Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Etika Kepenggunaan

Pagi ini dua insiden yang berlaku dalam satu perjalanan singkat tapi masih saya tertanya-tanya, inikah dunia perniagaan yang diimpikan oleh mereka yang bermimpi untuk mendirikan empayar perniagaan yang besar?

Insiden pertama, pagi tadi hati tergerak untuk makan roti canai bersama isteri dirumah, lantas selesai sahaja solat subuh, saya bergerak ke kedai yang menyediakan hidangan roti canai. Apabila pulang sahaja ke rumah, dan menghidangkan roti canai, didapati kuahnya telah pun basi. Teringat kepada kata-kata adik yang pernah membeli juadah yang sama lebih kurang 4 minggu yang lalu dengan hasil yang sama ( kuah basi ) membuatkan hati ini hendak sahaja membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah bagi memeriksa premis tersebut dan diambil tindakan yang sewajarnya. Namun, hati ini menasihatkan agar mereka dinasihati sebelum tindakan lebih keras diambil.

Insiden kedua belaku sejurus keluar dari kedai yang pertama saya singgah ke kedai serbaneka 24JAM ( namanya tidak perlu saya sebutkan ). Saya membeli barangan keperluan harian di situ meski pun tabiat saya untuk berbelanja di kedia runcit muslim, namun pada hari ini saya terpaksa berbelanja di situ kerana kebiasaannya kedai runcit muslim hanya beroperasi selepas jam 9 pagi di kawasan perumahan saya. Selepas membayar wang secukupnya, saya tidak dipulangkan wang baki yang berjumlah 5 sen. Lalu saya bertanya kepada jurujualnya ( kebetulan seorang muslimah ), adakah kebiasaan kamu untuk tidak memulangkan baki 5 sen? Antara jawapan yang diungkap kepada saya, 5 sen pun nak? Kami tak da 5 sen. Lalu saya jawap kembali kepada wanita tersebut, 5 sen itu adalah hak saya. ( Dalam hati saya berbisik, saya bukan penderma sekarang dan kamu bukan peminta sedekah! ). Lalu dipulangkan kembali hak saya yang hanya berjumlah 5 sen!


Apa yang ingin dikongsi oleh saya adalah etika kepenggunaan dalam Islam, sama ada penjual mahu pun pembeli hendaklah memiliki etika kepenggunaan yang benar-benar difahami. Memberikan apa yang menjadi hak, dan menerima apa sahaja yang menjadi hak kita. Kalau perlu dihalalkan 5 sen tersebut maka bicaralah dengan sebaiknya bukan dengan cara didiamkan perkara tersebut. Perkara ini juga pernah berlaku berulang kali kepada saya apabila saya berurusan di pasaraya besar ( tak perlu disebutkan namanya ). Kebetulan waktu tersebut duit 1 sen masih lagi digunakan dan baki yang seharusnya saya terima adalah 4 sen. Lantas apabila diajukan kepada cashier dia mendakwa tiada wang 1 sen untuk dipulangkan baki. Namun apabila saya berkeras untuk dipulangkan apa yang menjadi hak saya ( 4 sen ), maka dipulangkan kepada saya 5 sen, dan saya dengan senang hati memulangkan kembali 1 sen kepada mereka sekali pun mereka menyerahkan 5 sen itu dengan rela hati, tapi atas dasar saya hanya mengambil apa yang menjadi hak saya, dan memulangkan apa yang bukan hak saya, maka saya pulangkan kepada mereka 1 sen. Saya juga berpendapat, bukan mereka yang berhak untuk memberikan kepada saya lebihan 1 sen tersebut, kerana mereka bukanlah tuan kepada pasaraya tersebut,sebaliknya hanyalah sebagai wakil untuk menjual barangan di situ pada harga dan barangan yang talah ditetapkan.


Justeru, saya menyeru kepada semua peniaga, pemilik perniagaan, pekerja di pusat perniagaan dan pengguna sendiri untuk memahami konsep perniagaan yang disyariatkan oleh Islam, pada konsep dan hak-hak masing-masing, supaya tidak terjerumus ke dalam golongan yang dijanjikan dengan dengan kecelakaan seperti yang disebut dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-5.