"Apakah penduduk di sesuatu negeri berasa aman dari siksaan Kami (Allah) seandainya ianya didatangkan pada waktu malam sedang mereka nyenyak tidur? Adakah penduduk di sesuatu negeri berasa aman dari siksaan Kami (Allah) seandainya ianya didatangkan pada waktu pagi sedang mereka sibuk bermain? Adakah mereka berasa aman daripada azab Allah ( yang datang tidak diduga )? Tidaklah merasa aman daripada siksaan Allah melainkan orang-orang yang rugi" - Al A'raf : 97-99.
Pada waktu ini jumlah angka korban akibat wabak ini tidaklah dapat dipastikan, namun ianya bukanlah satu angka yang kecil. Kebimbangan akibat penularan wabak ini diseluruh pelusuk alam bukanlah satu kebimbangan yang biasa, bahkan ianya menimbulkan perasaan cemas dan ketakutan yang luar biasa. Bagi mereka yang telah melihat kesan daripada penularan wabak ini terhadap saudara mara atau sahabat handai atau sesiapa juga akan mengatakan bahawa ianya adalah satu kedahsyatan yang tidak dapat dibayangkan.
Bayangkan ianya tidak hanya menjangkiti golongan atau kelompok tertentu tetapi ia menjangkiti sesiapa sahaja yang dikehendaki daripada orang tua, dewasa, remaja, kanak-kanak mahu pun bayi. Sama ada yang tinggal di kawasan perumahan miskin, setinggan, asrama sehinggalah ke rumah-rumah mewah sekali pun!
Namun disebalik musibah( kalau pun boleh dikatakan fitnah ) yang melanda ini, berapa ramaikah yang menginsafi bahawa di sana ada makhluk yang lebih berkuasa daripada manusia walau pun sebenarnya ia hanyalah satu jisim atau jirim yang terlalu halus ciptaannya. Pastilah Pencipta kepada manusia dan sekalian makhluk itu lebih berkuasa dan berupaya daripada segalanya.
Apabila musibah ini melanda,berapa ramaikah daripada kalangan kita yang kembali kepada Allah dengan seberapa segera untuk melihat kembali dalam diri, apakah yang mengundang kemurkaan daripada Allah untuk segera diajukan taubat?
Berapa ramaikah yang menyedari dalam rupa ketakutan itu pengajaran yang cukup besar yang ingin diselitkan? Antaranya tatkala mana ayat hijab dibacakan, berapa ramai yang cepat bertindak mengenakan
hijab yang menjamin keselamatan bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat berbanding dengan '
mask' yang segera dicari kedai-kedai dan farmasi-farmasi sehingga ketiadaannya di pasaran amat merumitkan berbanding longgokan tudung-tudung yang masih lagi
'belum laku'.Bagi mereka yang mengambil pengajaran, maka sesungguhnya merekalah orang yang berjaya, manakala mereka yang terus merasa aman akibat keyakinan terhadap makhluk lebih daripada keyakinan terhadap Allah, maka sesungguhnya Allah tidak pernah lupa perbuatan mereka yang zalim dan menzalimi diri sendiri, Dia hanya menangguhkannya ke suatu tempoh yang ditentukannya untuk menyudahkan keadilanNya yang Maha Adil Lagi Maha Mengetahui segala sesuatu.
"Ya Allah Ampunkanlah dosa-dosa kami dan orang-orang Muslimin dan Mukminin sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia."