Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Hilangkan Sedih, Derita, Sengsaramu dengan Mengingati Syurga Allah

Antara intipati buku La Tahzan karangan Dr Aid al-Qarni telah mengetengahkan antara kaedah menghapuskan sedih, derita dan sengsara yang sedang menimpa diri dari musibah-musibah dunia ini adalah mengingatkan diri tentang syurga dan segala nikmat di dalamnya yang akan dikecapi selama-lamanya.

Biar betapa hebatnya kesedihan, penderitaan dan kesengsaraan yang melanda di kala itu, yakinlah ianya hanya bersifat sementara cuma. Andai anda berumur 30 tahun di kala musibah itu tiba, hakikatnya ia ada tempoh yang berpenghujung untuk ia terhenti. Kirakan berapa sebenarnya yang berbaki dengan usia anda pada waktu itu hingga ke penghujung nyawa pada perkiraan kebiasaan umat Muhammad (antara 60-70 tahun), maka maksima derita yang ditanggung dari musibah dunia ini hanya berbaki sekitar 40 tahun sahaja. Lamakah tempoh 40 tahun itu? Sedang anda ketika ini sudah pun merasa nikmat 30 puluh tahun tanpa sebarang masalah besar dan tanpa anda menyedari 30 tahun itu sudah berlalu. Lantas, usai sahaja 40 tahun, andai iman, islam dan sabar serta redha masih ada dalam diri, jaminan kebahagiaan di alam akhirat berada di Daar al-Salam itu sudahlah pasti dengan rahmat daripada Allah.

Apalah yang dihitung dari nikmat dunia yang hilang, kalau pun kesedihan itu fitrah bagi hati andai hendak dibanding dengan nikmat akhirat yang bakal diperolehi.

Justeru, hadirkan hati dan fikiran ke arah bicara Allah dan RasulNya tentang perihal syurga yang memancar di dalamnya mata-mata air atau mengalir di bawahnya sungai-sungai, pepohon besar yang merendangi taman-taman penghuninya, segala apa yang dihajati di kala itu segera terpenuh, itu belum lagi dihitung saat yang paling indah menatap Zat Allah Yang Maha Indah lagi Maha Sempurna dalam keadaan Dia meredhai segala nikmat yang telah dikurniakan serta mengampunkan setiap dosa dari kesabaran yang diperpanjangkan.

Sekurang-kurangnya ia mengalih sebentar khayalan yang terhasil dari momokan syaitan kepada cita-cita yang memungkinkan tercapai.

Hapuskan air mata kesedihan penderitaan dan kesengsaraanmu dengan hiburan yang memberikanmu sinar bahagia yang pasti. Itulah syurga yang dijanjikan bagi mereka yang beriman, dan beramal soleh. Pada saat itu, pasti yang dirasai, ahh, betapa indahnya sabar itu. Ketahuilah anda beruntung kerana mengenali betapa nikmatnya sabar dalam keadaan ramai yang menyangka bahawa sabar itu derita. Bagimu, sabar itulah sebenarnya bahagia yang belum anda temui melainkan selepas ditimpakan musibah itu.

Indahkan? Sabar,sabar dan sabar..Kerana sabar itu sememangnya indah..

DAKWAH DI ALAM MAYA: BLOG SEBAGAI WADAH DAKWAH

Dakwah pada asalnya bukan bicara lisan semata-mata, tetapi ia adalah satu gerak kerja yang tersusun hasil dari tuntutan yang telah ditujukan kepada orang-orang beriman untuk melaksanakannya dalam menyeru manusia supaya menyembah akan Allah dan mentaati segala suruhan atau menjauhi laranganNya. Tuntutan itu berlaku sama ada pada peringkat individu atau berkumpulan. Namun tidaklah bererti menggunakan pendekatan komunikasi mulut itu bukan satu dari pendekatan dakwah, namun ia lebih luas dan tidak terbatas kepada pendekatan-pendekatannya yang bersifat konvensional, bahkan sebarang cara atau kaedah yang digunakan selagi ia tidak bertentangan dengan syariat adalah diharuskan.


Namun sebelum melangkah lebih jauh ke arah membicarakan perkara ini, maka suka saya utarakan bicara pemilik kalam yang menurunkan al-Deen ini kepada kita berkenaan dengan tuntutan dakwah supaya kita merasai tuntutan itu pada setiap denyut nadi kita yang bergerak.


Tuntutan Dakwah

Firman Allah al-Rahman al-Rahim:


Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.[1]


Sabda Rasulullah:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat, ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya) dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka.[2]


Tuntutan untuk berdakwah ini meliputi setiap lapisan masyarakat menurut kemampuan masing-masing. Kisah bagaimana cucunda Baginda yang menunjukkan jalan mengambil wudhu’ yang betul dengan cara yang berhikmah jelas memberi gambaran dakwah itu boleh dilakukan oleh siapa sahaja pada kadar kemampuannya. Ia tidak dilihat kepada banyaknya output yang disebarkan semata-mata, namun yang lebih penting adalah kualitinya meski pun hanya satu kalimah yang benar dan bermanfaat. Manakala kualitinya itu bukan bersandarkan kepada kesukaan masyarakat mendengar sesuatu bicara yang menjadi halwa telinga semata-mata bahkan kewajipan yang utama ialah memberikannya atas disiplin ilmu yang benar lagi jujur.


Kelebihan Berdakwah

Firman Allah U:


Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?[3]


Begitu juga bicara kekasihNya yang menjadi Nabi akhir zaman dengan pesannya kepada Saidina Ali :

فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِىَ اللَّهُ بِكَ الرَّجُلَ الْوَاحِدَ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

“Demi Allah, sungguh satu orang saja diberi petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik dari unta merah.”[4]


Mereka yang merebut peluang untuk menjadikan lidah mereka serta anggota tubuh yang lain dalam kondisi yang terbaik ini (berdakwah) sebenar sedang menanam saham untuk akhirat. Setiap suluhan yang diberi kepada insan-insan yang berada dalam kegelapan akan menjadi suluhan buat dirinya jua. Kebaikan yang diperolehi oleh insan yang diserunya sama ada untuk hidup dunia atau akhirat, maka penyerunya juga beroleh ganjaran yang serupa. Ia janji yang dituturkan oleh lidah yang tidak pernah berdusta:


عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مِنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ ٰلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا ، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ أَثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ ٰلِكَ مِنْ أَثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa sesungguhnya Rasulullah r bersabda: “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk (hidayah), maka baginya ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun, dan barangsiapa yang mengajak kepada dhalalah (kesesatan), maka (dibebankan) ke atasnya dosa sama seperti dosa orang yang megikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun”.[5]


Ganjaran yang diperolehi oleh mereka adalah berterusan selama yang menerima petunjuk dengan sebab mereka meneruskan kebaikan yang diterima seruannya, tidak berkurang walau pun sedikit dari mereka yang mengerjakan kebaikan tersebut. Alangkah beruntungnya si penyeru kebaikan!


Kaedah Dakwah Satu Rukun Yang Mesti Perhalusi

Bicara mukaddimah kertas ini sebenarnya menyentuh tentang tiga rukun dakwah[6] secara tidak langsung dalam masa yang terbatas kerana yang difokuskan pada bicara kali ini adalah berkenaan kaedah dakwah yang mewarnai perjalanan seruan kepada Allah dalam era ini.

Meski pun kaedah-kaedah dakwah adalah sesuatu yang bersifat terbuka (tidak terikat dengan sebarang bentuk khusus) melainkan andai ianya bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri. Namun umumnya sebarang pendekatan atau kaedah yang diambil sama ada secara langsung dari sumber kandungan dakwah itu sendiri (al-Quran dan al-Sunnah), atau melalui sirah al-Salaf al-Soleh, atau istinbat-istinbat fuqahak, atau pengalaman du’at yang pernah melaluinya adalah dibenarkan untuk diguna pakai dalam menyampaikan seruan ke jalan Allah.


Kepelbagai cara dan kaedah ini memberi peluang kepada setiap individu untuk menggunakan mana-mana kaedah yang difahaminya bagi memudahkan seruan sampai ke golongan sasar. Namun, mendahulukan berpegang dengan kaedah dari sumber yang benar (al-Quran, al-Sunnah, al-Salaf al-Soleh) dapat menjamin kejayaan dakwah yang akan dijalankan. Dalam masa yang sama, ia tidak bermaksud menolak sebarang kaedah lain yang diizinkan oleh syarak.

Memperhalusi cara atau kaedah berdakwah sebenarnya adalah hasil dari didikan hikmah yang turut sama dituntut oleh syarak secara subjektif.[7] Kebijaksanaan dalam menyampaikan seruan dakwah adalah pra syarat kejayaan yang ingin dicapai walau pun hakikat sesuatu kejayaan itu sebenarnya adalah milik Allah Y, manakala kita hanya dititahkan untuk melaksanakan tanggungjawab ini.


Dakwah di Alaf 21.

Apabila kita membicarakan tentang cara atau kaedah dakwah, maka antara yang mendasari segala cara dan kaedah ini ialah keperluan untuk mengenali golongan sasar serta menggunakan pendekatan yang paling bersesuaian dengan mereka. Oleh kerana itu Saidina Ali memperingatkan kepada kita seperti mana yang dinukilkan oleh al-Bukhari sahihnya:

حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ

“Bicaralah kamu semua dengan manusia atas apa yang mereka ketahui, adakah kamu suka Allah dan RasulNya didustai?

Melihat kepada masyarakat pada alaf ini, melalui perkembangan teknologi membuka ruang dakwah yang lebih luas. Pelbagai medium dakwah dapat dipergunakan hasil gabungan idea konvensional dan kontemporari. Alat media yang pelbagai memudahkan tugasan dakwah dilaksanakan. Media cetak, elektronik jelas memainkan peranan penting dalam dakwah pada alaf ini. Ia tidak dilihat kepada kesannya (dakwah diterima) secara umum, tetapi secara praktikalnya, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan teknologi yang wujud pada hari ini amat-amat membantu dalam menyebarkan Islam yang mulia ini.

Oleh kerana itu, fokus perbincangan dalam kertas ini mengajak semua pembaca untuk menilai kesan dari fenomena lambakan teknologi komunikasi ini yang menjadi medium perantara dakwah antara da’ie dan mad’u. Bahkan secara khusus kita akan membicarakan dakwah yang berlegar di alam maya kesan dari penggunaan teknologi yang ada pada hari ini.


Dakwah di Alam Maya

Amali dakwah boleh diumpamakan seperti strategi pemasaran yang diamalkan oleh para usahawan atau peniaga. Kejayaan sesuatu produk menembusi pasaran yang luas atau sempit dikatakan banyak bergantung kepada strategi pemasaran. Bahkan dalam keadaan tertentu, sesuatu produk yang baik boleh menemui kegagalan akibat dari kesilapan strategi pemasaran. Begitu juga sebaliknya.

Namun apa yang pasti, Islam adalah satu ‘produk’ yang terbaik. Ia sudah mendapat jaminan kualiti dari ‘entiti’ yang paling agung. Keabsahannya tidak dapat dipertikaikan bukan sahaja untuk sesuatu tempoh, bahkan sehingga ke hari kiamat.

Namun, apabila berdepan dengan bakal ‘pembelinya’, terkadang ia tetap tidak mampu menarik perhatian, bahkan terkadang disebabkan kesilapan ‘pegawai pemasaran’, pembeli bukan merapati bahkan menjauhi.

Keadaan yang digambarkan ini bukanlah bermaksud reality keseluruhan kepada usaha dakwah yang dijalankan di alaf ini. Namun sebahagiannya yang terjadi sebegini rupa sudah memberi kesan yang besar terhadap keseluruhan perjalanan dakwah.

Dalam masa yang sama, ia bukan bertujuan melemahkan semangat pekerja-pekerja dakwah, sebaliknya ia adalah suatu penilaian umum sebelum seseorang melangkah ke medan dakwah.


Dakwah di Alam Maya: Inovasi Dakwah Alaf 21

Peningkatan pengguna internet dari tahun ke tahun memperlihatkan perubahan ketara gaya hidup masyarakat di alaf ini. Ia dapat dilihat dari statistik yang dikeluarkan oleh The World FactBook pada tahun 2006, seramai lebih kurang 11,300,000 (46.3%) penduduk Malaysia dan 1 million (15.8%) penduduk dunia menggunakan internet dalam kehidupan seharian. Manakala pada tahun 2008, hasil kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015. Kajian itu juga memberikan dapatannya yang menyatakan bahawa kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu. Ini bermakna keberadaan lebih dari separuh penduduk Malaysia di alam maya memberi erti ruang yang terbuka itu harus diisi dengan sesuatu yang bermanfaat atau ia akan diisi dengan perkara-perkara yang lain. Ia ditambah pula dengan generasi muda yang menjadikan ia sebagai budaya hidup mereka dengan kemunculan gajet-gajet terkini.


Dakwah yang menjadi tuntutan syariat wajar dilestarikan menerusi sebarang medium yang ada. Sudah pasti, alam maya adalah satu ruang yang mesti dipergunakan dengan sebaiknya.


Ia menawarkan satu peluang dakwah yang sangat tinggi pulangannya di sebabkan ia telah menjadi budaya dalam masyarakat. Ruangan tersebut pula tiada had atau sekatan seperti yang di hadapi di persempadanan dunia ini. Ia juga memberikan peluang yang adil untuk sesuatu fakta itu dinilai tanpa sebarang tekanan untuk menerimanya. Ia seakan-akan suatu tanah yang kondusif bagi sesiapa sahaja menaburkan benih-benih tanaman yang baik untuk tumbuh dan dipetik oleh sesiapa sahaja.


Dakwah di Alam Maya: Positif vs Negatif

Meski pun begitu, kita tidak dapat menolak beberapa kekurangan yang mungkin berlaku dalam proses dakwah tersebut. Antaranya ialah ia adalah komunikasi sebegini mungkin akan mewujudkan interpretasi yang berbeza. Satu ayat yang diungkapkan dengan mulut lebih mudah untuk menilai maknanya dengan intonasi yang digunakan bagi menggambarkan emosi tatkala ia diungkapkan. Namun bicara alam maya ayat yang tenang boleh menimbulkan gelora yang tak tersangka akibat dari pemahaman kalimah-kalimah yang tidak diketahu ‘emosinya’.


Sesetengah media maya tidak bersifat dua hala dalam masa yang segera seperti komunikasi lisan ke telinga. Apabila berlaku ketidakfahaman terhadap suatu idea yang dilontarkan, ia memerlukan masa untuk diperjelaskan atau diperbetulkan melainkan seandainya da’i dan mad’u sudah saling mengenali.


Namun, segala-galanya terpulang kepada bagaimana ia digunakan dan persiapan yang diatur bagi menangani segala kekurangan yang mungkin berlaku.


Dakwah di Alam Maya: Cabaran Buat Para Da’i

Realitinya, hasil penelitian melalui laman alexa.com menunjukkan tiada satu pun laman web berbentuk dakwah atau elemen Islam yang tersenarai dalam 100 laman web popular di Malaysia. Hanya lima laman web disenaraikan paling popular di Malaysia ialah iluvislam.com (kedudukan 373 di Malaysia), islam.gov.my (1,270), zaharuddin.net (1,254), saifulislam.com (1,386) dan halaqah.net (2,706). Malah, laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya dipuji kerana ia satu-satunya laman web di Malaysia, malah di dunia yang beroperasi dalam empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Cina.[8]

Sewajarnya ia menjadi satu cabaran buat para da’i alam maya untuk menetapkan satu sasaran yang bersifat realistic melalui kajian yang menyeluruh terhadap permintaan pasaran dakwah, serta berusaha memenuhi permintaan jiwa-jiwa yang mendambakan pengisian yang berkualiti dan membina keimanan serta jati diri manusia.


Tiada langkah kedua andai tiada langkah pertama.


Keyakinan bahawa permintaan terhadap bahan-bahan bacaan berkualiti di alam maya akan meningkat dari masa ke semasa dalam keadaan peningkatan bahan bacaan haprak turut sama meningkat menjadikan tanggungjawab da’i semakin mencabar. Justeru membiarkan kebatilan menjuarai perlawan antara yang dan batil sebelum ‘pertarungan’ dimulakan adalah satu kecuaian oleh para du’at yang mesti dielakkan. Ini kerana janji Allah, kebenaran pasti akan menang dan kebatilan pasti akan kalah adalah suatu janji yang benar dariNya.[9] Maka usahakanlah sesuatu yang termampu dalam ruangan ini untuk bersama dinobatkan sebagai juara bersama kebenaran. Bukankah ia tersangat indah untuk dinantikan detik masanya?


Blog: Masuklah Ke Gelanggang Wahai Para Du’at

Besar atau kecil sesuatu gelanggang bukan penentu menang atau kalah seorang pelawan. Pelawan yang bijak menguasai gelanggang sebenarnya adalah calon utama untuk memenangi sesuatu perlawanan.

Beberapa laman web dakwah yang tersenarai sebagai laman web paling popular di Malaysia adalah bermula dari laman blog, kemudia berpindah ke laman web sebenar. Ia sebagai latihan asas kepada para du’at laman maya untuk mencorak langkah ke arah mewujudkan laman dakwah lebih hebat. Ia suatu laman yang percuma, siap tersedia (template ready), mudah diselenggara, dan sudah menempa tempat di persada antarabangsa. Andai ia diurus dengan terbaik, ia mampu menyaingi laman web yang menggunakan alamat-alamat domain yang berbayar. Bagi mereka yang memiliki keupayaan untuk menulis skrip java bagi membina sesuatu aplikasi atau template,ia pasti memberi lebih kelebihan berbanding menggunakan template yang sedia.


Bagi mereka yang tidak ada pengetahuan tentangnya (blog), ia bukanlah suatu masalah. Banyak maklumat cara pembinaan laman blog ini boleh dicari dan dicapai secara percuma. Bagi mereka yang berkemampuan turut berpeluang mengikuti kursus-kursus pembinaan laman blog secara berbayar atau secara percuma. Pendek kata, blog adalah antara pilihan terbaik bagi du’at alam maya yang baru berjinak-jinak dengan dunia tanpa sempadan ini.


Sebelum Melangkah ke Dalam Blog: Pertimbangkan..

Namun sebelum melangkah lebih jauh ke alam blog, beberapa perkara hendaklah dijadikan pertimbangan supaya tidak berlaku pembaziran dalam mengendalikan ruang maya dakwah dalam bentuk ini.


Pertama: Tentukan jenis blog yang ingin dibangunkan seperti adakah ia bersifat peribadi atau umum, atau adakah ia penulisan umum (bercampur-campur bahan penulisannya) atau sesuatu yang akan diadakan kelas-kelas bahan penulisan. Ini kerana penentuan jenis penulisan akan membantu menetapkan nama yang bersesuaian bagi laman blog yang dibangunkan di samping penggunaan template yang bersesuaian atau kemasukan aplikasi yang relevan dengan isi kandungan blog. Blog dakwah tidak wajar dijadikan sebagai “blog syok sendiri”.


Kedua: Tentukan kecenderungan atau minat dalam sesuatu topik perbincangan supaya minat untuk menulis sentiasa ada dan nafas penulisan menjadi panjang. Kesan dari kesilapan memilih topik penulisan akan menghilangkan semangat untuk menulis. Ia turut member kesan lesu kepada laman blog seperti rumah yang tidak berpenghuni. Ia juga mengelakkan pembaziran tenaga du’at yang sewajarnya dimanfaatkan kesemua cabang perbincangan dalam syariat. Ia berlaku akibat dari pengulangan yang tidak diperlukan bagi sesuatu topik yang dihidangkan. Namun percambahan idea bagi suatu topik atau isu yang dibangkitkan adalah suatu yang digalakkan.


Ketiga: Tentukan kumpulan sasar atau peminat supaya bahasa yang digunakan secocok dengan suatu tajuk yang dipilih. Ia juga membantu membina jaringan blogger yang akan membantu mempromosi laman yang dibangunkan bagi mendapatkan ‘crowd’ yang tinggi.


Keempat: Pastikan kebenaran dan kejujuran menjadi asas kepada dakwah yang ingin di sampaikan. Kesan penulisan terhadap masyarakat dilihat lebih besar dari percakapan sama ada dari segi positif atau negatif andai dilihat dari panjang tempoh kekal sesuatu bahan penulisan berbanding percakapan yang mungkin dilupakan untuk suatu tempoh masa. Andai penulisan itu benar dan baik, ia memberi faedah yang besar dan lama. Namun andainya terdapat kesilapan dan kesalahan, dan ia diulang cetak di tempat-tempat atau laman-laman lain oleh mereka yang tidak menapis sesuatu maklumat ketika memindahkannya, bagaimanakah ia dapat diperbetulkan secara menyeluruh?


Kelima: Kuasai disiplin penulisan bahan dakwah semampu yang boleh kerana blog dakwah bukan seperti blog peribadi yang tidak mewajibkan suatu penulisan itu berdisiplin. Ia bermula dari penguasaan ilmu-ilmu Islam yang menjadi isi kepada dakwah yang akan dilangsungkan. Kefahaman yang benar akan memudahkan penyampaian idea kepada kumpulan sasar dari kalangan penjenguk blog.


KESIMPULANNYA

Dakwah Islamiah adalah bersifat fleksible dari segi kaedah atau cara dakwahnya. Sebarang peluang yang tersedia, menepati syariat, tidak wajar disia-siakan. Tanggungjawab para du’at adalah menunaikan tanggungjawab dakwah ini, manakala keputusannya biar Allah yang menentukan. Yakinlah bahawa Dia (Allah) tetap benar pada janjinya di mana antara firmanNya:


Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik.[10]

Wallahu a’lam



[1] Ali-Imran: 104.

[2] Hadith riwayat al-Bukhari no. 3461, Bab Apa yang diperkatakan tentang Bani Israil.

[3] Fussilat: 33

[4] Hadith riwayat al-Bukhari no. 2942 dan Muslim no. 2406, daripada Sahl bin Sa’ad

[5] Hadith riwayat Muslim no. 2674, Bab Siapa Yang Menunjukkan Jalan Kebaikan dan Kejahatan, dan Siapa Yang Menyeru Kepada Petunjuk dan Kesesatan.

[6] Rukun-rukun dakwah seperti yang dibicarakan oleh Dr Abd Karim Zaidan dalam kitabnya; Usul al-Dakwah iaitu: Isi kandungan atau silibus dakwah (maudhu’ al-Dakwah), Pendakwah(Da’ie), yang disampaikan dakwah kepadanya (mad’u), dan pendekatan-pendekatan dakwah (wasail al-Dakwah ). Lihat Abdul Karim Zaidan, Ushul al-Dakwah, m.s 1.

[7] Lihat al-Nahl: 125

[8] Najahudin Lateh, Keupayaan Berdakwah Secara Maya Masih Terhad, Berita Harian pada 24 Ogos 2011 (Rabu).

[9] Lihat al-Isra’: 81

[10] al-Kahfi: 30

Peranan Imam dan Muazzin Dalam Masyarakat


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين. أما بعد.

Pendahuluan

Masjid merupakan sebuah institusi kemasyarakatan yang penting dalam Islam. Ia telah dijadikan sebagai pusat aktiviti masyarakat melibatkan seluruh lapisan masyarakat semenjak dari zaman Nabi Muhammad . Penting kewujudannya dalam masyarakat telah ditonjolkan oleh baginda dengan menjadikannya binaan pertama yang dibina semasa baginda tiba dari Mekah dalam perjalanan hijrah ke Madinah, sebelum dari baginda membina rumah untuk dirinya mahu pun untuk keluarganya. Bahkan bukan sekadar sebuah, ia disusuli dengan binaan kedua dalam jarak sekitar 8 kilometer sebaik sahaja baginda tiba di Kota Madinah. Sejarah ini jelas memperlihatkan kepentingan masjid sebagai sebuah insitusi yang berperanan melonjakkan tahap sesebuah masyarakat kerana peranan yang dimainkan olehnya.

Namun, bangunan hanya sekadar akan menjadi bangunan sekiranya tiada pengisian yang dimanfaatkan dengan kewujudan. Andainya binaan tersebut tidak dimanfaatkan dengan sebetul, kalau pun ianya terpacak sebagai sebuah binaan, roh dan tarikannya menjadi tiada lagi serinya. Rasulullah setelah membina dua buah masjid seperti yang dibicarakan sebelum ini telah memanfaatkan sepenuhnya pembinaan tersebut. Di situlah baginda menghimpunkan manusia atas tujuan ibadah, mengeratkan silaturrahim, menerima kunjungan tetamu dari luar mahu pun dalam, tempat membentuk perancangan pentadbiran mahu pun ketenteraan, pusat penyebaran ilmu dan bahkan boleh dikatakan di situlah terletaknya nadi masyarakat Kota Madinah dari dulu sehingga sekarang.

Jelasnya peranan penggerak bagi insititusi agung ini memainkan peranan yang penting ke arah merubah persepsi bahawa ia bukan sekadar berperanan sebagai pusat ritual keagamaan seperti rumah-rumah ibadat agama lain, tetapi ia sebenarnya seumpama sebuah universiti yang akan merubah corak berfikir masyarakat dalam masa yang sama mampu untuk mengeluarkan produk-produk Rabbani yang produktif dan berdaya tinggi untuk Ad-Deen yang tinggi ini.

Justeru, antara penggerak utama yang dilihat sangat sinonim dengan insitusi ini tidak lain tidak bukan adalah para imam dan muazzin yang sentiasa bersama dengan masyarakat saban hari. Kelebihan yang dimiliki dari segi kepercayaan masyarakat di samping penghormatan yang dihulurkan sewajarnya digunakan ke arah memperkasa insitusi yang hebat ini.

Kelebihan Imam dan Muazzin.

Sesungguhnya imam dan muezzin memiliki kedudukan yang tinggi dalam masyarakat muslim. Kelebihan mereka bukan sekadar satu bualan kosong yang bertujuan untuk mengambil hati mereka seperti sebahagian manusia yang lain. Namun kelebihan mereka jelas disebut dalam hadith-hadith nabi .

Antaranya kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada imam dan muezzin ialah ganjaran pahala yang sangat besar.

Antaranya sabda baginda :

((لو يعلمُ الناسُ ما في النداء والصف الأول ثم لم يجدوا إلا أن يستهموا عليه لاستهموا، ولو يعلمون ما في التهجير لاستبقوا إليه، ولو يعلمون ما في العتمة والصبح لأتوهما ولو حبوًا))([1]).

Daripada Abi Hurairah sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Sekiranya manusia mengetahui apa yang terdapat (kelebihan) pada azan dan saf yang pertama kemudian mereka tidak mendapat (peluang ) melainkan dengan cara mencabut undi nescaya mereka akan mencabut undi, dak sekiranya mereka mengetahui tentang (kelebihan) hadir awal bagi mengerjakan solat nescaya mereka akan berlumba-lumba kepadanya, dan sekiranya mereka mengetahui apa yang ada (kelebihan) solat isyak dan subuh nescaya mereka akan datang walau pun dalam keadaan merangkak.

Dalam sabda baginda yang lain:

عن البراء بن عازب – رضي الله عنه – أن نبي الله صلى الله عليه وسلم قال: ((إن الله وملائكته يصلون على الصف المقدَّم، والمؤذنُ يغفرُ له مدَّ صوته، ويصدقه من سمعه من رطبٍ ويابسٍ وله مثلُ أجر من صلى معه))([2]).

Daripada al-Barraa’ bin ‘Azib sesungguhnya Nabi telah bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya akan berselawat ke atas saf terkehadapan, dan muazzin diampunkan bagi sepanjang suaranya dialunkan, dan akan membenarkannya sesiapa yang mendengarnya daripada kalangan (makhluk) yang lembab mahu pun kering dan baginya ganjaran yang sama seperti sesiapa yang telah solat bersamanya”.

Imam pula turut memiliki kelebihan yang besar. Ia seperti sabda baginda :

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((الإمام ضامنٌ والمؤذن مؤتمن، اللهم أرشد الأئمة واغفر للمؤذنين))([3]).

Daripada Abi Hurairah telah berkata: “Telah bersabda Rasulullah : Imam itu penjaga, dan muazzin itu pemelihara amanah. Ya Allah berikanlah petunjuk (kepada) imam dan kurniakanlah keampunan bagi para muazzin”.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan imam dan muazzin yang telah dinyatakan oleh Nabi namun memadai dengan apa yang telah diungkapkan dalam kertas kerja yang ringkas ini sebagai bukti bahawa sesungguhnya para imam dan muazzin memiliki kedudukan yang mulia bukan sahaja di sisi masyarakat bahkan di sisi Allah dan Rasulnya.

Peranan dan Tanggungjawab Imam dan Muazzin.

Setelah diketahui kelebihan dan kemulian para imam dan muazzin, maka selayaknya kemuliaan dan kelebihan yang dimiliki oleh seseorang dimanfaatkan ke arah mencapai tujuan sesuatu kelebihan dan kemuliaan itu dikurniakan kerana kebiasaannya kelebihan dan kemuliaan itu disertai dengan tanggungjawab dan tugas yang mengiringinya. Ia menuntut kepada pengorbanan mereka sama terhadap diri sendiri mahu pun kepada masyarakat umum.

Peranan para imam begitu juga dengan para muazzin pada zaman Rasulullah begitu juga dengan abad-abad kecemerlangan ummah satu ketika dahulu sangatlah menonjol. Mereka bukan sahaja sebagai pengisi aktiviti masjid, bahkan mereka juga berperanan sebagai penggerak masyarakat. Kata-kata mereka dihormati dan seruan mereka didengari.

Namun, dengan berlalunya masa, peranan mereka semakin hari dipandang semakin kecil meski pun beban tanggungjawab mereka asalnya adalah terlalu berat. Sebahagian masyarakat hanya memandang tugasan mereka berlegar sekitar solat jamaah, penggerak sambutan-sambutan keagamaan, penyelesai urusan nikah kahwin, pengurus urusan kematian dan pelbagai urusan yang terhad kepada kelompok-kelompok kecil dalam masyarakat meski pun tidak dinafikan kepentingannya.

Ini merupakan sebahagian daripada realiti yang berat untuk diperbincangkan. Namun dalam ruangan yang terhad ini, penulis berusaha untuk berkongsi semampunya ke arah membuka perbincangan yang luas di hadapan para imam dan muazzin yang jauh lebih berpengalaman daripada penulis.

Umumnya mana-mana manusia mempunyai sekurang-kurangnya tiga jenis perhubungan, iaitu dengan Allah, manusia, dan makhluk yang selain manusia.

Setiap kelompok perhubungan ini adanya pertanggungjawaban khusus dari seorang individu kepada individu mahu pun kelompok yang diadakan perhubungan dan dalam konteks hubungan dengan Allah, pasti ianya melibatkan perhubungan antara seorang makhluk dan Tuhannya di mana itu merupakan asas kepada sebarang perhubungan yang lain.

Atas dasar ini, saya berpandangan bahawa tanggungjawab imam dan muazzin dapat dibentuk dan digarap sesuai dengan tuntutan ketiga-tiga jenis perhubungan ini.

Imam dan muazzin bertanggungjawab bagi menjana diri dan masyarakat ke arah mentaati Allah dan RasulNya . Segala usaha dan ikhtiar hendaklah diambil bagi menyempurnakan tangggungjawab ini.

Begitu juga dengan baki dua jenis perhubungan yang lain juga menuntut komitmen yang sama kerana itu juga menjadi sebahagian tanggungjawab seseorang individu. Dalam konteks seorang imam dan muazzin pastinya tanggungjawab itu lebih daripada tanggungjawab sebagai seorang individu terhadap dirinya, bahkan ia melangkaui tanggungjawab terhadap masyarakat yang dipertanggungjawabkan terhadap dirinya.

Kesimpulannya; pada saat ini imam dan muazzin bukan sahaja berperanan sebagai ketua atau pemimpin dalam komuniti masyarakat muslim, tetapi mereka lebih bertindak sebagai pemudah cara (fasilitator) atau pembimbing ke arah mencapai matlamat yang telah diunjurkan bagi mengembalikan fungsi masjid seperti mana yang pernah diwujudkan pada zaman Rasulullah .

Mereka akan dilihat lebih mesra kepada segenap lapisan masyarakat, serta turun mendekati segenap golongan masyarakat yang baik mahu pun yang kurang baik.

Memahami keperluan masyarakat dalam beragama dan bermasyarakat dalam kehidupan mereka akan mampu dilaksanakan da diterjemahkan dengan baik serta disalurkan melalui aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dan bertepatan dengan tuntutan syarak sehingga menjadikan ruang antara masyarakat dan kehidupan beragama itu dapat dirapatkan. Inilah sebenarnya usaha ke arah menghakis peninggalan penjajah yang memisahkan antara kehidupan beragama dan kehidupan bermasayarakat. Hakikatnya, kehidupan dan agama itu sama sekali tidak boleh dipisahkan ibarat roh dan jasad.

Inilah rangka awal ke arah membuka ruang aktiviti di masjid seterusnya mengembalikan reputasi institusi masjid di tengah-tengah masyarakat.

Penulis secara khusus tidak menyentuh tentang aspek pemantapan para imam dan muazzin dari segi individu seperti pembinaan diri atau syakhsiah, kemahiran dalam urusan al-Deen, keilmuan mahu pun kemasyarakatan sememangnya satu tuntutan semasa. Penulis meyakini ianya sesuatu yang sentiasa diambil perhatian oleh sekali imam dan muazzin.

Cabaran dan Cadangan

Dalam masa yang sama tidak dinafikan, bukan semua masjid memiliki kemampuan dan keupayaan yang sama, sama ada dari sudut tenaga, kepakaran, kewangan, dan lain-lain.

Namun ianya dirasakan mampu diatasi dengan perkongsian dari beberapa buah masjid berdekatan. Semangat ke arah menjadikan masjid sebuah insitusi yang hebat diharap tidak menjadi agenda individu atau personal, sama ada ia bersifat individu yang bernama manusia atau organisasi yang hanya berusaha untuk menonjolkan organisasinya.

Sebaliknya ia harus digarap secara bersama. Pembaziran yang mungkin berlalu pada sebahagian aktiviti sama ada dari segi masa, wang, bahkan dari sudut pengisian kepada masyarakat dapat dielakkan dengan diadakan pakatan dari beberapa buah masjid berdekat. Ia boleh dimulakan dengan diadakan pertemuan yang boleh diterjemahkan atas nama sekali pun (usrah, halaqah, liqa’) di mana pengisian dalamnya adalah ke arah meningkatkan syakhsiah mahu pun kemahiran imam dan muazzin, berkongsi permasalahan dan penyelasaian, merangka gerak kerja bersama dalam menangani isu-isu masyarakat setempat mahu pun memberikan pengisian yang bersifat meluas.

Daripada usaha sebegini diharap, pembaziran yang diakibatkan dari ketidakselarasan atau keseragaman tindakan dari peranan yang dimainkan oleh imam dan muazzin dalam dikurangkan. Masyarakat akan dilhat lebih bersepakat, dan jurang antara masjid-masjid sendiri dapat diselesaikan sebelum jurang antara masyarakat dengan masjid-masjid didekatkan.

PENUTUP

Semoga masjid-masjid mahu pun sebarang institusi yang berkaitan peranannya akan kembali gemilang dengan mantapnya para imam dan muazzin.

Sesungguhnya ini merupakan sebuah kertas kerja yang sangat kecil isi mahu pun kepentingannya. Namun diharapkan yang kecil ini dapat dibesarkan oeh tuan-tuan yang sememangnya memiliki kemuliaan dan kedudukan yang besar.

Segala kekurangan dan salah silap harap dimaafi. Marilah kita bersama-sama berusaha ke arah mengembalikan keizzahan agamanya antaranya menerusi pengembalian fungsi masjid (atau surau) dengan peranan yang dimainkan oleh tuan-tuan sekalian.

أقول قول هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.



([1]) متفق عليه: البخاري، كتاب الأذان، باب الاستهام في الأذان، برقم 615، ومسلم، كتاب الصلاة، باب تسوية الصفوف وإقامتها، برقم 437.

([2]) النسائي، كتاب الأذان، باب رفع الصوت بالأذان 2/ 13، برقم 646، وأحمد، 4/ 284، وقال المنذري في الترغيب والترهيب 1/ 243: ((رواه أحمد والنسائي بإسناد حسن جيد ))، وصححه الألباني في صحيح الترغيب والترهيب، 1/ 99.

([3]) أبو داود، كتاب الصلاة، باب ما يجب على المؤذن من تعاهد الوقت، 1/ 143، برقم 517، والترمذي، كتاب الصلاة، باب ما جاء أن الإمام ضامن والمؤذن مؤتمن، 1/ 402، وابن خزيمة برقم 528، وصححه الألباني في صحيح الترغيب والترهيب، 1/ 100، وله شاهد من حديث عائشة رضي الله عنها عند ابن حبان بسند صحيح، برقم 1669.