Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

KESEIMBANGAN ANTARA PENGORBANAN DAN KEHIDUPAN

Istilah pengorbanan atau pemahaman terhadap pengorbanan hendaklah disertakan dengan pemahaman terhadap hak dan kewajipan terhadap perkara-perkara tertentu. Perkara-perkara atau bahagian yang perlu disertakan dalam pertimbangan semasa bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan adalah seperti sabda nabi sallallahu alaihi wasallam : " Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak terhadap dirimu , dirimu sendiri ada hak dalam kehidupanmu , dan ahli kamu ( orang yang hampir dengan kamu seperti keluarga , jiran tetangga , dan lain-lain ) juga ada hak ke atasmu , maka berikanlah setiap yang memiliki hak tersebut hak mereka ".

Justeru apabila berada dalam zon melakukan kesungguhan dan pengorbanan dalam melakukan pekerjaan , jangan terabai hak Allah seperti solat dan ibadat yang lain, begitu juga hak diri untuk mendapat kerehatan yang sewajarnya, makan dan kesihatan yang sepatutnya dijaga, dan hak keluarga serta mereka yang terhampir dengan diri kita untuk kita berikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya. Pertimbangan di antara hak-hak mereka yang berada dalam lingkungan kehidupan kita dan pengorbanan yang dituntut untuk melahirkan insan yang berjiwa besar sahajalah yang dapat menyeimbangkan kehidupan yang sebenar sepertimana yang ditonjolkan oleh nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai seorang Rasul , panglima di medan perang , ayah kepada anak-anak, suami kepada isteri-isteri, hamba kepada Allah dan lain-lain tugasan yang diamanahkan selama berada di atas muka bumi Allah s.w.t.

Kecuaian terhadap salah satu daripada hak-hak yang mesti ditunaikan akan mengakibatkan perjalanan kehidupan seseorang menjadi tidak seimbang seterusnya mengakibatkan kekacauan sama ada kepada diri, keluarga mahu pun kepada masyarakat umumnya. Pematuhan dan penurutan terhadap contoh teladan yang ditunjukkan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam adalah jalan terbaik dalam mengatasi setiap permasalahan dan kekurangan yang berlaku, seterusnya mengubatinya dengan cara yang penuh berhikmah.

Selamat bekerja,selamat berjuang dan selamat berkorban demi agama Islam tercinta.

No comments: