Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Aku Tidak Sempat Berkongsi Derita Hidupku, Kerana Aku Terlalu Sibuk Menghitung Nikmat Yang Ku Perolehi..Syukur KepadaMu Ya Allah

Satu ketika, untuk sekian lama, waktu melakukan muhasabah diri, terfikir: "dah lama aku jarang berkongsi kisah-kisah sedih dalam hidup dengan orang lain". Bukan kerana tiada episod sedih dalam hidup ini selama hidup ini berlangsung, (mana mungkin ia berlaku kerana dunia ini ada pasang surutnya), namun akhirnya aku mengerti bahawa nikmat yang diperolehi membuatkan aku malu untuk mengeluh hatta kepada manusia apatah lagi kepada Allah dari sebarang derita yang aku tanggung.

Waktu tiba rasa sedih ingin menjelma, aku paksakan diri untuk menjengah kisah derita orang lain. Kebanyakan yang aku temui, ia lebih sukar dari kepayahan yang ku alami. Terkadang sekulumit dari derita orang pun aku rasakan tidak sanggup untuk ku tanggung. Namun aku mengerti insan yang diuji itu pasti insan yang hebat (insyaAllah). Tambah pula mudah-mudahan itu jalan untuk mereka memperolehi kasih sayang Allah di kala ujian melanda. Sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam buat mereka yang ditimpa ujian: "Sesungguhnya Allah apabila Dia kasih akan hambaNya maka dia akan mengujinya". Buka lembaran hidup Nabi Ayyub yang menanggung derita kepayahan kesakitan bukan sehari dua bahkan memakan masa bertahun-tahun sehingga gugur daging-dagingnya, yang tinggal hanya tulang tubuhnya semata, namun kekal lidah dan hatinya mengucap syukur.

Teringat pesan guru-guruku, golongan salaf ketika mereka ditimpa derita, mereka merasa bahagia dalam hati. Sedang mereka berada dalam nikmat dan bahagia mereka merasa risau dan bimbang. Mengapa begitu? Mereka sangat meyakini bahawa "sesungguhnya selepas dari kepayahan itu kesenangan,hanyasanya selepas kepayahan itu kesenangan. Lantas; jika lepas kepayahan itu kesenangan, adakah  mustahil selepas kesenangan akan datang pula kepayahan?

Lalu apa yang membuatkan dirimu perlu untuk menghitung derita, sedang nikmatNya pun belum habis engkau hitung? Benarlah sabda Nabi:  "Ajaibnya keadaan orang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik-baik belaka. Di kala dikurnia nikmat dia bersyukur, di kala ditimpa derita dia bersabar".

Sibukkan dirimu dengan menghitung nikmat-nikmat Allah, mudah-mudahan ia membantumu melupakan sekelumit derita yang engkau tanggung.


No comments: