Pandangan Sahibus Samahah Dato' Seri Harussani Zakaria & Dato' Hashim Yahaya dipetik daripada HarakahDaily.net:
Ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.
Dato' Seri Harussani membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.
Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.
"Kaedahnya dalam kes ini, ialah 'orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti' dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."
Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.
Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.
"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.
Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li'an.
"Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li'an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak," tegasnya ketika dihubungi.
Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.
"Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan," tegas beliau.
Pandangan Dr Mohd Asri dipetik daripada drmaza.com :
Soal maruah adalah besar dalam Islam. Bukan seperti Barat yang menjadikan maruah taruhan berita sensasi. Justeru, sekalipun Islam menjatuhkan hukuman sebat 100 rotan kepada penzina, Islam juga menetapkan syarat ketat terhadap yang menuduh orang lain berzina. Maka Islam menghukum penuduh tanpa cukup saksi dalam kes zina dengan 80 rotan. Ini kerana dia telah mempermainkan maruah orang lain. Juga Islam cuba menghalang sikap suka mendedahkan aib orang lain dalam perkara yang tidak cukup keterangan dan bukti.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4)
Namun, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.
Justeru Allah menyebut: (maksudnya) “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).
Bab ini dinamakan dengan ‘li‘an’ atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini. Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.
Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.
Jelas, isu-isu aib peribadi tidak patut dijadikan gelanggang permainan dalam masyarakat muslim sehingga setiap individu merasakan dirinya memiliki lesen besar untuk menuduh sesiapa sahaja yang dia mahu atau sesiapa sahaja yang dianggap musuhnya. Namun dalam masyarakat kita sehari dua ini nampaknya keadaan berlaku sebaliknya. Isu dalam kain individu-individu politik telah mencetuskan kegelisahan awam. Sehingga mewujudkan ketegangan, tuduh-menuduh dan maki-memaki yang seakan tiada kesudahannya. Jika dibiarkan, ketenteraman boleh tergadai disebabkan kerenah mereka.
Dalam al-Quran Allah mengajar mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Ini kerana ada pihak yang menunjukkan sikap keras kepala sehingga menimbulkan kekusutan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.(lihat: Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, 11/71). Disebut juga mulaa‘nah iaitu meminta agar Allah melaknati sesiapa yang berdusta atau bersalah di kalangan yang berselisihan dakwaan tersebut.
Ini seperti firman Allah kepada Nabi Muhammad SAW: (maksudnya) “Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).
Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w pernah mencabar puak Kristian daripada Najran agar melakukan mubahalah ini dengan baginda tentang Nabi Isa dan kebenaran ajaran Islam, namun mereka takut dan enggan melakukannya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Mubahalah itu adalah sunnah bagi sesiapa yang keras kepala di kalangan puak kebatilan. Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563).
Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Ini seperti dalam kes tuduh menuduh dalam negara kita sekarang, maka satu pihak diminta menyebut: “Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”. Selepas itu, kita semua tunggu hukuman dalam hal ini. Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari.
Al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) dalam bukunya al-Qaul al-Munbi ‘An Tarjamati Ibn ‘Arabi menceritakan bagaimana gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn ‘Arabi. Ibn ‘Arabi (bukan al-Imam Ibn al-‘Arabi) ada tokoh sufi sesat yang membawa fahaman wahdatul wujud iaitu penyatuan tuhan dengan manusia. Alirannya itu diikuti oleh banyak para pengikut tarekat sehingga ke hari ini.
Di Malaysia, antara pencintanya adalah juru kempen ajaran martabat tujuh. Pada zaman Ibn Hajar al-‘Asqalani, terdapat para pencinta Ibn ‘Arabi ini. Apabila al-Hafiz Ibn Hajar mempertikaikan Ibn ‘Arabi, mereka cuba mendapatkan campur tangan sultan ketika itu dan menuduh al-Hafiz Ibn Hajar menghina orang soleh. Sehingga akhirnya Ibn Hajar bermubahalah dengan syeikh mereka. Kata Ibn Hajar: Sebutlah “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku”. Lalu dia menyahutnya.
Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi berada atas petunjuk, maka laknatilah aku”. Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, pengikut Ibn ‘Arabi itu menjadi buta lalu ditimpa kematian. Di zaman Harun al-Rasyid juga ada yang menerima hukuman Allah setelah bermubahalah. Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahhab (tokoh yang dituduh membawa ajaran Wahhabi) pernah mencabar mereka yang menyanggahinya bermubahalah, namun penentangnya enggan.
Saya bukan inginkan agar Allah menurunkan bala kepada mereka yang tuduh- menuduh. Tetapi pertelingkahan mereka telah mengkucar-kacirkan umat dan negara, maka eloklah mereka bermubahalah agar orang ramai tidak lagi berbalah. Selepas bermubahalah, kita serahkan urusan ini kepada Allah. Dialah Yang Maha Mengetahui mengenai hal hamba-hambanya itu. Jika mereka tidak bersalah, apa yang hendak ditakuti? Orang politik rela belanja berjuta-juta untuk menceriakan imejnya. Mubahalah tidak perlu wang atau modal, namun dapat mengembalikan keyakinan dan menghapuskan prasangka yang telah ditaburkan dalam masyarakat.
Teman :
Teman tercari-cari pandangan rasmi Mufti Perak dalam bentuk audio atau tulisan-tulisan beliau, namun teman tidak berjumpa dengannya melainkan dalam Harakahdaily.net. Justeru teman naqalkan daripada sumber tersebut(harakahdaily.net). Seandainya ada sumber-sumber lain yang diketahui oleh pembaca-pembaca teman berharap agar diberi kepada teman untuk teman naqalkan ke laman ini. Teman juga tidak berjumpa dengan ulasan dan komen daripada Tuan Guru Nik Aziz berkenaan isu ini sekali pun daripada apa yang dilaporkan oleh berita di tv3 bahawa Tuan Guru menyokong agar diadakan mubahalah ini, tapi teman sukar untuk menerima laporan berita dari tv3 tersebut untuk teman siarkan di sini. Seandainya ada posting-posting yang lain teman harap ada yang sudi berkongsi dengan teman. Teman suka untuk biarkan pertimbangan ini diletakkan kepada pembaca-pembaca sekalian untuk menilai perkara ini ( perlukah bermubahalah atau tidak ) berdasarkan dalil-dalil dan hujah yang dikemukakan, semoga kita semua akan beroleh manfaat daripada lontaran pendapat daripada alim ulamak berkenaan masalah ini. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment