( menambah bilangan rakaat ) atau ragu dengan bilangan rakaat , ke atasnya untuk menuruti perbuatan imam sehinggalah imam memberi salam.

3. Seandainya makmum menyedari kesilapan yang dilakukan oleh imam, namun tetap menuruti imam pada menambah bilangan rakaat : maka bagi makmum dalam keadaan ini ada dua pendapat :
i. Ada yang berpendapat bahawa makmum itu terbatal solatnya kerana menambah rukun solat dengan sengaja.
ii Dan ada yang berpendapat tidak batal solat mereka bahkan harus dia menuruti imam atas dalil :
إنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk menyempunakan dengannya apabila dia bertakbir, maka bertakbirlah kamu semua, apabila dia membaca, maka hendaklah kamu diam"
Difahami dari mafhum hadith ini bahawa ke atas makmum supaya menuruti perbuatan imam.

Mudah-mudahan penjelasan yang diberikan difahami, dan mudah-mudahan Allah menerima solat kita semua. Dan bagi saya ketiga-tiga keadaan ini ( keadaan makmum ) diterima ibadah solat mereka. Wallahu a'lam.

Rujukan : Fatwa Lajnah Daimah, namun pendapat Abd Aziz bin Baaz sehingga kepada keadaan kedua sahaja yang diterima solatnya, tidak yang ketiga. Pendapat yang ketiga saya ambil daripada pandangan guru-guru saya, dan sahabat-sahabat dalam membahaskan masalah ini beserta dengan dalil daripada mereka. Wallahu a'lam.

Sunday, August 30, 2009

Nasihat Bagi Mereka Yang Menginginkan Lailatal Qadr

Sebilangan masyarakat yang menunaikan solat tarawih berjemaah di surau atau masjid akan meninggalkan solat bersama imam apabila sampai rakaat-rakaat tertentu ( 8 atau 12 ). Suka untuk saya memperingati diri dan semua muslimin dan muslimat berkenaan hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam yang berbunyi :

من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة
"Barangsiapa yang 'bangun' ( menunaikan solat) bersama imam sehingga dia beredar ( selesai ) ditulis baginya ( ganjaran pahala seolah-olah ) berqiyamullail satu malam"-Hadith Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nasa'i, Al-Tirmizi dan lain-lain.

Justeru, sama-samalah kita menunaikan solat tarawih bersama-sama imam sehingga selesai solat tersebut bagi memperolehi ganjaran yang begitu besar. Seandainya ditulis malam tersebut merupakan lailatul qadr mudah-mudahan kita akan ditulis sebagai mereka yang telah membangunkan malam tersebut dan memperolehi ganjaran yang telah disebut dalam surah Al-Qadr.


Imam & Tazkirah

InsyaAllah Abu Raihanah akan berada pada malam ini ( Malam kesepuluh Ramadhan )
di :
MASJID LEMBAH JAYA, AMPANG SELANGOR

Bagi mengimamkan solat tarawih, seterusnya menyampaikan tazkirah Ramadhan.

Monday, August 10, 2009

H1N1 : Satu Peringatan Buat Diri Yang Alpa




"Apakah penduduk di sesuatu negeri berasa aman dari siksaan Kami (Allah) seandainya ianya didatangkan pada waktu malam sedang mereka nyenyak tidur? Adakah penduduk di sesuatu negeri berasa aman dari siksaan Kami (Allah) seandainya ianya didatangkan pada waktu pagi sedang mereka sibuk bermain? Adakah mereka berasa aman daripada azab Allah ( yang datang tidak diduga )? Tidaklah merasa aman daripada siksaan Allah melainkan orang-orang yang rugi" -
Al A'raf : 97-99.

Pada waktu ini jumlah angka korban akibat wabak ini tidaklah dapat dipastikan, namun ianya bukanlah satu angka yang kecil. Kebimbangan akibat penularan wabak ini diseluruh pelusuk alam bukanlah satu kebimbangan yang biasa, bahkan ianya menimbulkan perasaan cemas dan ketakutan yang luar biasa. Bagi mereka yang telah melihat kesan daripada penularan wabak ini terhadap saudara mara atau sahabat handai atau sesiapa juga akan mengatakan bahawa ianya adalah satu kedahsyatan yang tidak dapat dibayangkan.

Bayangkan ianya tidak hanya menjangkiti golongan atau kelompok tertentu tetapi ia menjangkiti sesiapa sahaja yang dikehendaki daripada orang tua, dewasa, remaja, kanak-kanak mahu pun bayi. Sama ada yang tinggal di kawasan perumahan miskin, setinggan, asrama sehinggalah ke rumah-rumah mewah sekali pun!

Namun disebalik musibah( kalau pun boleh dikatakan fitnah ) yang melanda ini, berapa ramaikah yang menginsafi bahawa di sana ada makhluk yang lebih berkuasa daripada manusia walau pun sebenarnya ia hanyalah satu jisim atau jirim yang terlalu halus ciptaannya. Pastilah Pencipta kepada manusia dan sekalian makhluk itu lebih berkuasa dan berupaya daripada segalanya.

Apabila musibah ini melanda,berapa ramaikah daripada kalangan kita yang kembali kepada Allah dengan seberapa segera untuk melihat kembali dalam diri, apakah yang mengundang kemurkaan daripada Allah untuk segera diajukan taubat?

Berapa ramaikah yang menyedari dalam rupa ketakutan itu pengajaran yang cukup besar yang ingin diselitkan? Antaranya tatkala mana ayat hijab dibacakan, berapa ramai yang cepat bertindak mengenakan hijab yang menjamin keselamatan bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat berbanding dengan 'mask' yang segera dicari kedai-kedai dan farmasi-farmasi sehingga ketiadaannya di pasaran amat merumitkan berbanding longgokan tudung-tudung yang masih lagi 'belum laku'.

Bagi mereka yang mengambil pengajaran, maka sesungguhnya merekalah orang yang berjaya, manakala mereka yang terus merasa aman akibat keyakinan terhadap makhluk lebih daripada keyakinan terhadap Allah, maka sesungguhnya Allah tidak pernah lupa perbuatan mereka yang zalim dan menzalimi diri sendiri, Dia hanya menangguhkannya ke suatu tempoh yang ditentukannya untuk menyudahkan keadilanNya yang Maha Adil Lagi Maha Mengetahui segala sesuatu.

"Ya Allah Ampunkanlah dosa-dosa kami dan orang-orang Muslimin dan Mukminin sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia."

Wednesday, July 8, 2009

Etika Kepenggunaan

Pagi ini dua insiden yang berlaku dalam satu perjalanan singkat tapi masih saya tertanya-tanya, inikah dunia perniagaan yang diimpikan oleh mereka yang bermimpi untuk mendirikan empayar perniagaan yang besar?

Insiden pertama, pagi tadi hati tergerak untuk makan roti canai bersama isteri dirumah, lantas selesai sahaja solat subuh, saya bergerak ke kedai yang menyediakan hidangan roti canai. Apabila pulang sahaja ke rumah, dan menghidangkan roti canai, didapati kuahnya telah pun basi. Teringat kepada kata-kata adik yang pernah membeli juadah yang sama lebih kurang 4 minggu yang lalu dengan hasil yang sama ( kuah basi ) membuatkan hati ini hendak sahaja membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah bagi memeriksa premis tersebut dan diambil tindakan yang sewajarnya. Namun, hati ini menasihatkan agar mereka dinasihati sebelum tindakan lebih keras diambil.

Insiden kedua belaku sejurus keluar dari kedai yang pertama saya singgah ke kedai serbaneka 24JAM ( namanya tidak perlu saya sebutkan ). Saya membeli barangan keperluan harian di situ meski pun tabiat saya untuk berbelanja di kedia runcit muslim, namun pada hari ini saya terpaksa berbelanja di situ kerana kebiasaannya kedai runcit muslim hanya beroperasi selepas jam 9 pagi di kawasan perumahan saya. Selepas membayar wang secukupnya, saya tidak dipulangkan wang baki yang berjumlah 5 sen. Lalu saya bertanya kepada jurujualnya ( kebetulan seorang muslimah ), adakah kebiasaan kamu untuk tidak memulangkan baki 5 sen? Antara jawapan yang diungkap kepada saya, 5 sen pun nak? Kami tak da 5 sen. Lalu saya jawap kembali kepada wanita tersebut, 5 sen itu adalah hak saya. ( Dalam hati saya berbisik, saya bukan penderma sekarang dan kamu bukan peminta sedekah! ). Lalu dipulangkan kembali hak saya yang hanya berjumlah 5 sen!


Apa yang ingin dikongsi oleh saya adalah etika kepenggunaan dalam Islam, sama ada penjual mahu pun pembeli hendaklah memiliki etika kepenggunaan yang benar-benar difahami. Memberikan apa yang menjadi hak, dan menerima apa sahaja yang menjadi hak kita. Kalau perlu dihalalkan 5 sen tersebut maka bicaralah dengan sebaiknya bukan dengan cara didiamkan perkara tersebut. Perkara ini juga pernah berlaku berulang kali kepada saya apabila saya berurusan di pasaraya besar ( tak perlu disebutkan namanya ). Kebetulan waktu tersebut duit 1 sen masih lagi digunakan dan baki yang seharusnya saya terima adalah 4 sen. Lantas apabila diajukan kepada cashier dia mendakwa tiada wang 1 sen untuk dipulangkan baki. Namun apabila saya berkeras untuk dipulangkan apa yang menjadi hak saya ( 4 sen ), maka dipulangkan kepada saya 5 sen, dan saya dengan senang hati memulangkan kembali 1 sen kepada mereka sekali pun mereka menyerahkan 5 sen itu dengan rela hati, tapi atas dasar saya hanya mengambil apa yang menjadi hak saya, dan memulangkan apa yang bukan hak saya, maka saya pulangkan kepada mereka 1 sen. Saya juga berpendapat, bukan mereka yang berhak untuk memberikan kepada saya lebihan 1 sen tersebut, kerana mereka bukanlah tuan kepada pasaraya tersebut,sebaliknya hanyalah sebagai wakil untuk menjual barangan di situ pada harga dan barangan yang talah ditetapkan.


Justeru, saya menyeru kepada semua peniaga, pemilik perniagaan, pekerja di pusat perniagaan dan pengguna sendiri untuk memahami konsep perniagaan yang disyariatkan oleh Islam, pada konsep dan hak-hak masing-masing, supaya tidak terjerumus ke dalam golongan yang dijanjikan dengan dengan kecelakaan seperti yang disebut dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-5.