&
Maaf Zahir & Batin
Daripada : Abu Raihanah Sekeluarga
Taubat
Kita telah pun merentasi sempadan kedua dalam perjalanan ibadah Ramadhan ini. Sedar atau tidak, satu pertiga ruang waktu yang dikurniakan kepada kita telah pun kita habiskan. Sama ada ianya telah dipenuhi dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat atau kita sebenarnya hanya melepaskan peluang-peluang keemasan yang telah kita perolehi untuk tempoh waktu yang cukup singkat. Tempoh yang berlaku sekali dalam setahun kehidupan kita yang entahkan akan datang sekali lagi atau inilah sahaja ruang yang sempat kita penuhkan.
Sempadan kedua meletakkan keampunan daripada Allah sebagai matlamat yang ingin dicapai selepas jaminan kerahmatan dalam sempadan yang pertama terbuka luas. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : " Dan itulah bulan yang awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya bebas daripada api neraka".
Mengimbas perjalanan kehidupan kita yang lalu, menyaksikan satu ribu satu peristiwa, yang kadangkala mencoret dalam lipatan amalan kita sesuatu yang dinamakan dosa sama ada yang kecil mahu pun yang besar. Dosa yang terkumpul tanpa keampunan natijahnya akan menjerumuskan kita ke neraka Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w: " Hendaklah kamu bersifat dengan sifat benar ( percakapan dan perbuatan ) , kerana berlaku benar akan membawa ke arah kebaikan dan kebaikan akan membawa ke syurga , dan sentiasalah seseorang itu bersifat dengan sifat benar serta berterusan dengan sifat itu sehinggalah ditulis oleh Allah dia benar, dan berhati-hatilah kamu dengan sifat berbohong , kerana berbohong akan membawa kamu kepada perbuatan yang berdosa , dan dosa akan membawa ke neraka , sentiasalah seseorang itu berbohong serta berterusan dengan sifat itu sehinggalah ditulis oleh Allah dia berbohong.
Maka , dalam sempadan yang kedua ini , satu lagi pintu terbuka. Pintu keampunan. Seringkali apabila kita melakukan kesalahan dan kesilapan dengan makhluk , kita sentiasa mengharapkan agar kesilapan itu dimaafkan dan kita dilepaskan daripada hukuman. Namun dalam perkiraan dengan dosa, ramai yang mengambil mudah dengannya. Mungkin di sebabkan pembalasan daripada Allah merupakan sesuatu yang hanya dikhabarkan melalui Al Quran dan Hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam. Andainya pembalasan itu ditunjukkan di hadapan mata dan diperdengarkan azab dan siksanya seksaan itu, nescaya berlumba-lumbalah manusia untuk memohon keampunan daripada Allah. Namun itu bukanlah alasan untuk kita menangguhkan taubat yang dituntut ke atas kita untuk melaksanakannya setiap kali kita melakukan kesalahan sama ada dengan Pencipta atau dengan makhluk. Sebagai orang beriman, kita dituntut untuk beriman dengan perkara-perkara ghaib yang dikhabarkan sama ada melalui Al Quran mahu pun sunnah Rasulullah s.a.w seperti mana firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 1-3:
Maksudnya: Alif Laam Mim. Itulah kitab ( Al Quran ) yang tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu mereka yang beriman dengan perkara yang ghaib dan mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada apa yang direzkikan.
Pengisian
Justeru itu, apakah pengisian bagi sempadan " keampunan" ini?
Antara saranan yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam ialah ; kita meningkatkan amalan-amalan kita. Penerusan amalan solat tarawih , bacaan Al Quran , bersedekah, menyediakan makanan bagi orang berbuka serta memperbanyakkan zikrullah.
Menyentuh berkenaan menyediakan makanan bagi orang berbuka, amalan ini merupakan antara sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ فَأَكَلَ ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ
“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: “Telah berbuka puasa disisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat”.(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ianya sahih 5/158).
Bahkan seandainya dilihat dari satu sudut lagi , inilah antara bentuk sedekah yang baik. Tambahan pula dilakukan dalam bulan yang cukup mulia , bulan yang menjanjikan seribu rahmat daripada Allah.
Ganjaran bagi setiap huluran sedekah seperti yang terkandung dalam ayat 261 , surah Al Baqarah , Allah berfirman:
Perumpamaan orang-orang yang menginfaqkan ( menyedekahkan ) harta mereka di jalan Allah seperti sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai , di setiap tangkai tumbuh pula seratus biji benih , Allah ( berkuasa ) menggandakan sesiapa yang Dia kehendaki , dan Allah amat luas pengetahuanNya.
Semangat
Satu lagi isu yang diketengahkan dalam ruangan ini ialah berkenaan dengan tabiat kebanyakan daripada kita , yang hanya bersemangat untuk melaksanakan ibadah Ramadhan di awal Ramadhan sahaja. Malangnya apabila masuk sahaja sempadan kedua Ramadhan ini, kita dapat melihat semangat itu seolah-olah hilang atau berkurangan.
Bagaimana kita ingin mengatasi masalah ini?
Antara cara-caranya ialah ; hendaklah kita memastikan amalan yang kita lakukan adalah ikhlas kerana Allah. Keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu akan mendorong kita berterusan dalam amalan tersebut kerana kita menyedari akan kelebihan dan keuntungannya. Sebaliknya , seandainya kita melakukan sesuatu kerana seseorang atau habuan tertentu, sudah pasti apabila hilangnya sebab tersebut pasti amalan itu akan terhenti.
Kedua : Melaksanakan dalam bentuk berjamaah ( berkumpulan ) amalan-amalan yang boleh dilaksanakan dalam bentuk tersebut misalannya solat tarawih , tadarus Al Quran , qiyamullail dan lain-lain. Ini kerana kita mampu untuk mendapat motivasi secara tidak langsung daripada kawan-kawan yang turut sama bersungguh-sungguh melaksanakan sesuatu ibadah itu. Sebaliknya seandainya kita melaksanakan secara sendirian , berkemungkinan factor keletihan , kepenatan dan lain-lain akan dijadikan alas an untuk tidak melakukan sebarang amalan atau pun ianya dilakukan sambil lewa.
Ketiga : Meletakkan gambaran tentang balasan yang dijanjikan Allah sebagai motivasi terbesar untuk kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu ibadah. Allah telah menetapkan setiap amalan kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Tentulah balasan terbesar yang menanti ialah syurga yang akan dikurniakan dengan izin Allah s.w.t.
Taubat ( memohon keampunan ) :
Oleh itu , matlamat yang ingin kita buru dalam sempadan yang kedua ini ialah keampunan daripada Allah s.w.t atas segala kesilapan dan dosa yang telah kita lakukan.
Justeru itu, untuk menepati cirri-ciri orang yang benar-benar bertaubat , ulamak- ulamak Islam seperti Imam Al Ghazali meletakkan syarat-syarat taubat untuk dipenuhi bersandarkan dalil-dalil daripada Al Quran dan As Sunnah. Antara syarat taubat ialah : Mestilah kita meninggalkan perbuatan salah atau dosa tersebut. Mendatangkan penyesalan di dalam hati atas apa yang telah dilakukan. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan seterusnya memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Namun di sana , seandainya dosa itu dilakukan sesame makhluk seperti dengan ibu ayah, kawan-kawan atau jiran tetangga , ulamak menambah satu lagi syarat untuk dipenuhi iaitu mestilah memulangkan kezaliman yang dilakukan kepada orang yang dizalimi. Yang dimaksudkan dengan kata-kata ini ialah hendaklah kita mengembalikan hak orang yang kita ambil sama ada dalam bentuk yang dapat dilihat oleh mata seperti kita mencuri atau merompak dan lain-lain atau pun yang tidak dilihat oleh mata seperti kita mengumpat , menfitnah dan lain-lain. Ini kerana semasa kita mengumpat atau menfitnah seseorang , kita telah mengambil hak orang itu iaitu hak untuk sesuatu keaiban itu dilindungi dan dipelihara dari dibuka kepada orang lain. Bahkan dalam perkara fitnah ianya terlebih buruk di mana kita telah mengambil hak keamanan jiwanya daripada keamanan kepada keadaan ketakutan akibat daripada tuduhan yang tidak benar.
Justeru itu, dalam peluang yang Allah berikan kepada kita hendaklah kita merebutnya dengan sebenar-benarnya kerana kita meyakini bahawa usia yang dikurniakan kepada kita ada penghujungnya ,sama ada cepat atau lambat dan setiap perbuatan baik atau buruk ada balasannya. Kita bimbang seandainya kita melewat-lewatkan taubat kita akan terlewat untuk segala-galanya apabila datangnya malaikat untuk mengambil nyawa kita , di waktu itu segala penyesalan tidak akan ada gunanya lagi. Sabda Nabi s.a.w : Rebutlah