Selamat mengunjungi laman aburaihanah.blogspot.com..

Rezeki : Antara Kesusahan dan Kesenangan, Keyakinan & Kemunafikan

"Sebelum seseorang anak Adam ditiupkan ruh ke dalam jasadnya, didatangkan ke atas setiap orang seorang malaikat yang akan menulis bagi mereka 4 perkara; rezkinya, ajalnya, pekerjaannya, derita atau bahagianya lalu kemudian dititupkan ruh padanya"- Muttafaqun 'Alaihi.

Apabila hati merasa susah dengan permasalahan rezeki yang kurang atau sedikit dalam rupa bentuk material, maka renung-renungkanlah akan hadis ini bahawa setiap seorang tidak pernah dizalimi oleh Allah dalam urusan rezeki. Mereka dituliskan rezeki ke atas setiap daripada mereka. Mungkin perbezaannya hanyalah, sama ada ianya dalam bentuk material atau dalam bentuk yang maknawi, banyak atau sedikit, cepat atau lambat.

Bagi mereka yang berusaha, Allah tidak pernah mensia-siakan usaha seseorang itu. Apa yang diusahakan itulah yang akan dikurniakan, cepat atau lambat, yang pasti akan ada balasannya.

Namun seandaianya masalah membelenggu kita dalam persoalan rezeki, sebenarnya yang patut dipersoalkan adalah diri kita sendiri. Terkadang, penangguhan rezeki ada kaitannya dengan kesilapan yang kita lakukan dengan Zat Yang Mengurniakan Rezeki. Daripada sekian banyak rezeki yang dikurniakanNya, berapa banyakkah syukur yang kita panjatkan?

Dilimpahkannya rezeki yang tidak terhitung banyaknya, namun kadang-kadang dengan banyaknya rezeki yang dilimpahkan banyak lagi dosa dan maksiat yang dilakukan.

Dari sekian rezeki yang banyak dikurniakan, tersangat kurang sedekah dan zakat yang dikeluarkan. Kalau ada pun yang keluar, itu pun kadangkala mengandungi unsur riyak dan ujub terhadap diri sendiri.

Syukur adalah jawapan kepada persoalan mengapa rezeki ditahan oleh Allah. Banyak mana syukur yang dipanjatkan, begitu juga sekian banyak rezeki akan dihamparkan.

Kembali dan sujudlah kepada Allah atas segala rezeki yang dikurniakan, kembali dan mohon ampunlah atas kesalahan yang dilakukan. Syukurlah padanya dengan hati, lidah dan anggota, syukurlah dengan sepenuh hatiMu, nescaya akan dibuka bagimu rezeki yang tidak sama sekali dirimu sangka.

Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu dan bapaku. Rahmatilah mereka seperti mana mereka mengasihi diriku ketika aku masih lagi kecil.

Ya Allah aku bermohon dengan zat Mu yang Esa, tempat daku meminta dan berharap, Zat yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, kurniakanlah kepada diriku ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, baik dan halal, dan terimalah amalan-amalanku.

Berikanlah kepada kami, kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, ameen Ya Rabbal 'Alamin.

No comments: