Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Dalam Dakapan Ramadhan III : Pembebasan Dari Api Neraka


Sesungguhnya telah berlalu Ramadhan dalam satu tempoh dan jarak yang jauh, yang berbaki hanyalah satu tempoh yang terlalu pendek. Kita baru sahaja melepasi sempadan yang ketiga , selepas sempadan pertama dan kedua kita lewati. Suka saya gunakan kalimah sempadan supaya kita semua merasakan akan kepentingan perkara ini diingatkan. Misalannya, kita menyertai satu pertandingan larian 300 meter , pada 100 meter yang pertama , kebiasaannya pelari tidak dapat memecut dengan kelajuan tinggi kerana daya pecutan masih terlalu lemah , apabila jarak memasuki 200 meter , pelari telah mendapat rentak larian yang baik , lalu pecutan ditambah , namun sebaik sahaja memasuki jarak yang terakhir , daya pecutan akan dikerah seratus peratus bagi memastikan keputusan larian memihak kepadanya , seandainya tidak maka rugilah pecutannya di awal dan dipertengahan , kerana keputusannya terletak diakhir perlumbaan tersebut.

Begitulah gambaran yang boleh kita katakana kepada sempadan yang terakhir ini. Sempadan yang menjanjikan pembebasan dari azab neraka bagi sesiapa yang bersungguh-sunnguh merebut peluang yang ditawarkan ini.

Kebiasaan masyarakat kita, apabila masuknya sepuluh akhir ini , kebanyakan daripada kita tidak lagi bersemangat untuk meningkatkan amalan-amalan yang telah kita lakukan semenjak daripada mula tibanya Ramadhan. Masjid-masjid dan surau-surau semakin hari semakin kurang pengunjungnya , aktiviti - aktiviti keagamaan semakin kurang mendapat sambutannya. Sebaliknya orang ramai akan menjadikan waktu-waktu tersebut sebagai waktu kunjungan ke pusat membeli belah , menyediakan kuih raya , menukar langsir dan perabot baru. Tidak kurang juga yang hanya bersandar menonton siaran televisyen yang semakin menarik rancangan tambah-tambah apabila waktu perayaan Aidil Fitri semakin hampir.

Seharusnya kita menginsafi diri dalam waktu dan ketika ini , ruang waktu dan tempoh yang dikurniakan oleh Allah ini sama sekali tidak akan berulang , atau sekali pun ianya berulang , namun rupa wajahnya tentulah tidak sama dengan waktu yang sedang kita lalui ini. Di saat kita dikurniakan kesihatan , adakah sama di saat kita di datangkan penyakit ? Di saat kita dikurniakan kelapangan , adakah sama diwaktu kita akan dilambakkan dengan seribu satu permasalahan yang menyibuk dan menyesakkan dada kita? Jesteru nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam antara ingatannya kepada umatnya baginda bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

" Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia , kesihatan dan kelapangan ".

Inilah 2 nikmat yang sering dilupakan oleh manusia. Justeru itu, ianya harus diperingatkan selalu kepada kita supaya kita menjadi manusia yang selalu bersyukur dengan nikmat-nikmat yang diperolehi.

Lailatul Qadr:

Antara tawaran yang paling tinggi di sepanjang Ramadhan ini ialah janji beroleh ganjaran beribadat pada waktu tersebut seperti beribadat 1000 ribu bulan ( lebih kurang 83 tahun ). Firman Allah s.w.t :

" Sesungguhnya telah Kami turunkannya ( Al Quran ) pada malam lailatul Qadr , Adakah kamu tahu apakah dia Lailatul Qadr ? Lailatul Qadr terlebih baik daripada 1000 bulan. Turun Malaikat dan Jibril 'alaihis salam dengan izin Tuhan mereka dengan . Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.

Zakat:

Dalam keghairahan mengejar malam lailatul qadar , janganlah kita terlupa bahawa di sana ada satu lagi kewajipan yang mesti kita tunaikan. Antara ingatan kepada semua umat Islam khususnya warga Pos Malaysia Berhad berkenaan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah. Sesungguhnya perintah ini telah hadir semenjak dari 1400 tahun yang lalu. Kewajipan yang tertanggung ke atas orang setiap orang Islam untuk mengeluarkan sebahagian kecil daripada apa yang Allah rezkikan kepadanya sebagai tanggungjawab ke atas golongan yang kurang berkemampuan. Ia juga salah satu cara menyucikan diri serta harta seperti mana firman Allah dalam surah At Taubah ayat : 103 :

" Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah yang wajib ( zakat ) sebagai mensucikan dan mencambahkan dengannya , dan mohonlah ampun bagi mereka , sesungguhnya doamu ( mohon keampunan ) penenang hati mereka dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui ".

Zakat juga menjamin keberkatan rezki yang kita perolehi. Jaminan harta yang kita keluarkan akan bercambah seperti mana yang terkandung dalam ayat di atas. Meski pun sebahagian daripada kita tertanya-tanya bagaimana harta yang kita keluarkan mampu untuk bercambah kembali , sedangkan adatnya bila harta dibelanjakan pasti akan hilang dari simpanan kita sebahagiannya. Namun perlu kita sedar bahawa ini adalah janji yang jelas daripada Allah dan RasulNya. Sekali pun akal kita yang terbatas ini tidak mampu untuk memikirkannya , namun keimanan yang jitu pasti mengatasi segala keraguan tersebut.

Bagi penegeluar zakat ada jaminan yang pasti daripada Allah s.w.t apabila Dia berfirman :
"Perumpamaan ( nafkah yang dikeluarkan oleh ) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah ) adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ,seratus biji. Allah melipat gandakan ( ganjaran ) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas ( kurniaNya ) Lagi Maha Mengetahui" ( Al Baqarah ayat 261 ).

Janji Allah ini adalah janji yang pasti, hasilnya akan dapat kita tuai di negeri akhirat nanti. Bahkan Allah berkuasa untuk memberinya semasa hidup di dunia lagi.

HARI RAYA

Natijah kepada Ramadhan yang dihidupkan ibadah di dalamnya, Allah menganugerahkan kepada semua orang yang bertaqwa sehari untuk mereka merayakan kemenangan menundukkan hawa nafsu serta kembali kepada fitrah asal kejadian manusia iaitu tunduk dan patuh kepada Allah.

Oleh kerana itulah hari raya diberi nama ‘Iid Al Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah manusia yang bersih dari segala dosa.

Pemberian ini hanyalah layak bagi mereka yang menunaikan ketaatan yang sebenar-benarnya di dalam bulan Ramadhan ini di mana hasil daripada Ramadhan itulah yang menyematkan sifat ketakwaan dan dari ketakwaan itulah hadirnya redha Allah.
Justeru apabila kita dikurniakan hari yang cukup bermakna ini, diserikan dengan kegembiraan kerana berjaya menjadi hamba Allah yang taat di sepanjang Ramadhan yang lalu di samping kegembiraan sebagai manusia yang diberi suatu kurniaan yang besar iaitu dapat makan dan minum seperti hari-hari biasa, hendaklah kita mensyukuri pemberian Allah ini.

Kesyukuran itu hendaklah diterjemahkan dalam sambutan kita terhadap hari yang mulia ini. Ianya diterjemahkan dengan menuruti akan sunnah Rasulullah s.a.w dalam menyambut hari raya ‘Iid Al Fitri.

SUNNAH

Antara sunnah baginda semasa menyambut hari raya ialah : Berwangi-wangian sebelum keluar menunaikan solat hari raya. Baginda juga akan menjamah sedikit makanan sebelum keluar menunaikan solat hari raya. Antara pilihan utama baginda ialah kurma basah dan tamar.

Baginda s.a.w juga menghimpunkan manusia di kawasan lapang bagi mengerjakan solat hari raya. Solat hari raya pada zaman Rasulullah s.a.w dikerjakan di kawasan lapang bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menghadirinya. Wanita-wanita yang di datangi haid, nifas dapat turut serta dalam majlis tersebut mendengar amanat daripada Rasulullah s.a.w.

Dalam masa yang sama, amalan ziarah-menziarahi adalah antara amalan yang sangat baik untuk diamalkan. Peluang yang diperolehi untuk bertemu, bertegur sapa hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mengeratkan silaturrahim, bermaafan-maafan dan bertanya khabar.

Mudah-mudahan tujuan sebenar ‘Iid Al Fitri dikurniakan kepada kita oleh Allah akan tercapai dan dapat meneruskan kebaikan sebulan Ramadhan yang telah kita jalani.

PUASA 6 HARI DI BULAN SYAWAL

Dalam bulan syawal yang bakal menjelang ini, antara sunnah Rasulullah s.a.w ialah berpuasa 6 hari dalam bulan syawal seperti sabda baginda :
“ Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian menurutinya dengan ( berpuasa ) 6 hari di bulan Syawal , seolah-olah dia berpuasa selama setahun”. Rebutlah peluang ini dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadah di bulan Ramadhan ini hingga ke penghujungnya seterusnya menyambut hadirnya Syawal dengan penuh kesyukuran dalam ketaatan kepada Allah. Jangan jadikan hari kegembiraan yang disambut hari untuk berbuat maksiat kepada Allah. Sambutlah ia dengan penuh kegembiraan dalam lingkungan ketaatan kepada Allah.

No comments: