Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Komunikasi Senyap-Silent Communication



Kemajuan membawa seribu satu kemudahan (alat) dalam kehidupan manusia. Ada yang mendatangkan faedah dan ada mendatangkan musibah. Antara yang hadir bersama dengan kemajuan adalah alat perhubungan dari telefon, telefon bimbit, internet, dan sebagainya tujuan asalnya ialah untuk merapatkan hubungan manusia dengan manusia yang lain tidak seperti suatu masa dahulu di mana perhubungan hanya berlaku apabila ada pertemuan mata ke mata atau paling jauh sekali pun hanyalah berutus surat dan telegram.

Lalu perubahan teknologi menyaksikan hadirnya telefon sehinggalah kepada kepelbagaian fungsinya dewasa ini dari pengunaan telefon sahaja kepada aplikasi-aplikasi yang dimasukkan ke dalam telefon bimbit pintar pada hari ini.

Ditambah pula kemudahan internet yang mendekatkan perhubungan dan akses kepada individuatau bahan dari serat dunia.

Namun matlamat-matlamat murni yang asal iaitu merapatkan hubungan yang positif seperti antara ayah dan anak atau suami dan isteri dilihat kemudian hari ini seperti tidak lagi kelihatan lagi fungsinya.

Masing-masing lebih gemar untuk berkomunikasi dalam suasana sunyi. Bicara mulut kini bertukar kepada petikan-petikan jari di atas kekunci telefon bimbit atau di atas kekunci komputer. Hasilnya seolah-olah tiada perasaan yang terwujud ketika komunikasi berlaku. Bagaimana untuk menghasilkan perasaan pada teks-teks yang tertera meski pun ianya bukanlah sesuatu yang mustahil, namun untuk menentukan perasaan yang sebenar di atas teks yang tertera bukanlah suatu yang mudah. Berbeza dengan komunikasi menggunakan suara dan mulut, ia lebih mudah untuk dikenali nada suara yang menggambarkan perasaan tatkala itu.

Semakin hari perasaan ini mungkin semakin menipis dan menipis. Hanya yang tinggal ketukan-ketukan jari pada papan kekunci tanpa perasaan dan kasih sayang. Jadilah rumahtangga yang dibina berkomunikasi dalam keadaan senyap sunyi. Mungkin untuk mendengar sesekali tawa dalam rumah seperti suatu masa dahulu pabila ada pertemuan dan perbualan yang mencuit hati.

Bila tiada komunikasi yang sebenarnya, maka di situlah mulanya masalah-masalah demi masalah. Cara ia ditangani suatu juga berubah. Andai dulu sekiranya ada konflik yang melanda, maka dipaksa juga diri duduk bersama untuk berbincang dari hati ke hati dengan suara. Namun, pada hari ini, teman di laman sesawang mungkin dirasa lebih hampir, lalu diluah segala yang tersirat dalam hati di 'buku muka' misalnya dengan harapan ada yang simpati, sedang hakikatnya terlalu banyak bahaya yang menanti.

Justeru harapan ku ini, kembalikan komunikasi suara, kerana ia nikmat yang patut disyukuri. Mulut kita masih berfungsi, maka pergunakanlah sebaiknya sebelum nikmat itu ditarik kembali.

No comments: