Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Kewajipan Mentaati dan Berbuat Baik Terhadap Ibu Bapa


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah:

Bicara tentang ibu dan ayah tidak pernah membosankan dan tidak pula membebankan. Sesunggunya Allah s.w.t telah berpesan supaya berlaku baik kepada keduanya. Allah s.w.t telah menjadikan keduanya sebab kepada beradanya kita di atas muka bumiNya ini, dari tiada kepada ada. Sering kali Allah mendatangkan secara bersama perintah untuk beribadat kepadaNya dengan perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa seperti firmanNya:


Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu ayahmu, hanya kepada-Ku lah kembali kamu(Luqman:14).


Begitu juga dalam firmanNya:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya (al-Isra’: 23)


Maksud firmanNya Dan Tuhanmu telah memerintahkan bererti Dia (Allah) telah memerintahkan dan berpesan dengannya.


Oleh kerana itulah, Allah menyertakan pada perintahnya, supaya manusia beribadah hanya kepadanya dengan perintah supaya mentaati kedua ibu bapanya.


Bilakah masanya kita akan mengetahui betapa tingginya nilai berbuat baik kepada kedua ibu dan ayah? Sesungguhnya, kita hanya akan mengetahui betapa tingginya nilai berbuat baik kepada kedua ibu dan ayah, apabila mereka berdua telah pergi meninggalkan kita dan dikebumikan di perkuburan. Pada ketika itu, kita akan merasa kehilangan mereka berdua dan mengetahui betapa berharganya mereka berdua kepada kita. Pada waktu itu,kita akan berharap agar keduanya masih lagi hidup di samping kita untuk kita berbuat kebajikan bagi keduanya dan berusaha membahagiakan mereka berdua.


Maka apa sahaja perbuatan yang menyentuh hak mereka berdua atau perkataan atau sebarang ibarat bagi menggambarkan betapa bernilainya berbuat baik kepada keduanya, ianya tidak akan mampu dicatatkan di dalam helaian-helaian kertas ini, sebaliknya kita hanya mampu menuturkan apa yang diajar Allah s.w.t dengan doa ygang kita panjatkan selalu:

ÙˆَÙ‚ُÙ„ رَّبِّ ارْØ­َÙ…ْÙ‡ُÙ…َا ÙƒَÙ…َا رَبَّÙŠَانِÙŠ صَغِيرًا

"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil"(Al-Isra’: 24).


Sidang Jumaat yang dikasihi:

Justeru itu, hendaklah kita sentiasa berusaha memperolehi redha kedua ibu dan ayah, berusaha membahagiakan keduanya, bergaul dengan cara yang terbaik, selalu meminta pandangan dan pendapat mereka, berusaha membahagiakan keduanya, selalu mendampingi mereka, makan dan minum bersama mereka, menabur khidmat dalam memenuhi setiap hajat dan kehendak mereka, dan sentiasa berbicara dengan mereka dalam bahasa yang lembut dan baik serta beradab dan menghormati mereka selama kita masih berpeluang berbuat demikian.


Berusaha dan bersungguh-sungguhlah, serta sentiasa peka ke arah memperolehi doa yang baik daripada mereka berdua. Sesungguhnya doa kedua ibu dan ayah sama sekali tidak akan ditolak.


Maka barangsiapa yang berkeinginan untuk memperolehi syurga, hendaklah dia sentiasa mendampingi kedua ibu dan ayahnya, dan sentiasa berwaspada daripada menderhakai kedua ibu ayahnya atau melukai hati mereka dengan kata-kata yang menyakiti keduanya walau pun hanya dengan kalimah ah! sekali pun yang merupakan serendah-rendah penderhakaan kepada keduanya. Firman Allah s.w.t:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.(al-Israk: 23-24).


Firman Allah s.w.t lagi:


Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa”.(al-Nisa’: 36)


Daripada Abi Abd al-Rahman Abd Allah bin Mas’ud r.a. telah berkata: Seorang lelaki telah bertanya baginda Nabi s.a.w apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah s.w.t? Baginda bersabda: “Solat apabila tiba waktunya (di awal waktu)”. Kataku: Kemudian apa lagi? Sabda baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Kataku: Kemudian apa lagi? Sabda baginda: “Berjihad di jalan Allah”. (Hadith Muttafaq ‘alaih)


Daripada Abi Hurairah r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w lantas bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku berbuat baik dan mendampinginya. Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Ibu kamu. Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa? Baginda bersabda: Bapa kamu. (Hadith Muttafaq ‘alaih)


Daripada ‘Aisyah r.a telah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Daku telah memasuki syurga dan daku telah mendengar bacaan di dalamnya. Maka daku bertanya: Siapakah ini? Mereka berkata: Harithah bin Nukman. Itulah ganjaran (bagi orang yang berbuat baik terhadap kedua ibu dan ayahnya). Itulah ganjaran (bagi orang yang berbuat baik terhadap kedua ibu dan ayahnya).


Dalam riwayat yang lain: “Aku telah tidur maka aku melihat diriku berada di dalam syurga”. Dan ditambah dalam riwayat tersebut: “Adalah dia (Harithah) merupakan orang yang paling baik terhadap ibunya”. (Hadith Shohih dikeluarkan oleh Abd al-Razzaq dalam musannafnya, begitu juga Ahmad, al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).


Berkata Ka’ab al-Akhbar r.a: Sesungguhnya Allah s.w.t menyegerakan kebinasaan seseorang hamba apabila dia menderhakai kedua ibu ayahnya, disegerakan baginya azab. Dan Allah akan menambah usia (memanjangkan usia) seorang lelaki apabila dia berbuat baik kepada kedua ibu ayahnya untuk dia menambahkan kebaikan dan kebajikan. Dan di antara kebaikan kepada keduanya ialah dengan kita menghulurkan nafkah apabila diperlukan oleh mereka berdua”.

Apakah yang boleh kita katakan tentang kelebihan berbuat baik kepada ibu dan ayah?

Allah s.w.t telah memuji NabiNya Isa a.s dengan berfirman:

dan berbakti kepada ibuku(Maryam: 32)


Dan berbakti bermaksud: Menghubungkan silaturrahim. Sesungguhnya baginda Nabi s.a.w telah menjelaskan sejelas-jelasnya kedudukan ibu dalam hadis yang telah disebut sebelum ini ketika baginda ditanya tentang siapakah yang lebih berhak untuk berbuat baik dan didampingi. Maka baginda s.a.w menjawab: “Ibu kamu”. Kandungan hadith ini menjelaskan bagi seseorang ibu itu tiga kali lebih diutamakan dari seorang ayah dalam berbuat kebajikan terhadapnya. Ini adalah kerana kesusahan yang dialaminya ketika hamil, kemudian tatkala melahirkannya, sewaktu menyusukan anaknya seperti yang digambarkan dalam firman Allah s.w.t:

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan”..(al-Ahqaf: 15)



Saudara-saudaraku seagama:


Ibu. Apa yang kalian tahu tentang ibu?


Tanggungjawabnya dalam mendidik sangatlah berat. Dia telah menanggung letih dan sengsara tatkala hamil. Menderita kesakitan yang bersangat dan kepayahan. Mengharungi tempoh penyusuan dan kesusahannya. Semua itu dilakukannya tanpa memikirkan kesakitan yang ditanggungnya atau kelaparan yang dirasainya atau penyakit yang sedang dihidapinya atau keletihan yang menggigit tubuhnya.Dilakukan segalanya denga segala upaya, tanpa mengharapkan sebarang balasan, atau ucapan terima kasih melainkan hanya mengharap ganjaran daripada Allah s.w.t.


Dia telah hidup sepanjang usianya demi memberi khidmat kepada anak-anaknya, merawat sakit dan demam mereka, seorang ibu yang penyayang kepada anak-anaknya, tidak pernah merasa jijik dari najis anak yang dibasuhnya, atau satu keadaan yang tidak enak dilihatnya, atau kejadian yang disaksikannya, dia berjaga supaya anak itu dapat tidur, menderita untuk melihat anak itu bahagia, mengenepikan segala kesenangan hidup demi kesenangan kamu. Kamulah segala-galanya dalam hidupnya. Hari yang paling bahagia dan manis baginya ialah ketika dia melihat kamu seorang lelaki yang telah dewasa matang mentaati Allah s.w.t. pada setiap arahan dan laranganNya.


Demi Allah,sesungguhnya saya amat mengkagumi hati seorang ibu. Hati seorang ibu tidak pernah berbohong. Ia mempunyai deria yang sangat peka terhadap anaknya. Seandainya berlaku sesuatu kepada anaknya, hatinya akan terasa akan sesuatu. Subhanallah. Maka sesungguhnya hati seorang ibu itu tidak pernah menipu.


Diriwayatkan seorang badawi melakukan tawaf sambil mengendong ibunya di belakangnya. Apabila sudah dia melakukan tawaf, dia berkata kepada Ibn Abbas r.a: Adakah kamu melihat aku telah menunaikan akan haknya? Jawab Ibn Abbas: Tidak, demi Tuhan sedikit tidak tertunai (jika di bandingkan dengan pegorbanan ibunya).


Diriwayatkan daripada Hasan bin Ali r.h sesungguhnya beliau takut dan berjaga-jaga dari memakan makanan ibunya. Maka ditanya beliau akan perkara tersebut. Maka beliau berkata:Aku takut tanganku akan mendahului tangan ibuku pada makanan yang telah dipandang oleh ibu (dengan niat untuk memakannya), maka di kala itu aku telah menderhakainya”.


Diriwayatkan daripada seorang salaf al-soleh r.h sesungguhnya tatkala dia selesai mengkebumikan ibunya dia menangis di sisi kubur ibunya tangisan yang sayu. Lalu ditanyakan mengapa dia menangis. Lantas dijawabnya: Bagaimana aku tidak menangis sedangkan telah ditutup bagiku pintu dari pintu-pintu syurga.


Allahu akbar. Di manakah kita dari sekalian mereka ini?


Inilah ibu yang memiliki segala kebesaran dan kehormatan. Namun bukanlah bererti seorang itu melupakan hak ayahnya. Ayah telah berada dalam jalan yang satu dan jalan saudara-saudaranya, telah lama menanggung keletihan dan derita supaya menjadi orang yang bahagia dan sejahtera. Telah lama ayah memakan makanan yang tidak mewah, memakai pakaian yang murah, supaya dia dapat membekalkan anak-anaknya dengan kehidupan yang penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Telah lama dia mendengar permintaan itu dan ini supaya dipenuhi dari mulut anak-anaknya. Telah lama dia menelan kepahitan dan menanggung hutang dan menghadapinya demi anak-anaknya. Di kala itu, anak-anaknya sedang nyenyak tidur, atau sedang bersukaria, bermain-main, tidak pernah mereka merasai kesengsaraannya.


Abu Hurairah r.a. telah melihat seorang lelaki telah berjalan di belakang seorang lelaki. Maka beliau bertanya: Siapa lelaki ini? Maka jawab lelaki tersebut: Ayahku. Berkata Abu Hurairah: Jangan panggilnya dengan namanya, jangan duduk sebelumnya duduk, dan jangan berjalan di hadapannya”.


Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,


Sesungguhnya menderhakai kedua ibu bapa hukumnya haram dan ia tergolong dari dosa-dosa besar. Menderhakai kedua mereka akan mengakibatkan seseorang itu melihat akan balasannya di dunia lagi sebelum tiba di akhirat. Ia merupakan hutang yang akan dilangsaikan di dunia lagi sebelum akhirat. Oleh itu, berwaspadalah merekay yang menderhakai ibu dan ayahnya bahawa sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikannya, maka takutlah akan Allah barangsiapa yang menderhakai kedua ibu ayahnya. Jangan diperdengarkan walau pun kalimah ah! terhadap keduanya. Bagaimana kalau ianya lebih teruk dari kalimah tersebut!!!


Daripada Anas bin Malik r.a. daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda:

Dosa-dosa besar: Menyekutukan Allah, menderhakai kedua ibu ayah, membunuh nyawa, dan baginda berkata: Adakah kamu hendak aku khabarkan kepada kamu dengan sebesar besar dosa besar: Yakni Sumpah dusta”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Daripada Abd Allah bin Amru bin al-Ash r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Daripada dosa-dosa besar seorang lelaki melaknat kedua ibu ayahnya. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana seorang lelaki melaknat kedua ibu ayahnya.? Baginda menjawab: Dia mencerca ayah lelaki yang lain maka lelaki tersebut (membalas cercaan dengan) mencerca ayahnya dan ibunya, maka dia mencerca ibunya(Muttafaq ‘alaih).


Saudara-saudaraku yang dihormati:

Kesimpulannya, yang tinggal bagi kita selepas dari penjelasan yang telah khatib berikan kepada kita semua dengan cara yang mudah tentang kelebihan mereka yang menjadi sebab wujudnya kita di dunia ini selepas Allah s.w.t. (ibu bapa), dan apa yang perlu kita lakukan terhadap keduanya daripada memuliakan dan menghormati keduanya, di samping setiap daripada kita hendaklah menilai kembali dirinya sendiri serta melihat adakah dia telah mencuaikan hak kedua ibu dan ayahnya atau dia telah berbuat baik terhadap keduanya. Sekiranya dia tergolong dalam golongan yang mencuaikan hak keduanya, maka mohonlah keampunan daripada Allah dan sesalilah apa yang telah dilakukannya serta mulakanlah berbuat baik kepada keduanya. Maka seandainya mereka berdua telah meninggal dunia atau salah seorang daripada mereka, maka doakanlah mereka, mohonlah bagi mereka kerahmatan daripada Allah dan berbuat baiklah kepada rakan-rakan mereka. Seandainya dia telah pun berbuat baik terhadap keduanya, maka bersyukurlah kepada Allah dan hendaklah sentiasa berterusan dalam keadaan sedemikian. Sesungguhnya antara tanda diterima sesuatu kebajikan ialah ianya dituruti dengan kebajikan. Ia merupakan kurniaan daripada Allah ke atasnya, dan gunakanlah kesempatan hidupnya ibu dan ayahnya dengan berbuat baik terhadap keduanya sebelum terlewat (mereka menemui ajal).

No comments: