Sesungguhnya masjid memainkan peranan yang teramat penting dalam perkembangan Islam bermula seawal hadirnya Islam ke dalam masyarakat jahiliyyah. Masjidlah tempat pertemuan, pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, pusat kebajikan, medan perbincangan, pusat ilmu, pusat pentadbiran, mahkamah keadailan sehinggalah kepada pengaturan peperangan juga berlaku di masjid. Segalanya telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam setibanya ke Kota Madinah, binaan pertama yang didirikan oleh baginda bukan rumah atau kediaman baginda, sebaliknya sebuah bangunan yang telah menyatukan seluruh dunia di bawah satu payung; payung akidah.
Masjid Quba diiktiraf oleh seluruh ummah bahawa itulah binaan pertama yang dibina oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat baginda sebaik sahaja tiba di Madinah. Begitu juga apabila baginda tiba ke kota Madinah, baginda segera menyiapkan binaan masjid yang dikenali sekarang sebagai masjid nabawi. Dari situlah Islam diangkat menjadi sebuah agama yang dihormati dan digeruni. Itulah pusat tarbiyah ( latihan ) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terhadap para sahabatnya sehingga lahir generasi yang tidak pernah dilupakan oleh sejarah sebagai generasi terbaik seperti sabda baginda sallallahu 'alaihi wasallam : " Sebaik-baik qurun adalah qurun aku kemudian mereka yang datang selepas mereka dan mereka yang datang selepas mereka.
Dari situlah perkembangan ilmu berlaku. Segala urusan pentadbiran juga berlaku di situ. Politik, perniagaan dan lain-lain turut sama berlaku selaras dengan kestabilan politik yang berlaku.
Segala yang dipamerkan suatu zaman dahulu adalah contoh kepada keadaan yang seharusnya berlaku di zaman kini.
Masjid sekarang jauh lebih baik keadaan infrastrukturnya daripada masjid-masjid yang pernah wujud di suatu masa dahulu. Dengan sejadah atau karpet yang tebalnya 2-3 inchi, kemudahan bilik dan air, parking dan sebagainya, bahkan sebahagian dari masjid-masjid yang ada sekarang sudah mula dibekalkan dengan alat penghawa dingin, namun untuk menghimpunkan seluruh penduduk di sekitarnya dikhabarkan adalah mustahil. Persoalannya mengapa persoalan ini berlaku?
Antara faktor yang menyumbang ke arah permasalahan ini ialah:
1. Faktor individu : Sebahagiannya mereka yang kuat dengan falsafah sendiri bahawa urusan ke masjid adalah fardhu kifayah, bila dah ada orang yang pergi maka aku tak payah. Kanak-kanak pula tidak didorong dan dilatih untuk mengenali masjid dari usia yang awal.
2.Faktor persekitaran : Tempat dan pusat hiburan, atau di dalam rumah sendiri mengandungi alat atau peralatan yang melekakan dari mengingati masjid. Isteri yang tidak menasihati suami dan anak-anak supaya bersegera menuju ke rumah Allah sebaik sahaja mendengar azan.
3. Keadaan masjid sendiri : Masjid yang dihilangkan fungsinya dengan disekat aktiviti dan program pembenihan keimanan di kalangan masyarakat. Ia cuma dianggap tempat perhimpunan sekurang-kurangnya seminggu sekali iaitu pada hari jumaat atau lebih teruk hanya 2 kali setahun sempena hari raya aidil fitri dan aidil adha. Masjid hanyalah dianggap tempat untuk menjalankan ibadah ritual semata-mata, kalau pun ada pengajian-pengajian ilmu hanya di sekitar persoalan ibadah kebersihan dan solat sahaja. Apa yang melewati batasnya seperti persoalan mengenai politik Islam, perundangan Islam, perniagaan Islam dilarang atau dibataskan seolah-olah tiada ruang untuk ilmu yang sebegitu di sampaikan melainkan di universiti-universiti sahaja, bukan di masjid tempat berhimpunnya semua umat tanpa mengira pangkat mahu pun darjat.
Inilah yang merugikan proses meningkatkan kemajuan dalam ummah Islam seluruhnya, apabila fungis masjid direncatkan. Kerencatan yang berlaku tidak terhad kepada manusia yang tinggal berhampiran masjid semata-mata, bahkan ia adalah satu proses merencatkan fikiran keislaman daripada ummah keseluruhannya kerana masjidlah tempat sepatutnya gerakan meningkatkan kesedaran terhadap keperluan beragama dalam kehidupan.
OLeh itu, saya amat berharap agar fungsi masjid dikembalikan kepada rupa asalnya yang sebenar sepertimana yang telah wujud semenjak dari zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Imam-imam dan jawatankuasa yang dilantik dengan gaji-gaji dan elaun-elaun yang lumayan tidak seharusnya berdiam diri, menunggu gaji bulanan yang akan masuk setiap hujung bulan, sebaliknya berusaha mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka. Dari situlah barulah aktiviti masjid dapat diselaraskan bersandarkan kehendak dan keinginan masyarakatseterusnya mendekatkan mereka dengan rumah Allah ini.
Aktiviti tidak sepatutnya terhad kepada apa yang pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu sahaja seperti ceramah, kuliah, tazkirah, qiyamullail dan lain-lain, bahkan aktiviti sebenarnya mampu melangkaui sempadan pemikiran singkat. Aktiviti umum yang dijalankan di luar masjid sebenarnya boleh ditarik masuk ke dalam masjid selagi mana tidak bercanggah dengan syariah dan tata susila selama berada di rumah Allah.
Melihat kepada perkembangan Islam yang berlaku di negara-negara barat, kerancakan penyertaan bukan Islam ke dalam Islam sebenarnya memberi satu tamparan yang hebat kepada kita bahawa kita sebagai sebuah negara Islam tidak mampu untuk menarik segolongan kumpulan-kumpulan minoriti untuk bersama-sama merasai keindahan Islam. Antara sebabnya ialah masjid yang tidak atau kurang menjalankan fungsinya yang sebenar. Mungkin kesempatan boleh diambil oleh imam-imam atau ahli jawatankuasa untuk mengadakan ziarah dan lawatan ke negara-negara minoriti Islam untuk belajar sesuatu daripada sahabat kita di luar. Tidak perlu jauh, liuhatlah apa yang dilakukan oleh sahabat kita di Singapura dalam usaha untuk menarik lebih ramai bukan Islam untuk memahami kebenaran Islam. Tidak dilupakan pembinaan generasi Islam yang merupakan teras kepada program pusat-pusat Islam(Islamic Centre ) yang tumbuh di sana.
Begitu juga di negara-negara seperti Amerika, Britain, Perancis dan lain-lain, inilah yang perlu kita belajar supaya masjid yang kita imarahkan akan bertambah ramai dan akhirnya semuanya tunduk menyembah Allah subhanahu wata'ala.
Bercakap memang mudah, tapi untuk melakasanakannya memerlukan kerjasama daripada individu-individu yang memiliki keberanian untuk menongkah arus mencipta satu perubahan demi ummah yang dicintai. Kesan perubahan pula tidak semestinya dilihat dalam masa satu atau dua hari, sebaliknya ia mungkin akan memakan masa bertahun-tahun, namun Tuhanmu mengerti siapakah yang telah melakukan yang terbaik untuk agamanya dan siapa pula yang sekadar berpeluk tubuh, melihat ummah diratah satu demi satu lalu tumbang menjadi sejarah yang tidak lagi dikenang.
2 comments:
Temanpun tak fahamlah ustaz rakan-rakan kita ni. Kita tengah berusaha untuk ambil alih pentadbiran masjid tempat kita ni atas arahan ketua kita, Exco Agama. Niatnya untuk mengimarahkan masjid yang tak makmur ni kerana Allah. Tapi tu lah...calun-calun nazir yang ada kualiti semuanya menolak atas alasan sibuk bisnes, sibuk mengajar, sibuk jaga surau, sibuk tu sibuk ni...Apa kata ustaz aje jadi Nazir.?
Teman rasa banyak lagi yang layak. Usahalah cari yang lebih baik dan berusia dari teman. Teman boleh belajar daripada dia. Namun andai kata itulah pilihan yang ada teman insyaAllah akan membantu setakat mana yang teman tahu. Teman tak lari dari tanggungjawab insyaAllah.
Post a Comment