Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Bingkisan Syawal


Rasanya agak lama saya tidak menulis atau menghasilkan sebarang bahan penulisan untuk meski pun sebenarnya bahan-bahan untuk diterbitkan sempat saya sediakan. Namun masa dan kesempatan untuk saya jadikan ia sebagai bahan yang boleh terbit tidaklah seluas yang saya harapkan.

Namun diharap renggang masa yang berlalu tidak menghilangkan minat kita semua untuk mendapat input yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita.

Kejayaan kita menamatkan puasa yang lepas seharusnya menjadi pengajaran yang berguna buat kita. Puasalah yang banyak mendidik kita menjadi insan yang benar-benar seorang insan. Bukan insan yang bertopengkan haiwan. Tumpuan didikan kita adalah hawa nafsu yang nampak dengan mata kasar seperti menahan daripada makan dan minum atau yang tidak nampak dengan mata kasar seperti membuang sifat-sifat yang tidak baik dalam diri yang menjejaskan ibadat puasa tersebut.

Sejurus kejayaan kita menamatkan latihan tersebut kita dikurniakan dengan kegembiraan apabila dianugerahkan satu hari yang mulia iaitu Hari Raya Aidil Fitri lambang kejayaan kita sebagai hamba Allah. Hari tersebut adalah hari kegembiraan bagi mereka yang benar-benar menunaikan tanggungjawab mereka di sepanjang Ramadhan. Bahkan menzahirkan kegembiraan pada hari tersebut menjadi satu kewajiban , bermula dari tegahan untuk berpuasa pada hari tersebut sehinggalah larangan untuk bersedih pada hari tersebut.

Kesemuanya adalah kurniaan Allah s.w.t ke atas hamba-hambaNya yang taat kepadaNya. Bagaimana pula persoalan tentang mereka yang lalai dari mengerjakan ketaatan? Bagi kita , itu bukan persoalan yang perlu kita jawab , kerana jawapan tersebut lebih layak-layak dijawab oleh mereka sendiri. Bagi mereka yang lalai dari mengerjakan ketaatan , kesengsaraan jiwa yang dirasai oleh mereka lebih teruk rasanya digilis di bahagian dada sehingga terhimpit tulang belulang mereka. Ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Toha ayat 124 : " Barangsiapa yang berpaling dari mengingatiku baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan mereka pada hari Kiamat dalam keadaan mata mereka buta ".

Bulan syawal juga membuka peuang untuk mereka yang sedang bergembira untuk bermaaf-maafan. Menghulurkan tangan disambut dengan ucapan kemaafan adalah antara perkara yang terindah dalam kamus kehidupan seseorang. Bagi orang yang memberi kemaafan akan terasa seolah-olah di hadapannya satu kehidupan yang luas dan tenang , dan bagi mereka yang memohon kemaafan , terasa terbebas dari belenggu kerisauan seolah-oleh diberi kehidupan yang baru selepas satu penyiksaan jiwa yang teruk.

Meski pun galakan untuk memaafkan orang lain satu keutamaan dalam agama , namun bagi si pelaku perbuatan yang tidak baik seharusnya menyedari bahawa perbuatan yang telah dilakukan telah menzalimi satu pihak yang lain , seterusnya menginsafi bahawa sebenarnya telah diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan tersebut. Justeru , janganlah diulang untuk kali yang kedua atau kali yang akan datang.

Mudah-mudahan proses penjernihan hati akan bermula dengan kesedaran dan keinsafan tersebut serta diiringi usaha dan hasrat untuk memperbaikinya di masa akan datang , kerana hatilah segalanya bagi seorang insan yang menghendaki kebaikan hadir dalam hidupnya. Sabda Rasulullah s.a.w : " Ketahuilah bahawa di dalam jasad terdapat segumpal darah bilamana baik gumpalan darah tersebut akan baiklah seluruh anggota tubuh , dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota tubuh . Ketahuilah ia adalah hati ".


Kejernihan tersebut tidaklah terhenti sekadar penyataan mulut semata-mata , atau sekadar lintasan hati semata-mata , sebaliknya ia mesti dicernakan dalam bentuk perbuatan yang mencerminkan kejernihan hati tersebut seperti cermin yang bersih tetapi andai kata ia tidak dapat membiaskan sebarang gambar , maka cermin tersebut pasti ada kecacatannya.

Begitu juga hati yang jernih , andai ia tidak diiringi dengan amalan yang baik , maka kejernihan tersebut tidak dapat dilihat , dan dibimbangi kejernihan tersebut yang tidak diisi dengan kebaikan akan diisi oleh kejahatan.

Hati sama ada menjadi singgahsana untuk Allah atau menjadi singgahsana untuk syaitan. Andai tidak diisi dengan ketaatan , pasti yang mengisinya ialah kemaksiatan.

Mudah-mudahan , hati yang jernih akan terus dirimbunkan dengan kebaikan demi kebaikan bekal untuk menghadap Allah dengan hati yang saliim ( sejahtera ).

2 comments:

Firdaus Omar said...

Apa khabo yob? Lama tak dengo berite...

Mcam mana suasana di universiti? Teruskan perjuangan. Takbir...!!

Abu Raihanah said...

Alhamdulillah, suasana baik. Pelajar study break pastu exam. Alhamdulillah masyarakat mula bagi ruang di sini. Dah mula kuliah ringkas mingguan setiap rabu malam khamis di surau perumahan.