Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Roslan Aziz mohon maaf-http://roslanaziz.blogspot.com/



Roslan Aziz mohon maaf: "Roslan Aziz mohon maaf
Jimadie Shah Othman | Jun 19, 08 7:14pm
Komposer terkenal Roslan Aziz memohon maaf kepada ahli PAS kerana kenyataannya yang dianggap menghina parti itu berhubung tindakan Dewan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu, sempena 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu.

'Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu,' kata Roslan dalam blognya Roslan Aziz Production (http://roslanaziz.blogspot.com) semalam.

Kelmarin, Roslan menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan 'ego' golongan agama dan bermotifkan politik.

'Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci,' katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Pemuda PAS Selangor untuk mengadakan perhimpunan untuk membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.

Dalam permohonan maafnya itu, Roslan mengaku tidak berfikir panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebaliknya menggunakan emosi da"

Sejarah Al Quran dan Kelebihan Menghafaznya

SEJARAH AL QURAN DAN KEMULIAAN PENGHAFAZNYA

1) Penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran)

Dipetik dan disunting :

Dari tulisan Abuyusoef Hashim Othman al-Maranji & Ustaz Zahazan

Oleh :

Abu Raihanah Mohd Shamsul Hakim Abd Samad Al Banjari Al Madani

PENGENALAN

Al Quran telah diturunkan oleh Allah kepada RasulNya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam bersama khabar tugas kerasulan baginda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Mukjizat ini satu-satunya mukjizat para rasul yang kekal bersama ummatnya. Ia dijadikan panduan kepada kehidupan manusia dan jin dan rujukan utama di samping sunnah Rasulullah bermula dari zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan qat’i dan ditulis dihimpunkan dalam beberapa peringkat sehinggalah dibukukan serta diletakkan tanda-tanda sehinggalah tiba kepada kita hari ini. Adalah perlu bagi kita umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya bagi memahami dan menghayati isi kandungan dan hikmah ianya diturunkan. Penulisan ini akan mengemukakan satu perbincangan mengenai penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) salah satu aspek daripada pengajian ‘Ulum al-Quran’. Ilmu berkaitan Nuzul akan membicarakan mengenai cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya ayat-ayat al-Quran, masanya, awalnya dan akhirnya. Berdasarkan ilmu tersebut, Kita dapat mengetahui ayat-ayat Makkiyah Dan Madaniyyah Dan juga mengetahui asbab al-nuzul.


PENGERTIAN NUZUL AL-QURAN


Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (
نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

“Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22),

وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ

“Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3)

Dan banyak lagi ayat-ayat lain.

CARA AL-QURAN (WAHYU) DITURUNKAN


‘Aishah isteri Rasulullah s.a.w. Meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.

Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Baginda bagaimana wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab :

عن عائشة أم المؤمنين رضى الله عنها أن الحارث بن هشام رضى الله عنه سأل رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال يا رسول الله كيف يأتيك الوحى فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أحيانا يأتيني مثل صلصلة الجرس وهو أشده علي فيفصم عنى وقد وعيت ما قال الملك واحيانا يتمثل لى الملك رجلا فيعلمني فأعى ما يقول قالت عائشة رضى الله عنها ولقد رأيته ينزل عليه الوحى في اليوم الشديد البرد فيفصم عنه وأن جبينه ليتفصد عرقا - قال القعنبى فيكلمني - رواه البخاري في الصحيح

”Kadang-kadang wahyu datang kepada-ku dengan gema (desingan) loceng dan ini amat berat bagi-ku, dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-ku. Kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-ku merupai lelaki, bercakap dengan-ku dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-ku.”

PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN

Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus.

Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu :

1. Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;

2. Kali kedua, dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan

3. Kali ketiga, penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.

Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Melalui Jibril a.s.

1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.

Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 Dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi:


بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .

“(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)

2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia.

Penurunan kali kedua secara sekaligus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas; Allah berfirman :



شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah:185)

Firman Allah SWT,


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (ad-Dukhan:3)

Firman Allah SWT:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1)

Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia.

Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekaligus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”

3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah s.a.w. (dalam masa 20 malam).

Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah s.a.w. dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah al-Munawwarah.

Mengikut pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.

Kritikan terhadap Pandangan atau Pendapat di atas.

Mengenai pendapat pertama mengenai al-Quran diturunkan sekaligus dari Allah SWT ke al-Lauh Mahfuz tidak disokong oleh bukti yang jelas dan kukuh. Ayat dalam surah al-Buruj yang digunakan sebagai hujah tidak menunjukkan secara tersurat atau tersirat mengenai penurunan sekaligus. Para ulama hanya membuat tafsiran pada ayat ini. Maksud ayat ini menceritakan tentang al-Quran dipelihara daripada sebarang pencemaran. Ayat ini ditujukan kepada musuh-musuh Islam yang cuba menambah, mengurang atau mengubah ayat al-Quran tidak akan dapat berbuat demikian kerana ia akan tetap tulen dan selamat. Tafsiran ini disokong oleh para mufassir seperti Tabari, Baghawi, Razi dan Ibn Kathir.

Pendapat kedua tentang penurunan sekaligus ke Bait al-‘Izzah berpandukan kepada ayat 2, surah al-Baqarah dan ayat 1, surah al-Qadr tidak menyatakan secara jelas mengenai al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat tersebut. Kenyataan al-Quran ini merujuk kepada masa ia diturunkan dan tidak mengenai bagaimana atau cara ia diturunkan. Ulama tabiin yang terkenal ‘Amir al-Sha’abi mengatakan: “Sudah pasti penurunan al-Quran berlaku pada Malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadhan, dan terus turun dalam masa 23 tahun. Tidak ada Nuzul lain melainkan yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.”

Jumhur bersetuju yang ayat 1-5 daripada surah al-‘Alaq diturunkan di akhir Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah. Ketiga-tiga ayat yang dijadikan hujah di atas, tidak dinafikan, merujuk kepada ayat 1-15 surah al-‘Alaq. Cuma para ulama mentafsirkan ayat 185 surah al-Baqarah sebagai ‘keseluruhan al-Quran’. Para ulama, fuqaha, ahli hadith dan ahli tafsir semuanya bersetuju perkataan al-Quran merujuk kepada sebuah al-Quran atau sebahagian daripadanya. Malah ia dinyatakan dalam surah al-A’raf, ayat 204, Allah SWT berfirman:


وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

Mengenai riwayat Ibn ‘Abbas, ia merupakan pandangan beliau dan tidak ada dikaitkan dengan sebarang ucapan Rasulullah s.a.w. sebagai satu sumber menyokong pendapatnya. Suatu persoalan timbul mengapa perkara sepenting ini hanya disebut oleh Ibn ‘Abbas sedangkan di kalangan sahabat yang diiktiraf sebagai pakar al-Quran seperti ‘Abdullah Mas’ud, Ubayy bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Mu’az bin Jabal tidak membicarakan perkara Nuzul al-Quran yang diturun sekaligus ke Bait al-‘Izzah.


Al-Zarqani berpendapat tidak wajar untuk mempersoalkan atau tidak mempercayai Ibn ‘Abbas kerana beliau dikenali sebagai orang yang tidak ada kaitan dengan cerita-cerita israiliyat serta pendiriannya sebagai ‘sahabat’, oleh itu beliau tergolong di bawah ‘Hukm al-Marfu’ iaitu perkara yang ada hubungan dengan Rasulullah s.a.w.

Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada Rasulullah. Penulisan ini tidak akan terbabit dalam perbahasan ulama mengenai jumlah penurunan dan juga mengenai riwayat Ibn ‘Abbas bersandarkan kepada Rasulullah atau tidak. Penulis hanya menyampaikan adanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai jumlah Nuzul.

HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya.

Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.

Antara hikmat utama Allah SWT merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara beransur-ansur adalah seperti berikut :

1. Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya. Ini kerana dengan turunnya Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah s.a.w. Baginda dapat merasakan pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah berat dan Rasulullah sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.

2. Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.

3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan seumpamanya.

4. Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.

NAMA-NAMA AL QURAN:

Telah berkata Abu Al Ma’ali Uzaizi bin Abdil Malik dalam kitabnya Al Burhan : [ Ketahuilah sesungguhnya Allah telah menamakan Al Quran dengan 55 nama; dinamakannya :

كتاباً ومبيناً في قوله: حم آ والكتاب المبين. وقرآناً وكريماً في قوله: إنه لقرآن كريم. وكلاماً: حتى يسمع كلام الله. ونوراً: وأنزلنا إليكم نوراً مبيناً. وهدى ورحمة: هدى ورحمة للمؤمنين. وفرقاناً: نزل الفرقان على عبده. وشفاء: وتنزل من القرآن ما هوشفاء. وموعظة: قد جاءتكم موعظة من ربكم وشفاء لما في الصدور. وذكراً ومباركاً: وهذا ذكر مبارك أنزلناه. وعلياً: وإنه في أم الكتاب لدينا لعلي حكيم. وحكمة: حكمة بالغة. وحكيم: تلك آيات الكتاب الحكيم. ومهيمناً: مصدقاً لما بين يديه من الكتاب ومهيمناً عليه. وحبلاً: واعتصموا بحبل الله. وصراطاً مستقيماً: وأن هذا صراطي مستقيماً. وقيماً: قيما لينذر به. وقولاً وفصلاً: إنه لقول فصل. ونبأ عظيماً: عم يتساءلون عن النبأ العظيم. وأحسن الحديث ومثاني ومتشابهاً: الله نزل أحسن الحديث كتاباً متشابهاً مثاني. وتنزيلاً، وإنه لتنزيل رب العالمين. وروحاً: أوحينا إليك روحاً من أمرنا. ووحياً: إنما أنذركم بالوحي. وعربياً: قرآناً عربياً. وبصائر: هذا بصائر. وبياناً: هذا بيان للناس. وعلماً: من بعد ما جاءك من العلم. وحقاً: إن هذا لهوالقصص الحق. وهادياً: إن هذا القرآن يهدي. وعجباً: قرآناً عجباً. وتذكرة: وإنه لتذكرة. والعروة الوثقى: استمسك بالعروة الوثقى. وصدقاً: والذي جاء بالصدق. وعدلاً: وتمت كلمة ربك صدقاً وعدلاً. وأمراً: ذلك أمر الله أنزله إليكم، ومنادياً: ينادي لإيمان. وبشرى: هدى وبشرى. ومجيداً: بل هوقرآن جيد. وزبوراً: ولقد كتبنا في الزبور، وبشيراً ونذيراً: كتاب فصلت آياته قرآناً عربياً لقوم يعلمون بشيراً ونذيراً. وعزيزاً: وإنه لكتاب عزيز. وبالغاً: هذا بلاغ للناس. وقصصاً: أحسن القصص، وسماه أربعة أسماء في آية واحدة: في صحف مكرمة مرفوعة مطهرة انتهى.

AYAT PERTAMA DAN AKHIR DITURUNKAN

Ketinggian kedudukan al-Quran dan keagungan ajaran-ajarannya akan dapat merobah kehidupan manusia, menghubungkan langit dengan bumi, dan dunia dengan akhirat. Pengetahuan mengenai sejarah perundangan Islam daripada sumber utama iaitu al-Quran akan menggambarkan kepada kita mengenai pemeringkatan hukum dan penyesuaiannya dengan keadaan tempat hukum itu diturunkan yang memerlukan per­bahasan mengenai apa yang pertama dan terakhir diturunkan.


1. Yang Pertama Diturunkan

Terdapat empat pendapat mengenai apakah yang mula-mula diturunkan mengenai al-Quran :-

i) Jumhur (Pendapat yang paling rajih atau sahih) bersetuju iaitu yang pertama diturunkan ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq berdasarkan riwayat ‘Aisyah yang dicatatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Hakim dalam kitab-kitab hadith mereka. Aisyah r.a. menyatakan: “Sesungguhnya permulaan wahyu datang kepada Rasulullah s.a.w. melalui mimpi yang benar di waktu tidur. Mimpi itu jelas dan terang bagaikan terangnya pagi hari. Kemudian dia gemar menyendiri dan pergi ke gua Hira’ untuk beribadah beberapa malam dengan membawa bekal. Sesudah kehabisan bekal, beliau kembali kepada isterinya Khadijah r.a., maka Khadijah pun membekalinya seperti bekal terdahulu sehinggalah beliau didatangi dengan suatu kebenaran (wahyu) di gua Hira’ tersebut, apabila seorang malaikat (Jibril a.s.) datang kepadanya dan mengatakan: “Bacalah!” Rasulullah menceritakan, maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Malaikat tersebut kemudian memeluk-ku sehingga aku merasa sesak nafas, kemudian aku dilepaskannya sambil berkata lagi: “Bacalah!” Maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Lalu dia memeluk-ku sampai aku rasa sesak nafas dan dilepaskannya sambil berkata: “Bacalah!” Aku menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Maka dia memeluk-ku buat ketiga kalinya seraya berkata: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah! Yang mengajar dengan perantaraan kalam dan mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. Setelah berlaku peristiwa itu kembalilah Rasulullah s.a.w. kepada isterinya Khadijah (membawa ayat-ayat ini) dengan tubuh menggigil………sehinggalah akhir hadith.” (al-Hadith).

Imam-imam yang lain seperti al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Dala’il dan al-Tabrani dalam al-Kabir mengesahkan ayat tersebut adalah yang pertama diturunkan.

ii) Pendapat lain mengatakan Surah al-Muddathir yang pertama kali diturunkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah seorang sahabat. Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, dia berkata: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin ‘Abdullah: Yang manakah di antara al-Quran mula-mula diturunkan? Jabir menjawab,”
يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ “. Aku berkata, “Atau اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ “. Dia Jabir berkata,”Aku katakan kepada-mu apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Sesungguhnya aku berdiam diri di gua Hira’. Maka ketika habis masa diam-ku, aku turun lalu aku susuri lembah. Aku lihat ke depan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Lalu aku lihat ke langit, tiba-tiba aku melihat Jibril yang amat menakutkan. Maka aku pulang ke Khadijah. Khadijah memerintahkan mereka untuk menyelimuti aku. Mereka pun menyelimuti aku.

Lalu Allah menurunkan

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ

“Wahai orang yang berselimut; bangkitlah, lalu berilah peringatan”.

Mengenai hadith Jabir ini, dapatlah disimpulkan iaitu pertanyaan tersebut adalah mengenai surah yang diturunkan secara penuh. Jabir menjelaskan yang surah Muddathir diturunkan secara penuh sebelum surah Iqra’ selesai diturunkan, karena yang turun pertama sekali daripada surah Iqra’ itu hanyalah permulaannya saja. Ini diperkuatkan oleh hadith Abu Salamah daripada Jabir yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Jabir berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. ketika bercakap mengenai putusnya wahyu, beliau menyebut dalam percakapannya itu, “Sewaktu aku berjalan, aku terdengar suara dari langit. Kemudian aku angkat kepala-ku, tiba-tiba aku ternampak malaikat yang mendatangi aku di gua Hira’ duduk di atas kursi antara langit dan bumi, lalu aku pulang dan aku katakan: Selimutkanlah aku! Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan ayat,


يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّر

Hadith ini menggambarkan peristiwa ini terkemudian daripada peristiwa di gua Hira’, atau al-Muddathir adalah surah yang pertama diturunkan setelah terputusnya wahyu. Dapat disimpulkan ayat pertama untuk kenabian ialah Iqra’ dan surah pertama untuk risalah ialah surah al-Muddathir.

iii) Andaian ketiga ialah berdasarkan satu kenyataan yang diperakukan kepada Ali bin Abi Talib, disebut oleh Abi Ishaq daripada Abi Maisarah. Riwayat yang direkodkan oleh al-Wahidi menyebut: Apabila Rasulullah muncul (dari gua Hira’) dan mendengar suatu suara menjerit, “Wahai Muhammad”, Rasulullah terus pulang ke rumah. Waraqah bin Naufal menasihatkan Rasulullah mendengar kepada suara tersebut. Oleh itu apabila Rasulullah kemudiannya mendengar suara tersebut, beliau menyahut; Suara itu berkata, “Katakanlah, Aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bacalah:


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ‘……..


iv) Sebahagian ulama tabiin seperti al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat ayat pertama ialah Bismillah. Dia menyebut ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: Perkara pertama yang diturunkan oleh malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. dengan beliau mengatakan, “Wahai Muhammad, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui daripada Syaitan yang dilaknat, dan katakanlah: Bismillahir Rahmanir Rahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.)

Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani menyebutkan hadith ini sebagai munqati’ dalam kitabnya, al-Intisar. Menurut al-Zarkasyi di dalam kitabnya al-Burhan, sebahagian besar ulama menyatukan hadith riwayat ‘Aisyah dan Jabir dengan menyimpulkan Jabir mendengar Nabi membicarakan peristiwa permulaan wahyu dan dia mendengar bahagian akhirnya sedang bahagian pertamanya dia tidak mendengar. Jadi Jabir menyangka surah yang didengarnya adalah yang pertama diturunkan, pada hal bukan. Ibn Hibban dalam sahihnya menyatakan tidak ada pertentangan antara kedua hadith tersebut kerana ketika turun kepada Rasulullah Iqra’, beliau pulang ke rumah lalu berselimut; kemudian turunlah al-Muddathir.

Surah-surah lain yang awal diturunkan termasuklah al-Masad (111), al-Takwir (81), al-Ala (87), al-Lail (92) dan al-Fajr. Para ulama juga membicarakan ayat-ayat yang mula-mula diturunkan berdasarkan permasalahan atau persoalan tertentu. Di antaranya ia melibatkan i) Pertama kali mengenai makanan-ayat 145 Surah al-An’am, ayat 145 Surah al-Nahl, ayat 173 Surah al-Baqarah dan ayat 3 Surah al-Ma’idah; ii) Pertama kali mengenai minuman- ayat 219 mengenai khamar dalam Surah al-Baqarah, ayat 43 Surah al-Nisa’ dan ayat 90-91 Surah al-Ma’idah; dan iii) Pertama kali mengenai perang iaitu ayat 39 Surah al-Hajj.

2. Yang Terakhir Diturunkan

Pelbagai pendapat mengenai yang terakhir diturunkan tetapi semua pendapat ini tidak mengandungi sesuatu yang dapat disandarkan kepada Rasulullah s.a.w., malah masing-masing merupakan ijtihad atau dugaan. Al-Qadhi Abu Bakar mengatakan mungkin mereka memberitahu apa yang terakhir kali didengar oleh mereka daripada Rasulullah s.a.w. ketika beliau hampir wafat. Antara pendapattersebut ialah:-

i. Pendapat Ibn ‘Abbas-banyak riwayat yang dikaitkan dengan Ibn ‘Abbas:

a. ‘Amir al-Sha’bi meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: “Ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah ayat mengenai riba.” Firman Allah,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba - yang belum dipungut -.” (al-Baqarah:278).

b. Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Ayat al-Quran terakhir diturunkan adalah,

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ

“Dan peliharalah diri-mu daripada azab yang terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah.” (al-Baqarah: 281)

c. ‘Abdullah b. ‘Utbah r.a. katanya, ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata kepada saya: “Adakah anda tahu ayat yang terakhir sekali turun? Jawab-ku “tahu” iaitu
ِإذا جاء نصر الله والفتح (Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan) (al-Nasr: 1). Berkata Ibnu ‘Abbas: “Kamu benar.”

d. Said bin Jubayr mengatakan orang-orang Kufah berselisih tentang ayat,

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Al-Nisa’:93). Saya menemui Ibn ‘Abbas dan bertanyakan ayat ini dan beliau berkata: “Ayat ini adalah ayat terakhir diturunkan dan selepas itu tidak ada ayat yang menasakhkan ayat ini.”

ii. Pendapat al-Bara bin ‘Azib

Berikut ialah dua kenyataan yang diriwayatkan oleh beliau:-

a. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: “Surah lengkap terakhir diturunkan ialah surah Baraah.Bukhari vol 3 Kitab al-Maghazi hadith 4364.

b. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: ”Ayat terakhir diturunkan ialah,

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَة

“Mereka (orang-orang Islam umat-mu) meminta fatwa kepada-mu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu………(al-Nisa’:176)

iii. Pendapat Ubay bin Ka’ab

Yusuf b. Mihran meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas yang Ubay bin Ka’ab mengatakan potongan ayat al-Quran terakhir diturunkan ialah,

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (al-Taubah:12 ).

iv. Pendapat ‘Abdullah bin Amru bin al-‘As

Abu Abdul Rahman al-Halabi mendengar ‘Abdullah b. Amru sebagai berkata: Surah terakhir diturunkan ialah Surah al-Ma’idah.

v. Pendapat ‘Aishah

Jubayr bin Nufayl berkata, “Aku pergi menemui ‘Aishah, yang bertanya kepadaku: Adakah kamu membaca Surah al-Ma’idah? Aku kata: Ya. Dia berkata: Inilah Surah terakhir yang diturunkan……”

vi. Pendapat Umm Salamah

Mujahid b. Jabr mengatakan yang Umm Salamah berkata: “Ayat terakhir diturunkan adalah ayat,


فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ


“Maka Tuhan mereka perkenan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan……..” (al-Nisa:195)

vii. Pendapat ‘Umar al-Khattab

Abu Sa’id al-Khudry meriwayatkan daripada ‘Umar al-Khatab yang memberitahu ayat terakhir diturunkan ialah pengharaman riba’ (al-Baqarah:275) dan Rasulullah s.a.w. wafat beberapa hari selepas itu dan perkara riba’ tersebut tidak tertinggal tanpa penjelasan.

viii. Pendapat Mu’awiyah bin Abi Sufiyan

‘Amr Qais al-Kufi meriwayatkan Mu’awiyah mengatakan ayat berikut sebagai ayat terakhir diturunkan,


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا


“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada-ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (al-Kahfi:110)

Sekiranya kita menganalisis pendapat-pendapat di atas, kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah disebabkan perbezaan pendapat tersebut. Walau bagaimanapun kita boleh membuat rumusan berdasarkan logik;

i. Ayat 275 hingga 281 surah al-Baqarah nampaknya diturunkan bersama kerana ayat ini membicarakan persoalan riba’ dan hukum berkaitannya. ‘Umar dan ‘Abdullah Ibn ‘Abbas mengatakan ayat riba merupakan ayat terakhir diturunkan boleh dikatakan tepat memandangkan Rasulullah wafat 9 hari selepas ayat ini diturunkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Jubayr dan Ibn Jurayj mengenai ayat 281, surah al-Baqarah.

ii. Pandangan Ibn ‘Abbas mengenai ayat 93 surah al-Nisa’ ialah tentang ayat terakhir berhubung pembunuhan seorang Muslim, bukannya ayat terakhir al-Quran. Manakala pendapatnya mengenai surah al-Nasr tidak menjadi masalah. Surah al-Nasr kemungkinan merupakan surah pendek yang terakhir diturunkan, sementara surah al-Baraah merupakan surah panjang yang terakhir diturunkan. Ini tidak bercanggah dengan pandangan ‘Aishah dan Ibn ‘Amr yang mengatakan surah al-Ma’idah merupakan surah penuh terakhir diturunkan. Mereka bermaksud surah terakhir mengenai perkara halal dan haram.


iii. Pandangan al-Bara tentang ayat 176 surah al-Nisa’ sebagai ayat akhir turun ialah ayat akhir tentang faraid. Apa yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab mengenai ayat 128 hingga 129 surah al-Taubah adalah sebahagian daripada surah tersebut yang diturunkan secara keseluruhan sebagai surah panjang yang terakhir diturunkan. Riwayat Umm Salamah pula bukannya mengenai ayat terakhir tetapi lebih kepada jawapan kepada soalan beliau kepada Rasulullah mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Pandangan Mu’awiyah pula jelas merujuk kepada yang terakhir diturunkan di Mekah melibatkan surah al-Kahfi termasuk ayat terakhirnya.

Kesimpulannya, Surah al-Taubah sebagai surah panjang terakhir turun; Surah al-Nasr surah pendek terakhir turun; dan ayat 275 hingga 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan.

FUNGSI DAN PERANAN AL QURAN :

Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:
Pertama: Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad saw.
Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan nabi Muhammad saw sendiri. Rasullulah saw telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Dan kita dapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka.

Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaiatu :
Peringkat pertama. Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآَنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا (88)

"Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain." (Al Isra’ : 88)

Peringkat kedua: Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya: Bahkan mereka mengatakan "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran.

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (13) فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُنْزِلَ بِعِلْمِ اللَّهِ وَأَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (14)

" Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah" (Huud : 13-14)

Peringkat ketiga: Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (23

"Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya" (TTQ 10 : 38) Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya: "Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…" (Al Baqarah : 23 )

Kedua: Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.
Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara , sosial , pendidikan , pengadilan , akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya. Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.

Ketiga : Penghibur Kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Ayat-ayat Al Quran yang diturunkan mengandungi unsur-unsur pujukan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam seperti ketika berlakunya peristiwa kematian ayah saudara baginda dan isteri kesayangan baginda saidatina khadijah radiyallah ‘anha. Begitu juga dengan asbab nuzul kepada turunnya surah Ad Dhuha yang memberikan kegembiraan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

KELEBIHAN MEMBACA AL QURAN & MENGHAFAZNYA

1) Firman Allah subhanahu wata’ala:

إن الذين يتلون كتاب الله وأقاموا الصلاة وأنفقوا مما رزقناهم سرا وعلانية يرجون تجارة لن تبور ليوفيهم أجورهم ويزيدهم من فضله إنه غفور شكور (Fathir : 29)

“Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta menafkahkan dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka secara sembunyi atau terang-terangan mereka mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi. Agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurniaanNya sesungguhnya Dia Maha Pengampun Lagi Maha Mensyukuri”.

2) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

عن عثمان بن عفان رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : خيركم من تعلم القرآن وعلمه – رواه البخاري

Daripada Uthman bin ‘Affan radiyallahu anhu telah berkata : Telah berkata Rasulullah sallallahu ‘alahi wasallam : “Sebaik-baik kamu dari kalangan kamu mereka yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya”.

3) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

عن عائشة رضي الله عنها قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الذي يقرأ القرآن وهو ماهر به مع السفرة الكرام البررة والذي يقرأ القرآن وهو يتتعتع فيه وهو عليه شاق له أجران- متفق عليه

4) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : مثل المؤمن الذي يقرأ القرآن مثل الأترجة ريحها طيب وطعمها طيب ومثل المؤمن الذي لا يقرأ القرآن مثل التمرة لا ريح لها وطعمها طيب حلو ومثل المنافق الذي يقرأ القرآن مثل الريحانة ريحها طيب وطعمها مر ومثل المنافق الذي لا يقرأ القرآن كمثل الحنظلة ليس لها ريح وطعمها مر – متفق عليه

5) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

أبي أمامة الباهلي رضي الله عنه قال سمعت رسول صلى الله عليه وسلم : يقول اقرؤوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه - رواه مسلم

6) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

ابن عمر رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم : قال لا حسد إلا في إثنتين: رجل آتاه الله القرآن فهو يقوم به آناء الليل وآناء النهار، ورجل آتاه الله مالا فهو ينفقه آناء الليل وآناء النهار رواه البخاري ومسلم

7) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن من إجلال الله تعالى إكرام ذي الشيبة المسلم وحامل القرآن غير الغالي فيه والجافي عنه وإكرام ذي السلطان المقسط - رواه أبو داود وهو حديث حسن

8) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إن لله أهلين من خلفه قالوا ومن هم يا رسول الله قال أهل القرآن هم أهل الله وخاصته رواه النسائى

9 ) Berkata Imam Syatibi rahimahullah :

( وإن كتاب الله أوثق شافع ... وأغني غناء واهبا متفضلا )

( وخير جليس لا يمل حديثه ... وترداده يزداد فيه تجملا )

( وحيث الفتى يرتاع في ظلماته ... من القبر يلقاه سنا متهللا )

( هنالك يهنيه مقيلا وروضة ... ومن أجله في ذروة العز يجتلا )

( يناشد في إرضائه لحبيبه ... وأجدر به سؤلا إليه موصلا )

( فيا أيها القاري به متمسكا ... مجلا له في كل حال مبجلا )

( هنيئا مريئا والداك عليهما ... ملابس أنوار من التاج والحلا )

( فما ظنكم بالنجل عند جزائه ... أولئك أهل الله والصفوة الملا )

( أولو البر والإحسان والصبر والتقى ... حلاهم بها جاء القران مفصلا )

( عليك بها ما عشت فيها منافسا ... وبع نفسك الدنيا بأنفاسها العلا )

( جزى الله بالخيرات عنا أئمة ... لنا نقلوا القرآن عذبا وسلسلا )

Rujukan:

  1. Al-Quran Al Karim.
  2. Sohih Al Bukhari : Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah Al Bukhari.
  3. Sohih Muslim : Muslim bin Al Hajjaj Abul Hasan Al Qusyairi Al Naisaburi.
  4. Sunan Abi Daud : Abu Daud Al Hafiz Sulaiman bin Al Asy’as Al Sajistani
  5. Sunan An Nasa’i : Abu Abd Ar Rahmaan Ahmad bin Syuaib An Nasa’i.
  6. Al Itqan Fi Ulumil Quran : Jalaluddin Al Sayuti.
  7. Hirz Al Amani : Al Qasim bin Firah bin Khalaf Al Syatibi

Masjid : Tempat Berhimpunnya Orang-orang Beriman.

"Sesunggunhya orang yang memakmurkan rumah-rumah Allah adalah orang yang beriman dengan Allah dan hari kiamat dan mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, dan mereka tidak takut melainkan hanya kepada Allah; mudah-mudahan mereka tergolong dari kalangan orang-orang yang berjaya"- At Taubah : 18.

Sesungguhnya masjid memainkan peranan yang teramat penting dalam perkembangan Islam bermula seawal hadirnya Islam ke dalam masyarakat jahiliyyah. Masjidlah tempat pertemuan, pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, pusat kebajikan, medan perbincangan, pusat ilmu, pusat pentadbiran, mahkamah keadailan sehinggalah kepada pengaturan peperangan juga berlaku di masjid. Segalanya telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam setibanya ke Kota Madinah, binaan pertama yang didirikan oleh baginda bukan rumah atau kediaman baginda, sebaliknya sebuah bangunan yang telah menyatukan seluruh dunia di bawah satu payung; payung akidah.

Masjid Quba diiktiraf oleh seluruh ummah bahawa itulah binaan pertama yang dibina oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat baginda sebaik sahaja tiba di Madinah. Begitu juga apabila baginda tiba ke kota Madinah, baginda segera menyiapkan binaan masjid yang dikenali sekarang sebagai masjid nabawi. Dari situlah Islam diangkat menjadi sebuah agama yang dihormati dan digeruni. Itulah pusat tarbiyah ( latihan ) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terhadap para sahabatnya sehingga lahir generasi yang tidak pernah dilupakan oleh sejarah sebagai generasi terbaik seperti sabda baginda sallallahu 'alaihi wasallam : " Sebaik-baik qurun adalah qurun aku kemudian mereka yang datang selepas mereka dan mereka yang datang selepas mereka.

Dari situlah perkembangan ilmu berlaku. Segala urusan pentadbiran juga berlaku di situ. Politik, perniagaan dan lain-lain turut sama berlaku selaras dengan kestabilan politik yang berlaku.
Segala yang dipamerkan suatu zaman dahulu adalah contoh kepada keadaan yang seharusnya berlaku di zaman kini.

Masjid sekarang jauh lebih baik keadaan infrastrukturnya daripada masjid-masjid yang pernah wujud di suatu masa dahulu. Dengan sejadah atau karpet yang tebalnya 2-3 inchi, kemudahan bilik dan air, parking dan sebagainya, bahkan sebahagian dari masjid-masjid yang ada sekarang sudah mula dibekalkan dengan alat penghawa dingin, namun untuk menghimpunkan seluruh penduduk di sekitarnya dikhabarkan adalah mustahil. Persoalannya mengapa persoalan ini berlaku?

Antara faktor yang menyumbang ke arah permasalahan ini ialah:
1. Faktor individu : Sebahagiannya mereka yang kuat dengan falsafah sendiri bahawa urusan ke masjid adalah fardhu kifayah, bila dah ada orang yang pergi maka aku tak payah. Kanak-kanak pula tidak didorong dan dilatih untuk mengenali masjid dari usia yang awal.
2.Faktor persekitaran : Tempat dan pusat hiburan, atau di dalam rumah sendiri mengandungi alat atau peralatan yang melekakan dari mengingati masjid. Isteri yang tidak menasihati suami dan anak-anak supaya bersegera menuju ke rumah Allah sebaik sahaja mendengar azan.
3. Keadaan masjid sendiri : Masjid yang dihilangkan fungsinya dengan disekat aktiviti dan program pembenihan keimanan di kalangan masyarakat. Ia cuma dianggap tempat perhimpunan sekurang-kurangnya seminggu sekali iaitu pada hari jumaat atau lebih teruk hanya 2 kali setahun sempena hari raya aidil fitri dan aidil adha. Masjid hanyalah dianggap tempat untuk menjalankan ibadah ritual semata-mata, kalau pun ada pengajian-pengajian ilmu hanya di sekitar persoalan ibadah kebersihan dan solat sahaja. Apa yang melewati batasnya seperti persoalan mengenai politik Islam, perundangan Islam, perniagaan Islam dilarang atau dibataskan seolah-olah tiada ruang untuk ilmu yang sebegitu di sampaikan melainkan di universiti-universiti sahaja, bukan di masjid tempat berhimpunnya semua umat tanpa mengira pangkat mahu pun darjat.

Inilah yang merugikan proses meningkatkan kemajuan dalam ummah Islam seluruhnya, apabila fungis masjid direncatkan. Kerencatan yang berlaku tidak terhad kepada manusia yang tinggal berhampiran masjid semata-mata, bahkan ia adalah satu proses merencatkan fikiran keislaman daripada ummah keseluruhannya kerana masjidlah tempat sepatutnya gerakan meningkatkan kesedaran terhadap keperluan beragama dalam kehidupan.

OLeh itu, saya amat berharap agar fungsi masjid dikembalikan kepada rupa asalnya yang sebenar sepertimana yang telah wujud semenjak dari zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Imam-imam dan jawatankuasa yang dilantik dengan gaji-gaji dan elaun-elaun yang lumayan tidak seharusnya berdiam diri, menunggu gaji bulanan yang akan masuk setiap hujung bulan, sebaliknya berusaha mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka. Dari situlah barulah aktiviti masjid dapat diselaraskan bersandarkan kehendak dan keinginan masyarakatseterusnya mendekatkan mereka dengan rumah Allah ini.

Aktiviti tidak sepatutnya terhad kepada apa yang pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu sahaja seperti ceramah, kuliah, tazkirah, qiyamullail dan lain-lain, bahkan aktiviti sebenarnya mampu melangkaui sempadan pemikiran singkat. Aktiviti umum yang dijalankan di luar masjid sebenarnya boleh ditarik masuk ke dalam masjid selagi mana tidak bercanggah dengan syariah dan tata susila selama berada di rumah Allah.

Melihat kepada perkembangan Islam yang berlaku di negara-negara barat, kerancakan penyertaan bukan Islam ke dalam Islam sebenarnya memberi satu tamparan yang hebat kepada kita bahawa kita sebagai sebuah negara Islam tidak mampu untuk menarik segolongan kumpulan-kumpulan minoriti untuk bersama-sama merasai keindahan Islam. Antara sebabnya ialah masjid yang tidak atau kurang menjalankan fungsinya yang sebenar. Mungkin kesempatan boleh diambil oleh imam-imam atau ahli jawatankuasa untuk mengadakan ziarah dan lawatan ke negara-negara minoriti Islam untuk belajar sesuatu daripada sahabat kita di luar. Tidak perlu jauh, liuhatlah apa yang dilakukan oleh sahabat kita di Singapura dalam usaha untuk menarik lebih ramai bukan Islam untuk memahami kebenaran Islam. Tidak dilupakan pembinaan generasi Islam yang merupakan teras kepada program pusat-pusat Islam(Islamic Centre ) yang tumbuh di sana.


Begitu juga di negara-negara seperti Amerika, Britain, Perancis dan lain-lain, inilah yang perlu kita belajar supaya masjid yang kita imarahkan akan bertambah ramai dan akhirnya semuanya tunduk menyembah Allah subhanahu wata'ala.

Bercakap memang mudah, tapi untuk melakasanakannya memerlukan kerjasama daripada individu-individu yang memiliki keberanian untuk menongkah arus mencipta satu perubahan demi ummah yang dicintai. Kesan perubahan pula tidak semestinya dilihat dalam masa satu atau dua hari, sebaliknya ia mungkin akan memakan masa bertahun-tahun, namun Tuhanmu mengerti siapakah yang telah melakukan yang terbaik untuk agamanya dan siapa pula yang sekadar berpeluk tubuh, melihat ummah diratah satu demi satu lalu tumbang menjadi sejarah yang tidak lagi dikenang.

Panduan Bagi Orang yang Beriman Dalam Menghadapi Musibah

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pesanannya kepada Abdullah Ibn Abbas radiyallahu ’anhu : ”Wahai budak, sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimah : Peliharalah (hak-hak) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, Peliharalah (hak-hak) Allah, nescaya kamu akan mendapati Dia berada di hadapan kamu ( hampir ), dan apabila kamu meminta maka mintalah kepada Allah, dan apabila kamu memohon pertolongan mohonlah pertolongan kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya seluruh ummat berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah ke atas kamu, dan seandainya seluruh ummat berhimpun untuk memberi mudarat kepada kamu mereka tidak akan dapat memberi mudarat kepada kamu melainkan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah ke atas kamu” – Riwayat Al Tirmizi, Al Hakim, Al Baihaqi, At- Tabrani, Ahmad dan lain-lain .

Melihat kepada apa yang disampaikan oleh baginda sallallahu ’alaihi wasallam berbanding dengan realiti yang dilakukan oleh ummat masa kini, dapat kita simpulkan sesungguhnya masih ramai lagi manusia yang jauh daripada hidayah Allah dan panduan Nabi sallallahu ’alaihi wasallam. Tambah-tambah dalam hal atau perkara apabila ditimpa musibah atau bencana.

Ramai manusia hampir melakukan syirik kepada Allah dalam keadaan mereka tidak sedar bahawa perbuatan yang mereka lakukan menjerumuskan mereka ke dalam maksiat yang paling besar kepada Allah.

Ada yang pergi berjumpa tukang tilik untuk melihat untung nasibnya daripada keadaan yang berlaku, ada yang berjumpa bomoh cari barang hilang, ada yang melakukan bacaan Yasin dalam jumlah-julah yang tertentu , ada yang mandi untuk tolak bala, ada yang itu dan ada yang ini. Digambarkan keadaan mereka seperti orang buta yang kehilangan tongkat, apa yang mampu dicapai itulah petunjuk buatnya. Sedangkan di hadapan mereka ada cahaya yang boleh memandu, ada tongkat yang akan memimpin ke jalan yang selamat. Itulah kitab Allah dan sunnah baginda sallallahu ’alaihi wasallam.

Dalam sebuah hadis Nabi sallallahu ’alaihi wasallam bersabda : ”Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik atau ’arraf ( tukang kenal pasti ) maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ’alaihi wasallam – Riwayat Al Baihaqi.

Dalam hadis yang lain Nabi sallallahu ’alaihi wasallam bersabda : ”Barangsiapa yang mendatangi ’arraf ( tukang kenal pasti ) maka dia bertanya tentang sesuatu tidak diterima oleh Allah akan solatnya selama 40 malam – Riwayat Al Baihaqi.

Lalu apakah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang ditimpa musibah? Apakah Islam tidak ada cara atau panduan buat ummatnya dalam menghadapi musibah?

Sebenarnya Islam telah lama meletakkan garis panduan untuk ummahnya dalam menghadapi sebarang musibah.

Antara yang disarankan oleh Allah dan RasulNya ialah :

  1. Mengungkapkan ucapan : Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji’uun yang bermaksud ( Kepada Allah kami datang dan hanya kepadaNya kami kembali ). Saranan ini terkandung dalam firman Allah dalam surah Al Baqarah : "Dan kami sesungguhnya akan menguji kamu semua dengan ketakutan dan kelaparan serta kekurangan harta, diri dan buah-buahan, dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar. Mereka yang apabila ditimpa sebarang musibah mereka berkata : Sesungguhnya dari Allah kami datang dan sesungguhnya kepadaNya kami akan dikembalikan. Merekalah orang-orang yang mendapata pujian daripada Tuhan mereka dan kasih sayangnya, merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk".- Al Baqarah 155-157.
  2. Memohon kepada pertologan kepada Allah dengan mengerjakan solat dan bersabar : seperti dalam firmanNya : " Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan ( kepada Allah ) dengan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar".Al Baqarah- 153. Begitu juga daripada hadis pada mukaddimah artikel ini.
  3. Memperbanyakkan zikrullah memohon keampunan daripadaNya seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Yunus ‘alaihi As Salam, dengan zikirnya yang masyhur : ‘Lailahailla Anta, Subahanaka Inni Kuntu Mina Az Zalimin” ( Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Zatmu ( Allah ) Maha Suci Zatmu ( Allah ) Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang-orang yang zalim )- Surah Al Anbiyak -: 87 . Firman Allah subahanahu wata’ala : “Maka kalau bukanlah ( Yunus ‘alaihi as salam ) daripada kalangan mereka yang bertasbih ( kepada Allah ) , nescaya baginda akan tinggal dalam perutnya ( ikan ) sehinggalah hari kebangkitan ( hari kiamat ).

Mudah-mudahan daripada panduan yang diberikan akan dapat menyelamatkan kita daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah dalam keadaan kita tidak menyedari akan akibat yang sedang menanti akibat daripada kejahilan kita. Dalam episode yang akan datang kita akan membicarakan adab-adab dan tatacara untuk kita bermohon dan berdoa kepada Allah subhanahu wata’ala.

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

"Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

- Ini adalah coretan yang diambil dari tulisan Mufti Negeri Perlis Dr Asri Zainal Abidin. Anda boleh layarinya di http://drmaza.com