Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Dari Laman Web Fitnah Ke Laman Web Lucah

Berita hari ini mengwar-warkan gesaan supaya laman web yang didakwa berunsur fitnah ditutup demi memelihara undang-undang dan peraturan dalam negara. Cadangan ini dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Syed Hamid Albar seperti yang termuat di dalam akhbar Utusan.

Tidaklah kita ingin memberikan komen atas apa yang telah diperkatakan kerana saya yakin pembaca boleh menilai saranan tersebut dengan sama ada wajar atau tidak.

Namun apa yang dapat disimpulkan bahawa, kemungkinan untuk menutup sesuatu laman web atau menghalang ianya diakses oleh orang lain adalah berada di bawah tanggungjawab dan kemampuan kerajaan untuk mengendalikannya.

Persoalannya mengapa laman web yang memberikan impaks dan kesan yang buruk terhadap masyarakat sejak sekian lama tidak pula diambil tindakan yang bersungguh-sungguh untuk menyekatnya. Lambakan laman web yang menyajikan bahan-bahan lucah atau memiliki unsur-unsur kelucahan dan tahyul masih lagi dibenarkan beroperasi sedangkan ianya lebih lama bertapak daripada kehadiran laman-laman web yang didakwa mengandungi ftinah yang baru sehari dua bertapak dan dikenali masyarakat.

Justeru kita berharap, kesungguhan kerajaan dalam menangani permasalahan semasa janganlah dibuat atas dasar semata-mata pertimbangan politik semata-mata, namun hendaklah ianya disepadukan dengan pemulihan menyeluruh terhadap permasalahan semasa termasuklah masalah keruntuhan akhlak dan keruntuhan institusi sosial yang mana salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh pembukaan laman-laman web lucah dan tahyul.

Kita yakin andai kata kerajaan bersungguh dalam menangani masalah ini , ia akan menyumbang kepada proses pemulihan syakhsiah masyarakat di samping pelaksanaan undang-undang Islam sebagai pelengkap kepada proses peningkatan sosio-budaya-ekonomi masyarakat khususnya di negara ini.

Kepada menteri yang bertanggungjawab, kita menyarankan agar beliau lebih bertanggungjawab dalam tugasan yang diberikan terutamanya perkara-perkara yang berada di bawah kuasa beliau untuk membantu proses pembaikpulihan masyarakat atau sebaliknya masyarakat akan menganggap bahawa segala tindakan yang dilakukan hanya untuk survival politik semasa bukan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

1 comment:

jazrul said...

memang susah nak hapus kan laman web lucah ni