Firman Allah s.w.t :
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab ( Al Quran ) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari ( perbuatan-perbuatan ) keji dan munkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah ( solat ) adalah lebih besar ( keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain ). Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan " - Al Ankabut - 45.
Negara dimomokkan dengan isu negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencadangkan agar satu garis panduan dibuat berkenaan kenaikan pangkat dan kemasukan penjawat-penjawat awam di negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan negeri mestilah daripada kalangan mereka yang menunaikan solat.
Banyak respon yang diterima dengan pandangan yang pro dan kontra dalam isu ini. Saya cuba untuk mengupas ini dari kaca mata saya . Mudah-mudahan sama-sama kita beroleh manfaat.
Sesungguhnya solat merupakan amalan yang terbesar di dalam Islam selepas daripada tuntutan mengucap kalimah syahadah. Ia diletakkan sebagai rukun yang kedua sebagai pembuktian keislaman seseorang. Justeru apabila ia dikatakan sebagai rukun , jelas menunjukkan bahawa ianya adalah perkara penting dan mesti diambil perhatian.
Kelebihan solat banyak dikhabarkan oleh baginda sallallahu 'alaihi wasallam sama ada melalui firman Allah ta'ala mahu pun melalui sunnahnya.
Namun apabila ianya dikaitkan dengan menjadikan ianya satu syarat bagi kenaikan pangkat atau penetapan perjawatan, seolah-olah ianya satu perkara yang tiada kaitannya dengan hikmah penurunan perintah solat itu sendiri. Ramai yang mempersoalkan kewajarannya dan menyanggah daripada ianya dijadikan satu dasar bagi pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan.
Tugas dan peranan sesebuah kerajaan bukan sekadar mengurus keperluan masyarakat dari sudut keduniaan semata-mata. Namun tugas sebenarnya ialah untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dunia dan akhirat. Dan sudah pastilah perkara yang akan membawa kesejahteraan kepada rakyat di negeri akhirat adalah dengan cara mendidik mereka mentaati Allah dan mengamalkan segenap suruhannya
Mengapa solat dijadikan kayu ukurannya?
Jawapannya adalah mudah kerana solat adalah amalan yang dapat dilihat secara zahir. Ia juga tidak menuntut kepada keperluan yang besar seperti ibadah-ibadah yang lain seperti zakat puasa dan haji. Ia juga adalah amalan fardhu ain yang jatuh ke atas setiap muslim yang baligh dan memiliki akal yang sempurna. Ia merupakan kefardhuan yang kekal selama mana seseorang itu sempurna akalnya dan masih lagi bernyawa. Meskipun menghadapi kesukaran dan kesusahan untuk megerjakannya, kewajipan itu tetap ada dan tidak gugur melainkan diberikan rukhsah dalam mengerjakannya. Begitulah peri pentingnya solat dalam Islam.
Keistimewaannya berbanding ibadah lain juga jelas kelihatan. Antaranya; ia adalah satu-satunya ibadah yang diterima secara langsung oleh nabi daripada Allah tanpa melalui perantaraan Jibril. Tempat terimanya pula tidak di bumi, sebaliknya di langit yang tinggi dan nun jauhnya.
Ia adalah ibadah yang dilakukan secara zahirnya bermula dari awal takbiratul ihramnya sehinggalah selesai salamnya. Barangsiapa yang mendakwa adanya solat secara batin ( secara berniat semata-mata) sesungguhnya mereka telah sesat dari panduan Al Quran dan Al Sunnah yang mengkehendaki seseorang ’membangunkan’ solat ( mengerjakannya ) seperti firman Allah :
وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
”Dan kerjakanlah solat dan tunaikanlah zakat dan ruku’lah bersama orang-orang yang ruku’(tunduk dan patuh kepada Allah dan RasulNya”.
Kesimpulan :
Justeru tidak diragui, bahawa untuk mengenal pasti mereka yang bersolat bukanlah satu urusan yang susah, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa mereka telah mengerjakan solat tanpa benar-benar mendirikannya. Tambahan pula solat fardhu adalah digalakkan terutamanya orang lelaki untuk menunaikannya bersama khalayak ramai ( berjamaah ).
Maka seharusnya idea yang diketengahkan untuk menjadikan solat sebagai antara syarat kenaikan pangkat dan penetapan perjawatan adalah antara cadangan yang harus disokong bagi meningkatkan lagi penghayatan masyarakat muslim terhadap kepentingan solat dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment