Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

AL-QURAN SUMBER KEBAHAGIAAN


AL-QURAN SUMBER KEBAHAGIAAN


Segala pujian bagi Allah yang telah mengurniakan rasa bahagia dalam diri manusia. Solawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad r yang telah menunjukkan teladan dan memberikan panduan ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kefahaman Manusia Terhadap Kebahagiaan:

Sesungguhnya, kebahagiaan itu adalah sesuatu yang didambakan oleh setiap manusia. Ia menjadi matlamat terakhir yang ingin dicapai dalam kehidupan seorang yang bergelar insan. Kefahaman atau interpretasi manusia terhadap makna kebahagiaan pula bersifat subjektif. Setiap soalan tentang maksud bahagia bagi setiap orang berkemungkinan menghasilkan jawapan yang berbeza-beza. Kemungkinan  makna kebahagiaan di sisi seorang kanak-kanak ialah apabila dia berada di sisi   kedua ibu dan ayah yang sanggup untuk menunaikan apa sahaja hasrat keinginannya. Manakala bahagia seorang ibu dan ayah apabila anak yang dilahirkan, dibesarkan dan diberikan didikan itu berjaya dalam kehidupannya seterusnya dapat berbakti kepada kedua orang tuanya. Mungkin juga rasa bahagia orang miskin dan orang kaya juga berbeza. Namun, kesemuanya boleh menerima apabila bahawa kebahagiaan itu asalnya berada dalam sanubari setiap insan, bukan pada fizikal mereka.

Oleh sebab itulah, bagi sebahagian manusia yang mencari kebahagiaan melalui material yang diangkat sebagai sumber atau matlamat kebahagiaan sebenar, kerap kali menemui kegagalan dalam pencarian tersebut melainkan ianya hanya dijadikan sebahagian dari sebab untuk mendapat kebahagiaan semata-mata dengan syarat-syaratnya perlu dipenuhi.

Pelbagai ragam manusia yang mencari kebahagiaan pada pentafsiran nafsu, bukan berpandukan wahyu yang memimpin akhirnya pasti akan menemui kegagalan atau tidak bertemu jawapan. Jawapan yang ditemui oleh mereka setelah memperolehi apa yang didakwa di situlah wujudnya bahagia adalah sebenarnya bahagia itu tidak pernah ada. Bahkan mungkin sahaja mereka menuturkan aku tidak ingin bahagia, atau tiada ada apa yang diistilahkan sebagai bahagia sedang waktu itu mereka sedang berada di Hospital Bahagia!

Lalu, bagaimana sebenarnya kebahagiaan itu dapat ditemui? Bagaimana untuk mencarinya? Bicara ringkasnya, sesuatu yang dicari hanya akan ditemui pada pemiliknya yang memilikinya. Andai anda ditanya, siapakah pemilik kebahagiaan. Jawapan seorang mukmin dan muslim, Allahlah Pemilik kebahagiaan yang sebenar. Pasti akan ditemui panduanNya untuk sekalian makhluknya tatacara dan panduan bagaimana untuk menemui, memperolehi dan mengecapi kebahagiaan.

Erti Kebahagiaan:
Andai dilihat dari kalimah (سَعَدَ) yang menjadi kata perbuatan sehingga terhasil darinya kalimah (السعادة), ia diberikan kefahaman dari segi bahasanya sesuatu yang lawan kepada derita ( نقيض شقي ).
Manakala bahagia (السعادة)   dari segi istilahnya diberi erti suasana senang dan aman, aman damai serta gembira, beruntung. Manakala perasaan bahagia bermaksud kesenangan hidup, kemujuran, keberuntungan.[1]

Abu Mansur al-Maturidi (Meninggal dunia tahun 333H) menyatakan bahagia (السعادة)  bermaksud apa yang dirasai oleh hati dari ketenangan, ia merupakan satu cahaya dalam hati yang memberi ketenangan kepada yang merasainya  di dunia dengan keimanan, dan di akhirat nanti dengan melihat kepada Zat Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha, dan memasuki syurgaNya.

Justeru, apabila disebut kalimah bahagia, ia berkaitan sesuatu yang bersifat dalaman (rasa dalam hati). Ia perasaan sebenar, bukan khayalan atau buatan sementara manusia yang menyangka ia semata-mata ciptaan mereka, bukan kurniaan dari Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. 
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘Iman dan Kehidupan’ menceritakan sebuah kisah pergaduhan antara suami dan isteri di mana pada suatu hari seorang suami marah kepada isterinya dengan berkata: “Aku akan memusnahkan kebahagiaanmu.” Lalu isterinya menjawab: “Engkau tidak akan dapat merampasnya dari diriku.” Suaminya berkata lagi: “Mengapa aku tidak mampu (untuk mengambilnya)?.” Dengan tenang isterinya menjawab: “Andainya kebahagian itu berada pada wang ringgit nescaya (engkau mampu) menahannya dariku, atau andai ia berada pada perhiasan-perhiasan maka engkau boleh mentiadakan ia dariku, tetapi ia sesuatu yang engkau dan manusia yang lain pun tidak memilikinya. Maka tanya si suami: “Apakah ia? Maka jawab isteri dengan yakin:   “Aku mendapati kebahagiaan pada keimananku, dan keimananku berada dalam hatiku, dan hatiku ini tiada yang mampu menguasainya melainkan Tuhanku.”

Sesungguhnya inilah kebahagian yang sebenar. Ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sehingga dia mampu mengurniakan, dan mereka tidak memilikinya sehingga mampu untuk mencabutnya daripada sesiapa sahaja. Itulah kebahagian yang dirasai oleh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Inilah kehidupan yang bahagia, andai ianya diketahui oleh para raja, nescaya mereka akan berusaha merebutnya daripada kita dengan pedang-pedang.[2]

Mungkin inilah yang cuba digambarkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah ketika berhadapan dengan ancaman daripada musuh-musuh dakwahnya: “Apa yang ingin dilakukan musuhku terhadap diriku?  Diriku, syurgaku dan tamanku di dalam dadaku sesungguhnya aku telah melewatinya. Ia bersamaku sama sekali tidak akan berpisah denganku. Bagiku, penahananku adalah bersunyi-sunyi, andai aku dibunuh maka itulah syahadahku, andai aku dikeluarkan dari tanah airku maka itu bersiar-siar di jalan Allah”.

Maka selagi ada kehidupan di atas muka bumi ini, maka selagi itulah akan ada bicara tentang bahagia, dan manusia akan berusaha mencari kebahagiaan yang didambakan setiap dari kita.


Bicara Al-Quran Tentang Kebahagiaan:
Sesetengah manusia menafikan wujudnya rasa bahagia yang sebenar ini.  Bahagia yang ada pada tanggapan mereka hanya bahagia yang pura-pura semata-mata. Bahagia itu diwujudkan dengan jalan memasukkan bahan-bahan yang mengkhayalkan dan melekakan seketika dari memikirkan realiti derita yang dirasa oleh mereka saat itu.

Andai dakwaan mereka itu dikatakan benar, seolah-olah keimanan yang ingin dipasak dalam diri manusia (nauzubillah) bahawa Allah Y menciptakan sekalian manusia supaya kesemuanya menderita. Bagaimana boleh berlaku sedemikian sedangkan Allah Y telah berfirman kepada kekasihnya Muhammad r:
ﭑ       ﭒ  ﭓ  ﭔ  ﭕ   ﭵ  ﭶ  ﭷ  ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ  ﭼ 
Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;[3]

Berkata Qatadah[4]: Tidak, demi Allah. Allah tidak menjadikannya (al-Quran) sebagai derita, sebaliknya Dia menjadikannya rahmat dan cahaya serta penunjuk jalan ke syurga[5].

Jelas bagi kita bahawa bagi kehidupan itu ada bahagianya. Lalu bagaimana rupa bahagia tersebut yang dikatakan sememangnya wujud. Bahkan di situlah terletaknya syurga mimpi bagi ahli keseniaan,  para sasterawan, cendekiawan mahu pun para pembesar untuk mencipta metafora indah dalam menekuni erti bahagia tatkala ia cuba dijelmakan dalam realiti kehidupan.

Tiada yang lebih hebat membicarakan tentang bahagia melainkan sumber kebahagiaan itu sendiri. Sekalian sastera dan kata-kata indah yang pernah wujud dan sedang wujud tenggelam dalam runtunan kalam Tuhan pada saat turunnya al-Quran, mukjizat bagi Baginda r, panduan untuk umatnya ke arah  mengenal erti bahagia yang sebenar.

Mencari bahagia dalam al-Quran jangan sampai tidak ketemu kerana bahagia itu bukan sekadar dalam al-Quran tetapi bahagia itu sendiri ada dengan al-Quran.

Kalimah bahagia yang difahami pada masa kini berdasarkan kalimah (سَعَدَ) ditemui hanya pada 2 tempat sahaja dalam al-Quran pada satu surah yang sama; iaitu pada surah Hud. Firman Allah Y:

ﯔ  ﯕ  ﯖ  ﯗ  ﯘ    ﯙ  ﯚ  ﯜ  ﯝ  ﯞ  ﯟ  ﯠ  ﯡ  ﯢ  ﯣ   ﯤ      ﯥ  ﯦ  ﯧ  ﯨ  ﯩ  ﯪ  ﯫ   ﯬ  ﯭ    ﯮ  ﯯ  ﯰ   ﯱ  ﯲ  ﯳ  ﯵ  ﯶ  ﯷ  ﯸ  ﯹ      ﯺ    ﯼ  ﯽ  ﯾ  ﯿ  ﰀ      ﰁ  ﰂ  ﰃ  ﰄ   ﰅ  ﰆ  ﰇ    ﰈ  ﰉ  ﰊ  ﰌ  ﰍ  ﰎ  ﰏ  
Di kala datang hari itu, tidak ada seorangun yang berbicara, melainkan dengan izin-Nya; maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia. Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan merintih), mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.  mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki. Adapun orang-orang yang berbahagia, maka tempatnya di dalam surga, mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain); sebagai karunia yang tiada putus-putusnya. [6]

Ibn Kathir berkata: Sebahagian dari ahli perhimpunan (akhirat) kelak sebahagian mereka (tergolong) dalam kalangan mereka yang celaka dan sebahagian daripada mereka dalam kalangan yang berbahagia.[7]

Golongan yang celaka akan menempati neraka, manakala yang berbahagia akan menempati syurga Allah. Masing-masing memperolehi balasan setimpal dengan perbuatan dan perlakuan masing-masing semasa hidup di dunia.

Kedua-dua tempat yang menyebut kalimah bahagia dalam al-Quran ini merujuk kepada keadaan sebahagian manusia pada hari akhirat kelak.

Apabila dilihat hanya dua tempat yang mengungkap lafaz bahagia dengan lafaz (سَعَدَ), maka janganlah terlintas di dalam hati bahawa al-Quran bukan sumber kepada kebahagiaan yang dicari. Allah yang menciptakan manusia, mengurniakan kebahagiaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dia jugalah yang menurunkan al-Quran sebagai kitab hidayah bagi manusia mendapat panduan dalam mencari erti kebahagiaan. Tidak mungkin al-Quran dapat dinafikan sebagai sumber kebahagiaan bagi umat manusia dan makhluk yang lain.

Antara hikmah yang dapat dilihat dari penemuan lafaz (سَعَدَ) hanya pada dua tempat ini, ia pula  dirujuk kepada kebahagiaan kehidupan di akhirat memberi kefahaman bahawa bahagia yang hakiki hanyalah dapat diperolehi semasa hidup di alam akhirat. Ia hasil dari kesungguhan dan ketabahan  yang dilakukan semasa hidup didunia namun ditempuh oleh seorang mukmin muslim dengan penuh kesabaran sama ada adalam menunaikan ketaatan atau semasa menempuh ujian dan rintangan, atau dalam menghadapi godaan dari perkara-perkara dosa dan maksiat. Begitu juga keredhaan mereka dengan ketetapan bahawa adanya janji kebahagiaan bagi mereka yang beriman dengan hari akhirat.  

Itulah hakikat kebahagiaan yang perlu diimani oleh setiap manusia. Kebahagiaan yang ingin dicapai oleh seseorang manusia hendaklah meletakkan akhirat sebagai matlamat. Akhirat yang dikesampingkan dalam mencari kebahagiaan akan mengundang derita sebenarnya, bukan lagi bahagia.

Namun, adakah itu bermaksud manusia tidak berpeluang untuk merasai nikmat kebahagiaan semasa hidup di dunia atau dinafikan sama sekali kebahagiaan semasa hidup di dunia demi untuk mengecapi kebahagiaan akhirat yang hakiki seperti yang dilakukan oleh sebahagian penganut ajaran lain?

Ini merupakan sebahagian dari dakwaan mereka yang tidak melihat kepada panduan yang telah ditinggalkan kepada kita oleh baginda Nabi r, iaitu al-Quran dan al-Sunnah bahawa meski pun penyataan berkenaan kebahagian yang diungkapkan dari lafaz  (سَعَدَ)  tidak kedapatan secara meluas seperti yang telah kita bincangkan pada perbincangan sebelum ini, namun ia tidak bererti kebahagiaan itu langsung tidak ada tempatnya di dunia ini.

Kebahagiaan turut diungkapkan dalam bentuk kalimah-kalimah yang lain dalam al-Quran, menurut kefahaman yang benar terhadap erti kebahagiaan. Antaranya firman Allah s.w.t:

ﮉ  ﮊ  ﮋ  ﮌ  ﮍ   ﮎ  ﮏ  ﮐ  ﮑ  ﮒ  ﮓ  ﮔ  ﮖ   ﮗ  ﮘ  ﮙ  ﮚ  ﮛ  ﮜ 

Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan .  [8]

Kata Ibn Abbas t: Itulah kebahagiaan.[9]

Begitu juga firman Allah :

ﯨ  ﯩ     ﯪ  ﯫ  ﯬ     ﯭ  ﯯ  ﯰ    ﯱ  ﯲ  ﯳ  ﯵ  ﯶ  ﯷ   ﯸ  ﯹ   ﯻ  ﯼ  ﯽ  ﯾ  ﯿ  ﰁ   ﰂ  ﰃ  ﰄ  ﰅ  ﰆ  
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.[10]

Jelas dalam ayat ini, Allah tidak melarang manusia yang berusaha memperolehi kebahagian akhirat dengan iman dan amal soleh untuk turut merasai sebahagian dari nikmat dunia yang membahagiakan jiwa manusia. Manusia yang diciptakan oleh Allah suka kepada benda-benda seperti yang dinyatakan Allah dalam surah Ali Imran:
ﮠ  ﮡ  ﮢ  ﮣ  ﮤ  ﮥ     ﮦ  ﮧ  ﮨ   ﮩ  ﮪ  ﮫ    ﮬ  ﮭ  ﮮ  ﮯ  ﮱ  ﯓ   ﯔ    ﯕ  ﯗ  ﯘ  ﯙ  ﯚ  ﯛ 
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).[11]

Kata Ibn Kathir:
AllahY menerangkan benda-benda yang dijadikan perhiasan manusia dari kelazatan-kelazatan hidup di dunia daripada wanita dan anak-anak. Maka dimulakan dengan wanita kerana ujian dengannya lebih hebat (terhadap manusia seperti yang telah disebutkan oleh baginda Nabir :

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ
Daripada Usamah bin Zaid t daripada Nabi r bersabda: Tidak daku tinggalkan selepasku ujian yang lebih besar mudaratnya ke atas lelaki (melainkan) daripada wanita-wanita.[12]

Seandainya ia (bergaul dengan wanita) bagi tujuan berlemah-lembut, bermuamalah dengan baik (menjadikan dirinya seorang isteri) dan memperbanyakkan anak-anak anak-anak, maka ia adalah sesuatu yang dituntut dan digalakkan kepadanya. [13]

Ayat-ayat yang dinyatakan secara jelas tidak menafikan perolehan kebahagian sama ada dalam bentuk kejiwaan atau kebendaan semasa hidup di dunia. Namun Allah telah memberikan panduan bagaimana kebahagiaan dalam kedua-dua bentuk tersebut semasa hidup di dunia dapat dijadikan sebagai alat untuk mengecap kebahagiaan yang sebenar semasa hidup di alam akhirat.


Panduan Al-Quran Ke Arah Membina Kebahagiaan:
Al-Quran menyebutkan bahawa manusia tanpa iman adalah makhluk yang lemah. Antara bukti kelemahan mereka ialah apabila ditimpakan kesusahan ia keluh kesah.
  ﭻ  ﭼ      ﭽ  ﭾ   ﭿ  ﮀ  ﮁ  ﮂ            ﮃ  ﮄ  ﮅ  ﮆ  ﮇ     ﮈ  ﮉ  ﮊ   ﮋ   ﮌ 
Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat.[14]
Kehilangan bahagia dari hati manusia adalah permulaan kepada hadirnya kesedihan dan kerunsingan dalam jiwa. Ia menyebabkan bergolaknya jiwa, hilang rasa tenteram.
Kerunsingan adalah satu tentera dari tentera Allah. Ia akan ditimpakan ke atas sesiapa sahaja dari kalangan hamba-hambaNya yang lemah hubungannya dengan Allah, kosong jiwanya dari mengingati Allah. Sebaliknya ia dipenuhi dengan dosa dan maksiat,
Dialah (Allah) yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.[15]
Ali bin Abi Talib t ditanya: Apakah tentera Allah yang paling hebat? Maka beliau menjawab: Gunung, tetapi gunung mampu dipotong menggunakan besi, maka besi terkuat. Namun besi dicairkan dengan api maka api terkuat. Namun api terpadam dengan air, maka air terkuat. Namun air akan tersejat dengan awan, maka awan lagi kuat. Namun awan akan ditiup angin, maka angin terkuat. Namun manusia dapat menyediakan perlindungan dari api dengan tangan dan pakaian. Maka manusia yang terkuat. Namun manusia dapat ditewaskan oleh tidur. Maka tidur lebih kuat. Namun kerunsingan mampu menghilangkan nikmat tidur. Maka kerunsingan itu lebih kuat. Lalu sehebat-hebat tentera Allah ialah kerunsingan yang ditimpakan ke atas sesiapa sahaja daripada hambaNya.
Apa yang dapat difahami dari perkara ini ialah, kebahagiaan itu adalah kurniaan dari Allah Y seperti juga kerunsingan, kerisauan dan kesempitan itu adalah berpunca dari kemurkaan Allah Y.
Maka Allah memberikan panduan kepada manusia melalui Nabinya r begitu juga menerusi al-Quran yang diturunkan bersama-sama baginda r. Di dalamnya terkandung sumber kebahagiaan, dan panduan yang jelas bagaimana untuk memperolehi kebahagiaan.
Antara panduan al-Quran ke arah membina kebahagiaan:
1. Kebahagiaan itu milik Allah. Ia dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki daripada kalangan hambaNya.
Keyakinan kita pada saat ini bahawa Allah yang telah menciptakan manusia dan sekalian makhluk. Alklah menciptakan manusia dengan segala kemudahan mahu pun kesusahan yang disertakan bersama-sama fitrah kemanusiaan. Dalam masa yang sama, diciptakan jalan keluar dari keduanya, jalan keluar bagi kesenangan ialah kekufuran dan kemaksiatan, manakala jalan keluar dari kesusahan adalah keimanan dan ketakwaan.

ﭨ  ﭩ  ﭪ  ﭫ  ﭬ  ﭭ  ﭮ  ﭯ  ﭰ   ﭱ  ﭲ  ﭳ  ﭴ  ﭵ  ﭶ  ﭷ  ﭸ  ﭹ 
dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya:”.[16]

Segala kesukaran dan kesusahan yang ditempuhi diberikan jalan keluarnya bagi meperolehi kebahagiaan dalam diri. Ia bermula dengan ketaqwaan yang dipasak dengan kefahaman yang betul berkenaan konsep dan pelaksanaannya. Firman Allah:

ﮚ  ﮛ    ﮜ  ﮝ  ﮞ    ﮟ  ﮠ  ﮡ   ﮢ   ﮣ  ﮤ   ﮥ  ﮧ  ﮨ  ﮩ  ﮪ  ﮫ  ﮬ  ﮮ    ﮯ   ﮰ  ﮱ  ﯔ  ﯕ  ﯖ  ﯗ  ﯘ  ﯙ  ﯚ 
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. [17]

2.         Kebahagiaan hanya akan diperolehi dengan jalan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Manakala menyalahi dan memaksiati Allah dan RasulNya akan membawa kepada derita dan sengsara.

Garisan inilah sebenarnya yang akan menentukan kebahagiaan yang sebenar atau kebahagiaan yang palsu. Orang yang melakukan kemaksiatan untuk mencapai matlamat kebahagiaan mungkin mendakwa bahawa itulah jalan bahagia. Namun orang yang beriman dan menyedari bahawa pemilik kebahagiaan yang sebenar ialah Allah. Bagaimana sesuatu yang ingin diminta dari pemiliknya dijadikan jalan permintaan untuk mendapatkannya ialah dengan cara menyalahi perintahnya, dan melakukan larangannya? Justeru, dari kefahaman kepada firman Allah inilah kit mengatur gerak mencari kebahagiaan sebenar.
ﮉ  ﮊ  ﮋ  ﮌ  ﮍ   ﮎ  ﮏ  ﮐ  ﮑ  ﮒ  ﮓ  ﮔ  ﮖ   ﮗ  ﮘ  ﮙ  ﮚ  ﮛ  ﮜ 

Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan .[18]

Manakala dengan peringatan daripada Allah ini jugalah kita sentiasa mengawasi setiap tindak tanduk kita dari sesuatu yang mungkin menjadi sebab dicabut daripada kita kebahagiaan, dan ditambah derita dalam musibah yang tertimpa.

ﯳ  ﯴ   ﯵ   ﯶ  ﯷ  ﯸ   ﯹ  ﯺ  ﯻ  ﯼ  ﯽ      ﯾ  ﯿ  ﰀ  ﰁ  ﰂ       ﰃ  ﰄ    ﰅ   ﰆ             ﰇ   ﰈ   ﭑ  ﭒ            ﭓ  ﭔ  ﭕ  ﭗ  ﭘ     ﭙ  ﭚ 
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: "Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamupun dilupakan".[19]
Fokus dalam setiap pekerjaan mereka hanyalah dengan:


ﰈ  ﰉ  ﰊ   ﰋ  ﰌ      ﰍ  ﰏ  ﰐ     ﰑ  ﰒ  ﰓ  ﰔ  
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.[20]

3. Hakikat kebahagiaan semasa hidup di duina ini ialah redha dengan segala ketentuan Allah, merasa qanaah dengan apa yang telah di bahagi-bahagikan dari kurniaanNya kepada sekalian makhlukqnya, meletakkan keyakinan dan sangka baik kepada Allah, dan memanjangkan doa dan pengharapan kepada Allah. Kesemua itu terhasil sebagai buah keimanan yang betul dan jitu.
عن العباس بن عبد المطلب أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول  ذاق طعم الإيمان من رضى بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد رسولا
Daripada al-Abbas bin Abd al-Mutallib bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah r bersabda: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai agamanya, dan dengan Nabi Muhammad sebagai rasul”.[21]

Barangsiapa yang kehilangan redha dalam dirinya maka tamak dan haloba akan mula bersarang dalam dirinya. Dia akan berterusan dalam keadaan tamak, dan tidak pernah merasa puas dari rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah. Dia terus mengumpul dan mengumpul segala kekayaan dan harta benda, sudah tidak ada lagi rasa untuk memberi (zakat atau sedekah). Waktu itu, makannya sudah kelihatan seperti makannya haiwan-haiwan, minumnya sudah seperti binatang yang kehausan. Sesungguhnya benarlah sabda Rasulullah r
:
عَنْ سَعْدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: من سعادة ابن آدم: رضاه بما قضى الله، ومن شقاوة ابن آدم: سخطه بما قضى الله } رواه الترمذي
Daripada Saad berkata, telah bersabda Rasulullah rDari tanda kebahagiaan anak Adam, redhanya dengan apa yang telah diputuskan oleh Allah. Manakala dari tanda penderitaan anak Adam, benci dan tidak redhanya dia atas apa yang telah diputuskan oleh Allah”. [22]

Satu ketika, Umar al-Khattab t pernah menulis sepucuk surat kepada Abi Musa al-Asy’ari. Antara isi kandungannya ialah: “Sesungguhnya segala kebaikan itu dalam redha. Maka sekiranya kamu mampu, redhalah. Jikalau tidak hendaklah kamu bersabar”.
Baginda r bersabda:
 عن صهيب قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له
Daripada Suhaib t berkata, telah bersabda Rasulullah r “Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman, semua urusannya adalah baik belaka. Sikap demikian tidak siapapun yang memilikinya kecuali orang yang beriman. Sekiranya ia mendapat kesenangan, lalu ia bersyukur, maka sikap yang demikian itu baik baginya, dan jika ditimpa kesusahan, lalu ia bersabar, maka sikap yang demikian itu juga baik baginya”.[23]

4. Matlamat kepada segala kebahagiaan yang ingin dikecapi adalah kebahagiaan akhirat. Namun manusia tidak dinafikan dari mengecapi kebahagiaan di dunia dengan syarat tidak melupakan tanggungjawab mengejar kebahagian sejati iaitu kebahagian di dalam syurga Allah.
Orang yang beriman melihat matlamat terkahir dari segala kebahagiaan yang dikecapi semasa hidup di dunia ialah menuju ke negeri akhirat dengan membawa kebahagiaan itu bersama-sama mereka.
Andainya mereka merasai kepayahan atau kesukaran semasa mengharungi kehidupan di atas muka bumi, maka antara yang mengubati kesusahan tersebut adalah dengan meyakini bahawa sebarang kesusahan di atas muka bumi hanya bersifat sementara. Ia akan berakhir dengan berakhirnya dunia ini. Kesabaran dan ketabahan yang diusahakan mudah-mudahan akan dikurniakan kebahagiaan yang sebenar ketika berada di syurga kelak.

  ﮉ   ﮊ  ﮋ  ﮌ  ﮍ  ﮎ  ﮐ  ﮑ  ﮓ  ﮔ  ﮕ   ﮖ  ﮗ  ﮘ  ﮚ  ﮛ  ﮜ  ﮞ  ﮟ  ﮠ   ﮡ 
Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.[24]

Dr. Aid al-Qarni menulis dalam bukunya yang masyhur La Tahzan:
“Jika selama di dunia ini anda kebuluran, jatuh msikin, sentiasa dilanda kesedihan, menghidap enyakit yang tidak kunjung sembuh, selalu, selalu mengalami kerugian, atau diperlakukan secar zalim, maka peringatkan diri anda pada nikmat syurga yang kekal selamanya. Apabila anda benar-benar meyakini jalan ini dan mengamalkannya dengan benar, nescaya anda akan mampi mengubah setiap kerugian menjadi keuntungan dan setiap bencana menjadi nikmat”.[25]
Beliau mengakhirkan bicaranya dalam tajuk ini dengan firman Allah:
ﮞ  ﮟ  ﮠ  ﮡ  ﮣ  ﮤ  ﮥ   ﮦ 
(sambil mengucapkan): "Salamun 'alaikum bima shabartum". Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.[26]

Kesimpulan

Al-Quran adalah kitab hidayah. Ia diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada umat-umatnya. Dalamnya terkandung panduan bagi menjalani kehidupan di atas muka bumi hingga sampai ke alam akhirat. Barangsiapa yang menuruti panduannya pasti akan berjaya dan selamat. Manakala mereka yang menolak dan menjauhinya akan gagal dan menemui kesengsaraan.
Kejayaan bersama dengan al-Quran di situlah letaknya kebahagiaan yang sebenar. Andai tatkala mendengarnya pun sudah dirasakan ketenangan dan kebahagiaan, bagaimana pula yang indah didengar ditelinga itu dapat dirasai oleh setiap anggota tubuh dengan melaksanakan panduan yang terkandung di dalamnya.

Ibarat makanan yang kelihatan lazat di mata, ia tidak mampu diketahui melainkan dengan disuapkan ke mulut untuk dinikmati dan disyukuri nikmatnya.

Namun, andai kedapatan mereka yang membenci dan menjauh darinya, adakah buku panduan yang selain al-Quran  yang lebih tepat dan dijamin mampu merawat derita jiwa yang bergelojak?

Itulah al-Quran, sumber untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Wallahu a’lam.



[1] Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Keempat.
[2] Dr Yusuf al-Qaradhawi, al-Iman wa al-Hayah (Iman dan Kehidupan), Bab al-Sa’adah fi Dakhil al-Insan (Kebahagian Itu Dalam Diri Seorang Manusia), m.s 40.
[3][3] Thahaa: 1-2
[4] Qatadah bin Da’amah bin Da’amah al-Sadusi, Abu al-Khattab al-Basri, meninggal dunia pada 118H.
[5] Ismail bin Kathir al-Qurasyi, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Jilid 3, Juz 16, Cetakan Pertama, Muassah al-Risalah, Beirut, m.s 190.
[6] Huud: 105-108
[7] op.cit. Ibn Kathir, Jilid 2, Juz 12, m.s 598.
[8] Al-Nahl: 97
[9]op.cit: Ibn Kathir, , Jilid 2, m.s 762
[10] Al-Qasas: 77
[11] Ali Imran: 14.
[12] Riwayat al-Bukhari dan lain-lain.
[13] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Jilid 1, m.s
[14] Al-Ma’arij: 19-22
[15] Al-Fath: 4
[16] Al-Syams: 7-10
[17] AL-Talaaq: 2-3
[18] Al-Nahl: 97
[19] Taaha: 124-126
[20] Al-Ra’du: 28
[21] Rwayat Muslim.
[22] Riwayat al-Tirmizi. Berkata Abu Isa al-Tirmizi: “Hadith ini adalah gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan melalui hadith Muhammad bin Abi Humaid, dan dikatakan baginya juga; Hammad bin Abi Humaid iaitu Abu Ibrahim al-Madini bukanlah seorang yang kuat (sandarannya) di sisi ahli hadith. Al-Albani mendha’ifkan akan hadith ini.
[23] Riwayat Muslim.
[24] Al-Nahl: 30
[25] Dr. Aid al-Qarni, La Tahzan terjemahan Mohd Sofwan Amrullah, Edisi Eksklusif, Jasmin Publication, m.s 47.
[26] Al-Ra’du: 24

No comments: