Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Adakah Diriku Anak Yang Bersyukur?

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". Lukman : 14

Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah s.w.t suapya berbuat baik kepada ibu dan ayah yang telah bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita. Diceritakan sebahagian dari keperitan yang ditanggung oleh keduanya dalam memastikan seorang anak itu mendapat haknya untuk hidup di atas muka bumi ini. Meskipun penceritaan al-Quran ini ringkas, namun penyenaraian keperitan ini digambarkan pada tahap kepayahan yang tertinggi.

Diceritakan proses seorang ibu melahirkan anak dari awal proses kelahiran sehinggalah ke hari kelahiran ianya ditanggung dengan penuh kepayahan.

Namun ia tidak terhenti di situ sahaja, seorang ibu akan meneruskan tugasannya menyusukan anaknya sehingga dikatakan tempoh cerai susu seorang bayi itu dalam tempoh dua tahun. Keadaan kedua ini mungkin lebih ringan dari gambaran pertama, namun hakikat sebenarnya ianya tidak kurang sukar dan payahnya. Bagi mereka yang mengetahui hakikat sebenar bagaimana seorang ibu menyusukan anaknya sehingga boleh terjadi rambut-rambut gugur akibat zat dalam tubuhnya habis disedut oleh si anak, maka tiada siapa yang akan mengatakan urusan menyusukan bayi ini urusan yang mudah.

Dari penceritaan ringkas inilah, maka diarahkan seorang yang bergelar anak ini untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah yang telah menganugerahkan ibu dan ayah yang terbaik untuknya diikuti dengan kesyukuran kepada kedua ibu ayahnya yang menjadi sebab lahirnya dia ke dunia.

Ia perintah yang datang bersekali dalam ayat di atas. Kecuaian terhadap salah satu perintah dari 2 perintah tersebut pasti akan mencacatkan satu perintah yang lain seumpama seandainya seorang berjalan dengan sebelah kaki atau sebelah kaki mengalami kecacatan atau kekurangan, maka pasti akan kelihatan canggung gaya jalannya.

Persoalannya adakan kita telah menunaikan kedua-dua tuntutan tersebut atau tidak. Di sini disenaraikan persoalan untuk muhasabah bersama; Adakah diriku Anak Yang Bersyukur?

1. Adakah kita telah berusaha untuk menjadi seorang hamba Allah yang soleh? ( Kerana menjadi seorang hamba Allah yang soleh tuntutan yang pertama dalam ayat ini ).

2. Adakah kita sentiasa bersyukur terhadap pemberian Allah? ( Antaranya ibu dan ayah walau bagaimana pun mereka - syukur kepada Allah kerana kita masih punya ibu dan ayah, bagaimana agaknya perasaan anak-anak yang dibuang di jalanan? )

3. Adakah kita merasakan ibu dan ayah kita merupakan insan yang terbaik dalam hidup kita sekarang (Allah dan Rasulullah pasti menjadi keutamaan kita lebih dari segala-galanya) ?

4. Adakah kita masih membanding-bandingkan ayah dan ibu kita dengan ayah dan ibu orang lain?

5. Seandainya berlaku tuntutan-tuntutan semasa seperti kerja, anak isteri dan lain-lain dengan tuntutan atau kehendak ibu dan ayah kita akan mendahulukan kedua-duanya?

6. Berapa banyakkah doa yang kita panjatkan untuk ibu dan ayah? Adakah ianya lebih banyak dari permohonan kita terhadap perkara-perkara yang lain, atau sama, atau kurang daripadanya atau tiada langsung doa untuk ibu dan ayah?

7. Adakah kita berusaha untuk belajar dan mengetahui hak-hak ibu dan ayah kita terhadap diri kita atau kita lebih sibuk untuk mencari-cari dan mengira berapa banyakkah lagi hak kita yang belum mereka tunaikan?

8. Apa pemberian kita yang terbaik diberikan kepada ibu dan ayah, atau untuk ibu dan ayah sama sahaja seperti pemberikan kita kepad ibu dan ayah sama sahaja dengan pemberian kita kepada anak dan isteri, kawan-kawan dan orang yang lain?

9. Adakah mereka akan hanya diingati selepas ketiadaan mereka ( meninggal dunia ) atau sekaranglah masa untuk berbakti kepada keduanya?

10. Adakah diriku anak yang bersyukur- kepada Allah s.w.t dan kedua ibu dan ayah?

"(dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu";

*Akan menyusul selepas dari ini, adakah diriku Ayah / Ibu Yang Bersyukur?



Komunikasi Senyap-Silent Communication



Kemajuan membawa seribu satu kemudahan (alat) dalam kehidupan manusia. Ada yang mendatangkan faedah dan ada mendatangkan musibah. Antara yang hadir bersama dengan kemajuan adalah alat perhubungan dari telefon, telefon bimbit, internet, dan sebagainya tujuan asalnya ialah untuk merapatkan hubungan manusia dengan manusia yang lain tidak seperti suatu masa dahulu di mana perhubungan hanya berlaku apabila ada pertemuan mata ke mata atau paling jauh sekali pun hanyalah berutus surat dan telegram.

Lalu perubahan teknologi menyaksikan hadirnya telefon sehinggalah kepada kepelbagaian fungsinya dewasa ini dari pengunaan telefon sahaja kepada aplikasi-aplikasi yang dimasukkan ke dalam telefon bimbit pintar pada hari ini.

Ditambah pula kemudahan internet yang mendekatkan perhubungan dan akses kepada individuatau bahan dari serat dunia.

Namun matlamat-matlamat murni yang asal iaitu merapatkan hubungan yang positif seperti antara ayah dan anak atau suami dan isteri dilihat kemudian hari ini seperti tidak lagi kelihatan lagi fungsinya.

Masing-masing lebih gemar untuk berkomunikasi dalam suasana sunyi. Bicara mulut kini bertukar kepada petikan-petikan jari di atas kekunci telefon bimbit atau di atas kekunci komputer. Hasilnya seolah-olah tiada perasaan yang terwujud ketika komunikasi berlaku. Bagaimana untuk menghasilkan perasaan pada teks-teks yang tertera meski pun ianya bukanlah sesuatu yang mustahil, namun untuk menentukan perasaan yang sebenar di atas teks yang tertera bukanlah suatu yang mudah. Berbeza dengan komunikasi menggunakan suara dan mulut, ia lebih mudah untuk dikenali nada suara yang menggambarkan perasaan tatkala itu.

Semakin hari perasaan ini mungkin semakin menipis dan menipis. Hanya yang tinggal ketukan-ketukan jari pada papan kekunci tanpa perasaan dan kasih sayang. Jadilah rumahtangga yang dibina berkomunikasi dalam keadaan senyap sunyi. Mungkin untuk mendengar sesekali tawa dalam rumah seperti suatu masa dahulu pabila ada pertemuan dan perbualan yang mencuit hati.

Bila tiada komunikasi yang sebenarnya, maka di situlah mulanya masalah-masalah demi masalah. Cara ia ditangani suatu juga berubah. Andai dulu sekiranya ada konflik yang melanda, maka dipaksa juga diri duduk bersama untuk berbincang dari hati ke hati dengan suara. Namun, pada hari ini, teman di laman sesawang mungkin dirasa lebih hampir, lalu diluah segala yang tersirat dalam hati di 'buku muka' misalnya dengan harapan ada yang simpati, sedang hakikatnya terlalu banyak bahaya yang menanti.

Justeru harapan ku ini, kembalikan komunikasi suara, kerana ia nikmat yang patut disyukuri. Mulut kita masih berfungsi, maka pergunakanlah sebaiknya sebelum nikmat itu ditarik kembali.