Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

"Andai Kamu Bersyukur Nescaya Kami Kami Akan Tambahkan"

"Dan ingatlah tatkala Tuhan berfirman : Sekiranya kamu bersyukur nescaya kami akan tambahkan ke atas kamu ( kurniaNya ), dan ( ingatlah ) sekiranya kamu kufur sesungguhnya azabKu amatlah berat"

Semalam di umumkan kenaikan harga minyak yang membuat negara menjadi huru-hara. Syukur pada Allah tatkala manusia lain sibuk mengisi minyak ke dalam tangki-tangki mereka, sebahagian daripada manusia tenang berhadapan dengan guru mereka di dalam rumah Allah, menadah kitab tafsir juzu 'amma yang tamat semalam huraian kitabnya.

Di awal muqaddimah kuliah tersebut, ustaz memberikan komen berkenaan kenaikan harga minyak serta mempersoalkan berapa ramai pada ketika manusia diajak untuk tunduk dan patuh kepada Allah membatukan diri mereka di stesen-stesen minyak semata-mata untuk menjimatkan wang mereka untuk 1 atau dua hari, sedang mereka tidak memikirkan 'perbelanjaan mereka' untuk hari kiamat berapa hari yang mereka telah bazirkan untuk berada di dalam neraka Allah atas solat yang ditinggalkan.

Sama ada kepada pembeli, atau pekedai juga yang paling besar, mereka yang telah membuat dasar agar 'huru-hara' ini berlaku ( mengapa tidak diumumkan di awal hari supaya manusia lebih mudah mengatur pembelian petrol?). Masing-masing akan memberi jawapan di hadapan Allah kelak.

Amaran juga ditujukan kepada manusia supaya menjauhi sifat dan perilaku munafiq antaranya ialah berbohong. Biar apa pun alasannya untuk berbohong, tambah-tambah yang nampak pembohongan itu secara zahir ( contoh dikatanya minyak akan naik bulan 8, tapi tak sampai bulan 8 pun dah naik ), ia wajib dijauhi. Kalaulah pemimpin bercakap bohong sekali atau 2 kali, agak-agak rakyat yang akan lahir dari didikan pemimpin sebegini akan berbohong berapa kali lagi? Ibu bapa akan mendidik anak mereka untuk bercakap bohong kerana alasan mereka ,pemimpin kami pun berbohong, guru-guru akan mengajar anak-anak muridnya berbohong kerana alasannya pemimpin yang kami pilih yang ajar kami berbohong. Bila didikan untuk bercakap jujur akan berlaku.

Adakah hanya dengan momokan cerita dongeng pinochio yang akan panjang hidungnya setiap kali ianya berbohong akan mampu untuk menepis didikan yang telah terbejat sekian lama dalam masyarakat.

Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sentiasa mendidik ummatnya berkata dan berlaku benar. Dalam sebuah hadis nabi bersabda : " Hendaklah kamu menjauhi (daripada) berbohong,sesungguhnya berbohong akan mendorong kepada kejahatan, dan kejahatan akan mendorong kamu ke neraka, dan seseorang akan berbohong dan sentiasa berbohong sehinggalah ditulis oleh Allah bahawa dia adalah pembohong"

Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sendiri digelar Al Amiin ( Yang Beramanah ). Begitu juga sahabatnya Abu Bakr radiyallahu 'anhu juga diberi gelaran As Siddiq ( Yang Membenarkan ).

Tetapi manusia apabila telah dilitupi dengan keduniaan, segala deria sensitiviti dan fundamentalnya terhadap perkara asas di dalam agama ini menjadi lenyap. Biar ribuan slogan dilemparkan, biar jutaan ringgit dibelanjakan untuk mendakwa mereka telah membawa Islam dalam corak pemerintahan mereka, ianya tidak akan melenyapkan sangkaan umum apabila dia mula berbohong satu demi satu.

Takutlah akan Allah atas lidah yang telah dikurniakanNya, takutlah akan Allah atas kekuasaan yang dipinjamkannya. Andai kita berada di kalangan marhaen adakah tergamak kita untuk menerima bahawa harga minyak patut untuk dinaikkan. Mereka yang makan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang , pasti akan terjejas sama sekali kehidupan mereka. Ya benar, rezeki tiap manusia ditentukan oleh Allah, tapi janganlah kita menjadi orang yang menzalimi rezeki makhluk lain untuk memastikan segala hasil mahsul kita menjadi lebih banyak dari orang lain.

Hari ini kita di atas , entah esok lusa kita akan jadi di bawah. Tidakkah kita akan turut sama menjerit slogan yang sama, kasihanilah kami!!! Atau anda ( wahai pemimpin ) hanya layak untuk menuturkan kata-kata itu apabila berhadapan dengan Allah kelak!!! Bergunakah lagi????


2 comments:

Firdaus Omar said...

Assalamualaikum Al-Ustaz.

Tahniah kerana kelahiran blog yang canggih dan menyegarkan ini.

Takziah kerana kehilangan kereta yang disayangi.

Tahniah juga atas kepulangan isteri...

Wassalam.

Abu Raihanah said...

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Mudah-mudahan sama-sama mendapat manfaatnya. Ada sebarang cadangan, kritikan, dan teguran bolehlah dihantar kepada saya.