Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

DAKWAH DI ALAM MAYA: BLOG SEBAGAI WADAH DAKWAH

Dakwah pada asalnya bukan bicara lisan semata-mata, tetapi ia adalah satu gerak kerja yang tersusun hasil dari tuntutan yang telah ditujukan kepada orang-orang beriman untuk melaksanakannya dalam menyeru manusia supaya menyembah akan Allah dan mentaati segala suruhan atau menjauhi laranganNya. Tuntutan itu berlaku sama ada pada peringkat individu atau berkumpulan. Namun tidaklah bererti menggunakan pendekatan komunikasi mulut itu bukan satu dari pendekatan dakwah, namun ia lebih luas dan tidak terbatas kepada pendekatan-pendekatannya yang bersifat konvensional, bahkan sebarang cara atau kaedah yang digunakan selagi ia tidak bertentangan dengan syariat adalah diharuskan.


Namun sebelum melangkah lebih jauh ke arah membicarakan perkara ini, maka suka saya utarakan bicara pemilik kalam yang menurunkan al-Deen ini kepada kita berkenaan dengan tuntutan dakwah supaya kita merasai tuntutan itu pada setiap denyut nadi kita yang bergerak.


Tuntutan Dakwah

Firman Allah al-Rahman al-Rahim:


Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.[1]


Sabda Rasulullah:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat, ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya) dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka.[2]


Tuntutan untuk berdakwah ini meliputi setiap lapisan masyarakat menurut kemampuan masing-masing. Kisah bagaimana cucunda Baginda yang menunjukkan jalan mengambil wudhu’ yang betul dengan cara yang berhikmah jelas memberi gambaran dakwah itu boleh dilakukan oleh siapa sahaja pada kadar kemampuannya. Ia tidak dilihat kepada banyaknya output yang disebarkan semata-mata, namun yang lebih penting adalah kualitinya meski pun hanya satu kalimah yang benar dan bermanfaat. Manakala kualitinya itu bukan bersandarkan kepada kesukaan masyarakat mendengar sesuatu bicara yang menjadi halwa telinga semata-mata bahkan kewajipan yang utama ialah memberikannya atas disiplin ilmu yang benar lagi jujur.


Kelebihan Berdakwah

Firman Allah U:


Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?[3]


Begitu juga bicara kekasihNya yang menjadi Nabi akhir zaman dengan pesannya kepada Saidina Ali :

فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِىَ اللَّهُ بِكَ الرَّجُلَ الْوَاحِدَ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

“Demi Allah, sungguh satu orang saja diberi petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik dari unta merah.”[4]


Mereka yang merebut peluang untuk menjadikan lidah mereka serta anggota tubuh yang lain dalam kondisi yang terbaik ini (berdakwah) sebenar sedang menanam saham untuk akhirat. Setiap suluhan yang diberi kepada insan-insan yang berada dalam kegelapan akan menjadi suluhan buat dirinya jua. Kebaikan yang diperolehi oleh insan yang diserunya sama ada untuk hidup dunia atau akhirat, maka penyerunya juga beroleh ganjaran yang serupa. Ia janji yang dituturkan oleh lidah yang tidak pernah berdusta:


عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مِنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ ٰلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا ، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ أَثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ ٰلِكَ مِنْ أَثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa sesungguhnya Rasulullah r bersabda: “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk (hidayah), maka baginya ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun, dan barangsiapa yang mengajak kepada dhalalah (kesesatan), maka (dibebankan) ke atasnya dosa sama seperti dosa orang yang megikutinya dengan tidak dikurangi sedikitpun”.[5]


Ganjaran yang diperolehi oleh mereka adalah berterusan selama yang menerima petunjuk dengan sebab mereka meneruskan kebaikan yang diterima seruannya, tidak berkurang walau pun sedikit dari mereka yang mengerjakan kebaikan tersebut. Alangkah beruntungnya si penyeru kebaikan!


Kaedah Dakwah Satu Rukun Yang Mesti Perhalusi

Bicara mukaddimah kertas ini sebenarnya menyentuh tentang tiga rukun dakwah[6] secara tidak langsung dalam masa yang terbatas kerana yang difokuskan pada bicara kali ini adalah berkenaan kaedah dakwah yang mewarnai perjalanan seruan kepada Allah dalam era ini.

Meski pun kaedah-kaedah dakwah adalah sesuatu yang bersifat terbuka (tidak terikat dengan sebarang bentuk khusus) melainkan andai ianya bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri. Namun umumnya sebarang pendekatan atau kaedah yang diambil sama ada secara langsung dari sumber kandungan dakwah itu sendiri (al-Quran dan al-Sunnah), atau melalui sirah al-Salaf al-Soleh, atau istinbat-istinbat fuqahak, atau pengalaman du’at yang pernah melaluinya adalah dibenarkan untuk diguna pakai dalam menyampaikan seruan ke jalan Allah.


Kepelbagai cara dan kaedah ini memberi peluang kepada setiap individu untuk menggunakan mana-mana kaedah yang difahaminya bagi memudahkan seruan sampai ke golongan sasar. Namun, mendahulukan berpegang dengan kaedah dari sumber yang benar (al-Quran, al-Sunnah, al-Salaf al-Soleh) dapat menjamin kejayaan dakwah yang akan dijalankan. Dalam masa yang sama, ia tidak bermaksud menolak sebarang kaedah lain yang diizinkan oleh syarak.

Memperhalusi cara atau kaedah berdakwah sebenarnya adalah hasil dari didikan hikmah yang turut sama dituntut oleh syarak secara subjektif.[7] Kebijaksanaan dalam menyampaikan seruan dakwah adalah pra syarat kejayaan yang ingin dicapai walau pun hakikat sesuatu kejayaan itu sebenarnya adalah milik Allah Y, manakala kita hanya dititahkan untuk melaksanakan tanggungjawab ini.


Dakwah di Alaf 21.

Apabila kita membicarakan tentang cara atau kaedah dakwah, maka antara yang mendasari segala cara dan kaedah ini ialah keperluan untuk mengenali golongan sasar serta menggunakan pendekatan yang paling bersesuaian dengan mereka. Oleh kerana itu Saidina Ali memperingatkan kepada kita seperti mana yang dinukilkan oleh al-Bukhari sahihnya:

حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ

“Bicaralah kamu semua dengan manusia atas apa yang mereka ketahui, adakah kamu suka Allah dan RasulNya didustai?

Melihat kepada masyarakat pada alaf ini, melalui perkembangan teknologi membuka ruang dakwah yang lebih luas. Pelbagai medium dakwah dapat dipergunakan hasil gabungan idea konvensional dan kontemporari. Alat media yang pelbagai memudahkan tugasan dakwah dilaksanakan. Media cetak, elektronik jelas memainkan peranan penting dalam dakwah pada alaf ini. Ia tidak dilihat kepada kesannya (dakwah diterima) secara umum, tetapi secara praktikalnya, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan teknologi yang wujud pada hari ini amat-amat membantu dalam menyebarkan Islam yang mulia ini.

Oleh kerana itu, fokus perbincangan dalam kertas ini mengajak semua pembaca untuk menilai kesan dari fenomena lambakan teknologi komunikasi ini yang menjadi medium perantara dakwah antara da’ie dan mad’u. Bahkan secara khusus kita akan membicarakan dakwah yang berlegar di alam maya kesan dari penggunaan teknologi yang ada pada hari ini.


Dakwah di Alam Maya

Amali dakwah boleh diumpamakan seperti strategi pemasaran yang diamalkan oleh para usahawan atau peniaga. Kejayaan sesuatu produk menembusi pasaran yang luas atau sempit dikatakan banyak bergantung kepada strategi pemasaran. Bahkan dalam keadaan tertentu, sesuatu produk yang baik boleh menemui kegagalan akibat dari kesilapan strategi pemasaran. Begitu juga sebaliknya.

Namun apa yang pasti, Islam adalah satu ‘produk’ yang terbaik. Ia sudah mendapat jaminan kualiti dari ‘entiti’ yang paling agung. Keabsahannya tidak dapat dipertikaikan bukan sahaja untuk sesuatu tempoh, bahkan sehingga ke hari kiamat.

Namun, apabila berdepan dengan bakal ‘pembelinya’, terkadang ia tetap tidak mampu menarik perhatian, bahkan terkadang disebabkan kesilapan ‘pegawai pemasaran’, pembeli bukan merapati bahkan menjauhi.

Keadaan yang digambarkan ini bukanlah bermaksud reality keseluruhan kepada usaha dakwah yang dijalankan di alaf ini. Namun sebahagiannya yang terjadi sebegini rupa sudah memberi kesan yang besar terhadap keseluruhan perjalanan dakwah.

Dalam masa yang sama, ia bukan bertujuan melemahkan semangat pekerja-pekerja dakwah, sebaliknya ia adalah suatu penilaian umum sebelum seseorang melangkah ke medan dakwah.


Dakwah di Alam Maya: Inovasi Dakwah Alaf 21

Peningkatan pengguna internet dari tahun ke tahun memperlihatkan perubahan ketara gaya hidup masyarakat di alaf ini. Ia dapat dilihat dari statistik yang dikeluarkan oleh The World FactBook pada tahun 2006, seramai lebih kurang 11,300,000 (46.3%) penduduk Malaysia dan 1 million (15.8%) penduduk dunia menggunakan internet dalam kehidupan seharian. Manakala pada tahun 2008, hasil kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015. Kajian itu juga memberikan dapatannya yang menyatakan bahawa kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu. Ini bermakna keberadaan lebih dari separuh penduduk Malaysia di alam maya memberi erti ruang yang terbuka itu harus diisi dengan sesuatu yang bermanfaat atau ia akan diisi dengan perkara-perkara yang lain. Ia ditambah pula dengan generasi muda yang menjadikan ia sebagai budaya hidup mereka dengan kemunculan gajet-gajet terkini.


Dakwah yang menjadi tuntutan syariat wajar dilestarikan menerusi sebarang medium yang ada. Sudah pasti, alam maya adalah satu ruang yang mesti dipergunakan dengan sebaiknya.


Ia menawarkan satu peluang dakwah yang sangat tinggi pulangannya di sebabkan ia telah menjadi budaya dalam masyarakat. Ruangan tersebut pula tiada had atau sekatan seperti yang di hadapi di persempadanan dunia ini. Ia juga memberikan peluang yang adil untuk sesuatu fakta itu dinilai tanpa sebarang tekanan untuk menerimanya. Ia seakan-akan suatu tanah yang kondusif bagi sesiapa sahaja menaburkan benih-benih tanaman yang baik untuk tumbuh dan dipetik oleh sesiapa sahaja.


Dakwah di Alam Maya: Positif vs Negatif

Meski pun begitu, kita tidak dapat menolak beberapa kekurangan yang mungkin berlaku dalam proses dakwah tersebut. Antaranya ialah ia adalah komunikasi sebegini mungkin akan mewujudkan interpretasi yang berbeza. Satu ayat yang diungkapkan dengan mulut lebih mudah untuk menilai maknanya dengan intonasi yang digunakan bagi menggambarkan emosi tatkala ia diungkapkan. Namun bicara alam maya ayat yang tenang boleh menimbulkan gelora yang tak tersangka akibat dari pemahaman kalimah-kalimah yang tidak diketahu ‘emosinya’.


Sesetengah media maya tidak bersifat dua hala dalam masa yang segera seperti komunikasi lisan ke telinga. Apabila berlaku ketidakfahaman terhadap suatu idea yang dilontarkan, ia memerlukan masa untuk diperjelaskan atau diperbetulkan melainkan seandainya da’i dan mad’u sudah saling mengenali.


Namun, segala-galanya terpulang kepada bagaimana ia digunakan dan persiapan yang diatur bagi menangani segala kekurangan yang mungkin berlaku.


Dakwah di Alam Maya: Cabaran Buat Para Da’i

Realitinya, hasil penelitian melalui laman alexa.com menunjukkan tiada satu pun laman web berbentuk dakwah atau elemen Islam yang tersenarai dalam 100 laman web popular di Malaysia. Hanya lima laman web disenaraikan paling popular di Malaysia ialah iluvislam.com (kedudukan 373 di Malaysia), islam.gov.my (1,270), zaharuddin.net (1,254), saifulislam.com (1,386) dan halaqah.net (2,706). Malah, laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya dipuji kerana ia satu-satunya laman web di Malaysia, malah di dunia yang beroperasi dalam empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Cina.[8]

Sewajarnya ia menjadi satu cabaran buat para da’i alam maya untuk menetapkan satu sasaran yang bersifat realistic melalui kajian yang menyeluruh terhadap permintaan pasaran dakwah, serta berusaha memenuhi permintaan jiwa-jiwa yang mendambakan pengisian yang berkualiti dan membina keimanan serta jati diri manusia.


Tiada langkah kedua andai tiada langkah pertama.


Keyakinan bahawa permintaan terhadap bahan-bahan bacaan berkualiti di alam maya akan meningkat dari masa ke semasa dalam keadaan peningkatan bahan bacaan haprak turut sama meningkat menjadikan tanggungjawab da’i semakin mencabar. Justeru membiarkan kebatilan menjuarai perlawan antara yang dan batil sebelum ‘pertarungan’ dimulakan adalah satu kecuaian oleh para du’at yang mesti dielakkan. Ini kerana janji Allah, kebenaran pasti akan menang dan kebatilan pasti akan kalah adalah suatu janji yang benar dariNya.[9] Maka usahakanlah sesuatu yang termampu dalam ruangan ini untuk bersama dinobatkan sebagai juara bersama kebenaran. Bukankah ia tersangat indah untuk dinantikan detik masanya?


Blog: Masuklah Ke Gelanggang Wahai Para Du’at

Besar atau kecil sesuatu gelanggang bukan penentu menang atau kalah seorang pelawan. Pelawan yang bijak menguasai gelanggang sebenarnya adalah calon utama untuk memenangi sesuatu perlawanan.

Beberapa laman web dakwah yang tersenarai sebagai laman web paling popular di Malaysia adalah bermula dari laman blog, kemudia berpindah ke laman web sebenar. Ia sebagai latihan asas kepada para du’at laman maya untuk mencorak langkah ke arah mewujudkan laman dakwah lebih hebat. Ia suatu laman yang percuma, siap tersedia (template ready), mudah diselenggara, dan sudah menempa tempat di persada antarabangsa. Andai ia diurus dengan terbaik, ia mampu menyaingi laman web yang menggunakan alamat-alamat domain yang berbayar. Bagi mereka yang memiliki keupayaan untuk menulis skrip java bagi membina sesuatu aplikasi atau template,ia pasti memberi lebih kelebihan berbanding menggunakan template yang sedia.


Bagi mereka yang tidak ada pengetahuan tentangnya (blog), ia bukanlah suatu masalah. Banyak maklumat cara pembinaan laman blog ini boleh dicari dan dicapai secara percuma. Bagi mereka yang berkemampuan turut berpeluang mengikuti kursus-kursus pembinaan laman blog secara berbayar atau secara percuma. Pendek kata, blog adalah antara pilihan terbaik bagi du’at alam maya yang baru berjinak-jinak dengan dunia tanpa sempadan ini.


Sebelum Melangkah ke Dalam Blog: Pertimbangkan..

Namun sebelum melangkah lebih jauh ke alam blog, beberapa perkara hendaklah dijadikan pertimbangan supaya tidak berlaku pembaziran dalam mengendalikan ruang maya dakwah dalam bentuk ini.


Pertama: Tentukan jenis blog yang ingin dibangunkan seperti adakah ia bersifat peribadi atau umum, atau adakah ia penulisan umum (bercampur-campur bahan penulisannya) atau sesuatu yang akan diadakan kelas-kelas bahan penulisan. Ini kerana penentuan jenis penulisan akan membantu menetapkan nama yang bersesuaian bagi laman blog yang dibangunkan di samping penggunaan template yang bersesuaian atau kemasukan aplikasi yang relevan dengan isi kandungan blog. Blog dakwah tidak wajar dijadikan sebagai “blog syok sendiri”.


Kedua: Tentukan kecenderungan atau minat dalam sesuatu topik perbincangan supaya minat untuk menulis sentiasa ada dan nafas penulisan menjadi panjang. Kesan dari kesilapan memilih topik penulisan akan menghilangkan semangat untuk menulis. Ia turut member kesan lesu kepada laman blog seperti rumah yang tidak berpenghuni. Ia juga mengelakkan pembaziran tenaga du’at yang sewajarnya dimanfaatkan kesemua cabang perbincangan dalam syariat. Ia berlaku akibat dari pengulangan yang tidak diperlukan bagi sesuatu topik yang dihidangkan. Namun percambahan idea bagi suatu topik atau isu yang dibangkitkan adalah suatu yang digalakkan.


Ketiga: Tentukan kumpulan sasar atau peminat supaya bahasa yang digunakan secocok dengan suatu tajuk yang dipilih. Ia juga membantu membina jaringan blogger yang akan membantu mempromosi laman yang dibangunkan bagi mendapatkan ‘crowd’ yang tinggi.


Keempat: Pastikan kebenaran dan kejujuran menjadi asas kepada dakwah yang ingin di sampaikan. Kesan penulisan terhadap masyarakat dilihat lebih besar dari percakapan sama ada dari segi positif atau negatif andai dilihat dari panjang tempoh kekal sesuatu bahan penulisan berbanding percakapan yang mungkin dilupakan untuk suatu tempoh masa. Andai penulisan itu benar dan baik, ia memberi faedah yang besar dan lama. Namun andainya terdapat kesilapan dan kesalahan, dan ia diulang cetak di tempat-tempat atau laman-laman lain oleh mereka yang tidak menapis sesuatu maklumat ketika memindahkannya, bagaimanakah ia dapat diperbetulkan secara menyeluruh?


Kelima: Kuasai disiplin penulisan bahan dakwah semampu yang boleh kerana blog dakwah bukan seperti blog peribadi yang tidak mewajibkan suatu penulisan itu berdisiplin. Ia bermula dari penguasaan ilmu-ilmu Islam yang menjadi isi kepada dakwah yang akan dilangsungkan. Kefahaman yang benar akan memudahkan penyampaian idea kepada kumpulan sasar dari kalangan penjenguk blog.


KESIMPULANNYA

Dakwah Islamiah adalah bersifat fleksible dari segi kaedah atau cara dakwahnya. Sebarang peluang yang tersedia, menepati syariat, tidak wajar disia-siakan. Tanggungjawab para du’at adalah menunaikan tanggungjawab dakwah ini, manakala keputusannya biar Allah yang menentukan. Yakinlah bahawa Dia (Allah) tetap benar pada janjinya di mana antara firmanNya:


Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik.[10]

Wallahu a’lam



[1] Ali-Imran: 104.

[2] Hadith riwayat al-Bukhari no. 3461, Bab Apa yang diperkatakan tentang Bani Israil.

[3] Fussilat: 33

[4] Hadith riwayat al-Bukhari no. 2942 dan Muslim no. 2406, daripada Sahl bin Sa’ad

[5] Hadith riwayat Muslim no. 2674, Bab Siapa Yang Menunjukkan Jalan Kebaikan dan Kejahatan, dan Siapa Yang Menyeru Kepada Petunjuk dan Kesesatan.

[6] Rukun-rukun dakwah seperti yang dibicarakan oleh Dr Abd Karim Zaidan dalam kitabnya; Usul al-Dakwah iaitu: Isi kandungan atau silibus dakwah (maudhu’ al-Dakwah), Pendakwah(Da’ie), yang disampaikan dakwah kepadanya (mad’u), dan pendekatan-pendekatan dakwah (wasail al-Dakwah ). Lihat Abdul Karim Zaidan, Ushul al-Dakwah, m.s 1.

[7] Lihat al-Nahl: 125

[8] Najahudin Lateh, Keupayaan Berdakwah Secara Maya Masih Terhad, Berita Harian pada 24 Ogos 2011 (Rabu).

[9] Lihat al-Isra’: 81

[10] al-Kahfi: 30

No comments: